02 November 2014
Mengkasi Kucing Untuk Kebaikan
PEMANDULAN dapat mengawal pembiakan kucing. - Gambar hiasan
SETIAP hari, pihak berkuasa tempatan banyak menerima aduan dan membuat tangkapan berkaitan kucing terbiar. Sebelum mengambil tindakan lanjut, haiwan-haiwan yang ditangkap ini biasanya diletakkan di pusat perlindungan.
Justeru itu, pengkasian atau pemandulan adalah langkah terbaik untuk mengurangkan pembuangan kucing, secara tidak langsung mengelakkan haiwan-haiwan ini menjadi mangsa penganiayaan dan penderaan.
Menurut fatwa yang dikeluarkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2002 berkaitan pemandulan dan pengembirian kucing dan anjing, hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu demi menjaga kemaslahatan ummah seperti faktor kesihatan dan menjaga kebajikan haiwan tersebut dan masyarakat.
Berdasarkan hujah anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, Al-Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin yang bermaksud: “Adapun mengkasi haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahat bagaimanapun, mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut.” (Liqa al-Bab al-Maftuh 15/37)
Beliau juga menyentuh tentang pengkasian kucing yang bermaksud: “Jika kucing itu banyak dan menyusahkan manakala proses mengkasi tidak memudaratkan, ia tidak mengapa kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih baik daripada membunuh haiwan itu selepas ia diciptakan oleh Allah, adapun jika jumlah kucing itu tidak banyak dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan ia berkembang adalah lebih baik.” (Fatwa Islamiyah 4/448).
Pengkasian mampu menghalang kucing daripada membiak dan menjadi mangsa penganiayaan.
Selain itu, pelaksanaan pemandulan juga mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tersendiri antaranya:
1 - Membantu mengawal sifat si comel: Kucing jantan tidak sibuk mencari kucing betina dan si betina pun tidak memanggil-manggil si jantan untuk mengawan. Ada kemungkinan besar, si jantan akan mula menanda kawasan dengan air kencing, sekiranya pemandulan tidak dilaksanakan.
Sesetengah kucing mungkin ada sedikit perubahan perlakuan iaitu daripada agresif menjadi lebih manja. Tidak dinafikan ada juga kucing yang bertambah garang. Cuma peratus perubahan daripada manja kepada garang adalah sangat rendah.
2 - Mengawal populasi: Khas untuk kucing betina. Mengelakkan daripada pembiakan luar kawalan dan mengurangkan risiko anak-anak yang baru lahir dibuang ke pasar atau restoran yang mampu mengakibatkan penderaan, kecederaan, kemalangan dan kematian.
3 - Mengurangkan risiko jangkitan penyakit berbahaya: Kucing jantan yang belum dimandulkan lebih cenderung untuk merayau mencari pasangan. Pertembungan antara dua ekor jantan bakal mengakibatkan pergaduhan.
Kecederaan akibat pergaduhan mampu membawa jangkitan yang serius pada kucing jantan atau boleh dijangkiti penyakit yang bersifat zoonosis iaitu berjangkit pada manusia atau haiwan lain. Ia juga mengurangkan risiko jangkitan pada pundi kencing.
Bagi kucing betina, pemandulan membantu mengurangkan risiko jangkitan dalam rahim, masalah keradangan pada puting susu dan kanser yang melibatkan anggota peranakan.
4 - Menjimatkan kos: Setelah dimandulkan, si comel cenderung untuk berada di sekitar kawasan rumah. Ia membantu pengurangan risiko jangkitan akibat pergaduhan sekali gus membantu menjimatkan kos rawatan dan penjagaan.
Sebelum melakukan pemandulan, sebaik-baiknya si comel diberi suntikan imunisasi. Ia membantu meningkat imuniti si comel dan menghalang jangkitan virus berbahaya. Selepas pemandulan, si comel biasanya berada dalam keadaan stres. Ketika itu, sistem imunisasi akan menurun dan memudahkan jangkitan berlaku sekiranya tiada perlindungan daripada suntikan imunisasi.
Oleh DR. ZURAIDAH GHADZALI
Ijazah Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan