06 Disember 2014

Battersea Power Station (BPS) Wajah Baharu Ikonik London


PROGRAM pemuliharaan dan pengindahan Sungai Thames wajar dicontohi Dewan Bandaraya 

SELEPAS tiga dekad Sungai Thames terbiar, pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan semula kawasan itu termasuk membangunkan sebuah projek stesen kuasa arang batu, Battersea Power Station (BPS).

Pengarah Bahagian Reka Bentuk BPS, David Twohig memberitahu, pihaknya akan membuka langkah untuk menyiapkan projek itu.

Terdapat sebuah bangunan yang dibina pada tahun 1930-an diperbuat daripada bata merah dengan empat cerobong setinggi 100 meter di sungai itu. Ia menjadi mercu tanda terkenal di seluruh dunia selepas kumpulan muzik rock dari London, Pink Floyd menjadikannya sebagai subjek pada kulit hadapan album bertajuk Animals pada tahun 1977.


Bekas stesen kuasa arang batu itu telah menghentikan operasi pada tahun 1983. Hari ini, ratusan pekerja binaan yang memakai jaket keselamatan berwarna kuning berada di kawasan bangunan itu saban hari. Mereka bertungkus-lumus bekerja di sekitar kawasan 17 hektar itu untuk mengubahnya menjadi sebuah kejiranan baharu.

Sebanyak 4,000 rumah baharu dan 1,350 daripadanya direka oleh arkitek terkenal iaitu Norman Foster dan Frank Gehry. Selain itu, dianggarkan 150,000 meter persegi kawasan akan menempatkan pejabat manakala 25,000 meter persegi lagi untuk kedai, restoran dan taman awam.

Bangunan tersebut asalnya direka oleh arkitek Inggeris, Giles Gilbert Scott yang bertanggungjawab membina stesen kuasa yang menjadi kediaman Tate Modern dan kabin telefon tradisional Britain berwarna merah.


Battersea Power Station (BPS)

Dokumentari

Selain kulit album Pink Floyd, bangunan itu juga digunakan sebagai latar tempat dalam filem dokumentari The Beatles bertajuk Help pada tahun 1965, The Dark Knight (2008) dan The King’s Speech (2010).

Pihak pemaju mengimpikan untuk membina pusat beli-belah, taman tema dan stadium baharu kelab bola sepak Chelsea di kawasan itu sejak tiga dekad lalu.

Dua tahun lalu, sebuah syarikat konsortium dari Malaysia telah membeli bangunan itu dan tanah persekitaran pada harga RM21,325 juta. Pasukan pembangunan syarikat itu berjanji untuk mengembalikan BPS ke zaman kegemilangannya.

Sekiranya berdiri berdekatan kawasan turbin yang sedang beroperasi dan kawasan luas gereja St Paul’s Cathedral, kerja-kerja untuk membangunkan kembali BPS kelihatan begitu rumit. Dianggarkan sejuta batu bata buatan tangan akan digunakan untuk menggantikan kerosakan bangunan itu.

Ia termasuk tingkap, beranda, pintu gangsa, pemegang tangan besi tempa, mozek, lantai marmar Itali dan dekorasi seni.

Selain itu, cerobong bangunan retak dan perlu diganti baharu. Dua kren besar yang diguna untuk memasukkan arang batu juga perlu dibaiki dalam usaha memperbaharui bangunan itu.

Perdagangan

Bangunan itu akan diubah kepada tiga tingkat premis dan gerai. Selain itu, ia juga menempatkan hotel, panggung wayang, pejabat enam tingkat dan 250 pangsapuri.

“Ia merupakan satu konsep bandar di dalam kota raya,” ujar Twohig yang berasal dari Ireland dan mempelajari hal ehwal perdagangan di Hong Kong serta Shanghai, China.

Menerusi perdagangan, dia juga membandingkan projek itu dengan daerah Meatpacking di New York, Amerika Syarikat (AS).

Sebuah bangunan kedutaan AS sedang dibina beberapa ratus meter dari bangunan itu. Ia merupakan satu pelaburan dan menjadi faktor utama pembinaan sistem aliran transit awam, London Underground dengan dua stesen baharu di kawasan itu.

Pemilik tapak BPS membuat pelaburan besar dalam projek yang dianggarkan bernilai RM41 juta dan 237 bangunan pencakar langit akan dibina. Ia akan mengubah landskap bandar itu secara drastik.

Seorang ahli akademik dan wartawan British, Tony Travers membe­ritahu, pembinaan semula BPS mempunyai ciri-ciri pembangunan di Hong Kong yang dilaksanakan di kota London.

Kempen pemasaran BPS bermula pada hujung Oktober 2014 lalu. Langkah awal ialah mereka menjual apartmen kepada pembeli kaya di Asia, AS, Perancis dan Itali. Kebanyakan apartmen studio dengan empat bilik tidur telah habis dijual pada harga lebih RM2 juta. – AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: