19 November 2014
Menang Sukan Kerana Dadah
PENGGUNAAN doping iaitu dadah yang boleh meningkatkan prestasi atlet adalah diharamkan dalam sukan. Doping yang diharamkan dalam sukan termasuk stimulan, ejen anabolik, analgesik narkotik serta peptide dan hormon.
Walaupun mengetahui ia menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman yang berat, masih ramai atlet yang menggunakan bahan-bahan terlarang ini untuk meningkatkan prestasi mereka sama ada ketika latihan atau dalam pertandingan. Dadah ini juga digunakan untuk mempercepatkan proses pemulihan dari kecederaan dan menahan sakit.
Apa yang mengejutkan, ramai ahli sukan terkemuka terutamanya dalam sukan yang memerlukan kekuatan fizikal seperti olahraga, rupa-rupanya meraih kejayaan dengan bantuan bahan terlarang ini. Tindakan mereka itu ternyata telah mengecewakan peminat yang merasa tertipu kerana menjadikan mereka sebagai hero dalam sukan.
Berikut disenaraikan beberapa personaliti sukan ternama yang dipuja peminat kerana pencapaian hebat mereka tetapi akhirnya dikenang sebagai penipu selepas ‘kantoi’ mengambil dadah.
Lance Armstrong
LEGENDA sukan lumba basikal, Lance Armstrong, 43, dilucutkan semua tujuh kejuaraan Tour de France yang dimenanginya dari 1999 hingga 2005 dan digantung seumur hidup daripada menyertai pertandingan selepas didapati bersalah menggunakan dadah perangsang prestasi.
Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA) mengumumkan hukuman itu ke atas Armstrong pada 24 Ogos 2012. Pada 22 Oktober 2012, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengambil tindakan sama ke atas pelumba itu selepas meneliti bukti-bukti yang dikemukakan oleh USADA.
Dalam satu wawancara televisyen yang dikendalikan oleh Oprah Winfrey pada Januari 2013, Armstrong mengaku pernah mengambil bahan terlarang pada 2005. Sebelum itu beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terlibat dengan dadah sepanjang kariernya.
Armstong memenangi kejuaraan Tour de France pada 1999, 2000, 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2005. Beliau bersara dari sukan lumba basikal pada 2005 tetapi kembali berlumba pada 2009 sebelum mengumumkan persaraannya dari sukan lumba basikal profesional pada 2011.
Justin Gatlin
JUSTIN Gatlin, 32, merupakan atlet lari pecut ternama dari Amerika Syarikat yang berjaya memenangi sebutir pingat emas, dua perak dan dua gangsa di temasya Olimpik. Di sukan Olimpik Athens 2002, Gatlin meraih pingat emas dalam acara 100 meter, 4x100 meter berganti-ganti (perak) dan 200 meter (gangsa). Di sukan Olimpik London 2012, Gatlin meraih pingat perak dalam acara 4x100 meter berganti-ganti dan gangsa dalam acara 100 meter.
Atlet itu turut memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 200 meter di Kejohanan Dunia Helsinki 2005 serta pingat perak dalam acara 100 meter dan 4x100 meter berganti-ganti di Kejohanan Dunia Moscow 2013.
Namun, Gatlin turut terpalit dengan pengambilan dadah. Pada 2001, Gatlin digantung selama dua tahun selepas didapati positif mengambil amphetamine. Gatlin kemudian merayu dengan alasan dia diuji positif kerana ubat yang diambilnya sejak kanak-kanak bagi mengurangkan kekacauan tumpuan. Tempoh hukuman tersebut kemudian dikurangkan kepada setahun.
Pada 22 April 2006, Gatlin sekali lagi gagal ujian doping dan sampel B disahkan turut positif pada Julai 2006. Pada 22 Ogos 2006, Gatlin bersetuju dengan hukuman penggantungan selama lapan tahun bagi mengelak dikenakan penggantungan seumur hidup. Namun, pada 31 Disember 2007, hukuman terhadapnya dikurangkan kepada empat tahun tetapi catatan peribadi terbaiknya 9.77 saat dalam acara 100 meter dibatalkan.
Martina Hingis
BEKAS pemain tenis wanita nombor satu dunia, Martina Hingis, 34, digantung selama dua tahun apabila disahkan mengambil dadah jenis kokain iaitu benzoylecgonine selepas tewas pada pusingan ketiga Wimbledon pada 2007.
Walaupun didakwa menggunakan dadah itu, Hingis yang ketika itu berusia 27 tahun, mengaku tidak bersalah dan mengambil keputusan untuk bersara buat kali kedua. Hingis bersara kali pertama pada 2003 ketika berusia 22 tahun akibat kecederaan sebelum keluar dari persaraan pada 2005. Pada 2013, Hingis sekali lagi keluar dari persaraan dan menyertai acara beregu.
Di kemuncak kariernya, Hingis menduduki ranking nombor satu dunia selama 209 minggu. Dia memenangi lima kejuaraan perseorangan Grand Slam iaitu tiga kejuaraan Terbuka Australia dan masing-masing satu kejuaraan Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS). Hingis juga memenangi sembilan kejuaraan beregu wanita Grand Slam serta satu kejuaraan beregu campuran Grand Slam.
Ben Johnson
BENJAMIN Sinclair Johnson, 52, merupakan bekas pelari pecut dari Kanada yang pernah memenangi sebutir pingat emas dan dua butir pingat gangsa dalam sukan Olimpik. Johnson memenangi pingat gangsa dalam acara larian pecut 100 meter dan acara 4x100 meter berganti-ganti di sukan Olimik Los Angeles 1984 dan pingat emas dalam acara 100 meter di sukan Olimpik Seoul 1988.
Di sukan Olimpik Seoul 1988, Johnson memecahkan rekod dunia 9.87 saat yang dicatatkannya di Kejohanan Dunia Rome 1987 dengan catatan 9.79 saat. Bagaimanapun, tiga hari selepas itu, penyertaan termasuk kemenangan dan rekod dunia yang dicatatkan oleh Johnson dibatalkan selepas beliau gagal ujian doping.
Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) kemudian turut membatalkan kemenangan dan rekod dunia yang dicatatkan oleh Johnson di Kejohanan Dunia Rome 1987 selepas pelari pecut itu mengaku turut menggunakan steroid dalam pertandingan tersebut.
Selepas digantung selama dua tahun, Johnson kembali aktif dan berjaya menyertai pasukan Olimpik Kanada ke temasya di Barcelona pada 1992 tetapi gagal melayakkan diri ke aksi final acara larian pecut 100 meter selepas menduduki tempat terakhir dalam saringan separuh akhir.
Pada 7 Januari 1993, beliau memenangi acara larian pecut 50 meter di Grenoble, Perancis. Namun, Johnson gagal ujian doping selepas pertandingan itu dan beliau digantung seumur hidup kerana menggunakan testosteron secara berlebihan.
Marion Jones
MARION Jones-Thompson, 39, merupakan atlet wanita Amerika Syarikat dalam sukan olahraga yang berjaya memenangi tiga pingat emas dalam acara larian pecut 100 meter, 200 meter dan 4x400 meter lari berganti-ganti serta dua pingat gangsa dalam acara lompat jauh dan 4x100 meter lari berganti-ganti di sukan Olimpik Sydney 2000.
Namun, kesemua kemenangan Jones di temasya itu dilucutkan selepas dia mengaku mengambil dadah perangsang prestasi pada Oktober 2007. USADA menggantung Jones selama dua tahun dan membatalkan kesemua kemenangannya sejak 1 September 2000.
Diego Maradona
DIEGO Armando Maradona Franco, 54, merupakan antara legenda bola sepak yang namanya sebaris dengan Pele. Dalam kariernya sebagai pemain, Maradona meraih 91 caps dan menjaringkan 34 gol sepanjang beraksi mewakili Argentina.
Maradona yang beraksi di posisi nombor 10 iaitu pemain tengah menyerang mewakili Argentina di dalam empat kejohanan Piala Dunia FIFA termasuk mengetuai negaranya memenangi kejuaraan itu selepas menewaskan Jermah Barat dalam aksi final pada 1986.
Pada 1991, Maradona digantung selama 15 bulan daripada terlibat dalam bola sepak selepas gagal dalam ujian dadah di Itali. Dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 1994 di Amerika Syarikat, Maradona hanya sempat beraksi dua perlawanan sebelum dihantar pulang selepas gagal dalam ujian dadah.
Selepas menamatkan karier pemain di kelab Boca Juniors, Maradona terlibat dalam kerjaya jurulatih dengan kelab Mandiyu de Corrientes pada 1994, Racing Club de Avellaneda (1995) dan pasukan kebangsaan Argentina dari 2008 hingga 2010.
Alberto Contador
PELUMBA Sepanyol, Alberto Contador Velasco, 32, merupakan antara enam pelumba basikal yang pernah memenangi kesemua tiga Grand Tours. Contador memenangi Tour de France pada 2007, 2009 dan 2011, Giro d’Italia (2008, 2011) serta Vuelta a Espana (2008).
Pada Februari 2012, Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) menggantung Contador selama dua tahun selepas didapati mengambil bahan terlarang iaitu anabolic clenbutero dalam ujian doping.
Keputusan itu menyebabkan Contador dilucutkan kemenangannya dalam Tour de France 2010 dan Giro d’Italia 2011. Selepas kembali dari penggantungan, Contador memenangi Vuelta a Espana 2012 dan 2014.
Oleh: AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
Sumber: Utusan
Labels:
Sukan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan