07 Disember 2014

GMI Lahirkan Graduan Berkemahiran Tinggi


GMI Lahirkan Graduan Berkemahiran Tinggi Untuk Keperluan Pasaran

Sejak penubuhannya pada 1991, Institut German-Malaysian (GMI) telah mencapai matlamatnya dengan melahirkan tenaga manusia berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Menurut Pengarah Urusan GMI, Yusoff Md Sahir, kajian yang dijalankan menunjukkan 93 peratus graduannya kini bekerja dalam sektor kejuruteraan atau teknikal sementara bakinya berkhidmat sebagai pensyarah atau jurulatih.

Katanya, maklumbalas yang kerap diterima daripada industri menerusi pelbagai kegiatan penilaian membolehkan GMI melaksanakan kurikulum yang lebih dinamik untuk memenuhi keperluan industri.


Yusoff berkata demikian kepada Bernama dalam wawancara selepas majlis konvokesyen GMI ke-20 baru-baru ini.

Daripada jumlah 585 graduan yang menerima diploma, 371 adalah dari Jabatan Elektronik Perindustrian dan 214 dari Jabatan Pengeluaran Teknologi.

Jumlah pengambilan pelajar GMI pada masa ini ialah seramai 4,484 pelajar.

"Penyertaan pihak industri dalam konvokesyen ke-20 kami jelas menunjukkan penglibatan mereka dalam latihan teknikal di samping keprihatinan akan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi," tambah Yusoff.

NISBAH PELAJAR-GURU

Pesta Pendidikan dan Karier yang diadakan di GMI pada 30 Okt 2014 lepas menyaksikan penglibatan 30 syarikat dengan lebih 100 peluang pekerjaan untuk dipohon pelajar tahun akhir.

Bagi mencapai matlamatnya, Yusoff berkata GMI mengekalkan nisbah pelajar-guru 24:1 bagi menjamin tenaga pengajar dapat memberi cukup tumpuan kepada pelajar.

"Peningkatan pendekatan latihan menggunakan pembelajaran berasaskan masalah-projek-pengeluaran telah mengukuhkan lagi pembinaan karektor graduan terutama dalam kalangan Gen Y," tegas beliau.

Menurut Yusoff, pihak industri berpuas hati dengan graduan GMI kerana mereka mencapai tahap kecekapan kerja dalam aspek teknikal, sosial dan pembelajaran.

Kecekapan itu, jelasnya amat penting untuk graduan GMI berdaya saing dalam pasaran pekerjaan di samping terus belajar dalam dunia teknologi yang pantas berubah.

Ditanya mengenai rancangan menambah kursus peringkat diploma, beliau berkata graduan GMI boleh melanjutkan pengajian mereka di peringkat ijazah dengan memorandum artikulasi dengan universiti-universiti dari Jerman, United Kingdom dan Australia.

PERJANJIAN DENGAN UNIVERSITI DI JERMAN

Yusoff berkata GMI juga menawarkan program peringkat Ijazah dengan Universiti Malaysia Pahang iaitu Ijazah Teknologi Kejuruteraan (Pengilangan) dan program Ijazah Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) selama dua tahun setengah.

Mengenai Program Persediaan A-Level Jerman (GAPP), beliau berkata ianya semakin popular memandangkan ramai pelajar memilih kejuruteraan sebagai karier dan Jerman sebagai pilihan utama kerana pendidikannya yang berkualiti.

Di bawah Memorandum Persefahaman yang dimeterai sejak 2002 dengan Negeri Bavaria, Hessen, North Rhein Westphalia and Baden-Wurttemberg, pelajar GAPP boleh ditempatkan di lebih 50 universiti sains kegunaan di Jerman.

Sehingga 2014, seramai 566 pelajar melanjutkan pelajaran di University of Applied Sciences di Jerman.

Bernama sempat menemubual beberapa pelajar GMI, antaranya Nur Aina Syahirah Aziz, 21, pelajar Diploma Teknologi Pengeluaran, pengkhususan dalam teknologi acuan.

"Di sini kami belajar teknik asas mesin dan ia menjadi semakin mencabar dan sukar memandangkan saya bukan dari sekolah teknikal.

"Bagaimanapun, saya bernasib baik dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Pada asasnya, proses pembelajaran GMI lebih fokus kepada pembelajaran amali," kata Nur Aina Shahirah.

Pelajar ini akan melanjutkan pengajiannya di bawah pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Australia, Februari depan.


PIHAK industri berpuas hati dengan kecekapan graduan GMI.

MINAT MENDALAM

Muhammad Fadzlee Jasmi, 21, pelajar Diploma Elektronik Perindustrian, dengan pengkhususan dalam proses instrumentasi dan kawalan berkata beliau memilih GMI kerana minat mendalam dalam industri minyak dan gas.

"Bidang ini memerlukan kemahiran pemikiran kritikal tetapi saya berjaya mengikuti kursus ini dengan bantuan pensyarah, belajar cara sendiri serta berkumpulan dengan pelajar senior," kata Fadzlee yang akan menyambung pengajiannya di universiti tempatan.

Bagi Mohd Umair bin Mohamed Noor Azam, 21, pelajar Diploma Elektronik Perindustrian, pengkhususan dalam proses instrumentasi dan kawalan, bidang kejuruteraan bukan pilihan pertama meskipun kedua-dua ibu dan ayahnya pensyarah kejuruteraan.

Bagaimanapun, beliau kemudian memohon belajar di GMI sewaktu berlangusng pameran pendidikan Mara selepas menerima galakan daripada pelbagai pihak.

BANYAK PENGALAMAN

Selepas tiga tahun di GMI, Mohd Umair memberitahu penulis, beliau telah membuat keputusan yang tepat kerana institut itu menyediakan guru berpengalaman dengan pengetahuan dalam teknologi asing dari Jerman, Amerika Syarikat dan Jepun.

Beliau dipilih untuk meneruskan pengajiannya di bawah program Dipoma Pelajar Cemerlang Mara yang diberikan kepada pelajar terbaik.

GMI, usahasama antara kerajaan Malaysia dan Jerman memulakan operasi pada tahun 1992 dan dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditubuhkan di bawah naungan Mara dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia Jerman (MGCC), GMI bermatlamat untuk membantu industri melahirkan pasukan pekerja berkemahiran tinggi.

Pendekatan yang digunakan ialah menggembleng pengetahuan teori menerusi latihan teknikal berasaskan model pendidikan Jerman.

Oleh Zaphne Philip
Sumber: BERNAMAKosmo

0 comments: