03 November 2014

Tanda 'MC' Pada Mainan Kanak-Kanak



Sebanyak 65 peratus pengguna di negara ini tidak mengetahui tentang wujudnya tanda keselamatan 'Malaysian Conformity' (MC) pada barangan permainan kanak-kanak, demikian menurut kajian Persatuan Pengguna Standard Malaysia (PPSM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPSM, Ratna Devi Nadarajan, pengguna tidak menjadikan tanda keselamatan MC sebagai salah satu kriteria untuk membeli peralatan mainan kepada anak-anak mereka.  

"Malahan kebanyakan pengguna juga tidak tahu membezakan antara tanda keselamatan yang asli dan yang tiruan," katanya.


Beliau berkata, tanda MC pada barangan permainan kanak-kanak telah diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) sejak 2010 dengan tujuan melindungi pengguna daripada membeli barangan permainan yang mengandungi bahan berbahaya seperti plumbum.

Sumber: Sinar Harian



Barang mainan tak terjamin selamat

Keselamatan sesetengah barang mainan kanak-kanak yang dijual di negara ini tidak terjamin apabila label keselamatan pada barang mainan didapati mudah dipalsukan.

Lebih membimbangkan, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Ratna Devi Nadarajan berkata, setakat ini tiada sistem disediakan kerajaan untuk memastikan ketulenan pelekat keselamatan itu, dikenali sebagai tanda Malaysian Conformity (MC) .

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewajibkan semua produk mainan dijual di Malaysia patuhi Peraturan Perlindungan Pengguna 2010 (Perakuan Pematuhan dan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan) bagi memastikan barangan mainan dibekalkan di negara ini selamat.

Pematuhan terhadap standard itu boleh dibuktikan melalui pemberian tanda MC yang turut disertakan dengan nombor pendaftaran bagi setiap produk mainan yang dijual di Malaysia.

Namun Ratna Devi berkata, tanda MC itu mudah ditiru kerana kurang ciri-ciri keselamatan canggih, menyebabkan kesukaran ibu bapa untuk memastikan barangan mainan yang dibeli benar-benar menepati standard keselamatan ditetapkan.

“Antara standard wajib ialah keselamatan mekanikal dengan pengeluar atau pengedar akan meletakkan barangan mainan melalui ujian tekanan bagi memastikan ketahanan sesuatu produk.

“Jika tidak selamat, ia sepatutnya tidak dijual. Masalahnya, macam mana pengguna dapat mengenal pasti tanda (yang menandakan produk itu selamat) adalah tulen? Kami minta peraturan keselamatan barang mainan di Malaysia disemak semula,” katanya.

Menurut Ratna Devi, KPDNKK perlu membangunkan satu sistem pemeriksaan nombor pendaftaran untuk sahkan ketulenan tanda MC, sama seperti digunakan untuk pengesahan ubat-ubatan dan kosmetik berdaftar.

“Jika kita beli ubat atau kosmetik, untuk tahu sama ada nombor pendaftaran Kementerian Kesihatan tulen atau tidak, kita boleh periksa di laman web Lembaga Farmasi Malaysia.

“Tetapi sistem seperti itu tidak ada bagi pendaftaran barang mainan,” katanya.

Menurutnya, dalam satu kajian dijalankan persatuan itu September tahun lalu, 10 peratus daripada responden melaporkan anak mereka pernah terlibat dalam kemalangan membabitkan barang mainan, termasuk mainan pecah dan melukakan tubuh kanak-kanak, bahagian kecil mainan ditelan kanak-kanak serta alahan terhadap bahan kimia yang terdapat dalam barang mainan.Hasil kajian itu telah dihantar kepada KPDNKK dua bulan lalu.

“KPDNKK memaklumkan akan menyemak semula peraturan (untuk keselamatan barang mainan) tahun depan tetapi sekurang-kurangnya kementerian itu perlu mewujudkan pangkalan data dahulu supaya pengguna dapat semak nombor pendaftaran tanda MC kerana barang mainan ini telah pun berada di pasaran,” katanya.

Oleh: FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN
Sumber: Sinar Harian

0 comments: