18 Disember 2014

Gas Metana Daripada Sisa Buangan Pemprosesan Biji Kopi


Biji kopi merupakan sumber pertanian utama para petani di San Ramon, Nicaragua.

MENIKMATI secawan kopi pada waktu pagi pastinya memberi kepuasan kepada sesiapa sahaja sebelum memulakan tugasan harian.

Bagaimanapun, petani di Amerika Tengah menemui sumber tenaga baharu daripada biji-biji kopi. Menerusi kaedah tersebut, mereka dapat mengubah air sisa pertanian itu kepada biogas.

Biogas merupakan gas yang dihasilkan melalui tindakan bakteria terhadap bahan buangan organik. Kaedah itu merupakan satu cara yang sering diabaikan oleh para petani tetapi kini, ia menjadi perhatian dunia.


Air yang digunakan untuk memproses biji kopi mentah kebiasaannya akan dibuang ke dalam persekitaran yang tidak dijaga dengan baik. Di negara-negara Amerika Tengah, penduduk tempatan menggelarkan air buangan itu sebagai air madu kerana rasanya manis dan berwarna kuning.

Air itu juga merupakan satu punca pencemaran kerana ia mengandungi gas metana yang tinggi. Proses penapaian biji kopi menjadi penyumbang utama kepada pemanasan global.

Di Nicaragua, dianggarkan sebanyak 1.3 juta guni kopi diproses setiap tahun. Ekoran pemprosesan kopi itu, kesannya sama seperti pencemaran alam sekitar daripada 20,000 buah kereta.

Projek perintis

Kini, sebanyak 19 buah ladang di Nicaragua, Guatemala dan Honduras menjalankan projek perintis untuk memulihara dan merawat air dengan mengasingkan gas metana serta menggunakannya sebagai bahan api penjana elektrik.

“Bakaran apinya amat kuat,” ujar Sarahi Pastran yang memasak hidangan yang menggunakan pisang sebagai bahan utama di dapur kediamannya di La Hermandad, San Ramon di Nicaragua.

Dapurnya itu diubah suai dengan memasang paip yang bersambung ke penjana biogas di kawasan luar kediamannya. Penjana itu dihasilkan daripada lebihan kopi yang dibuang ke sungai berdekatan dan menyebabkan air sungai tercemar.

Projek itu dilancarkan kira-kira empat tahun lalu oleh sekumpulan pertanian mampan dari Belanda iaitu UTZ Certified yang mengambil sedikit air daripada kopi untuk kegunaan yang lebih kreatif dan inovatif.

Seorang petani di San Ramon, Francisco Blandon, 39, memberitahu, sisa pertanian akan mengalami pencemaran termasuk air yang berbau busuk tanpa kaedah itu.

“Banyak keluarga tinggal di pesisir sungai. Mereka juga menjadikan air sungai untuk kegunaan harian seperti mandi dan membasuh baju. Mereka mengalami ruam-ruam dan jangkitan cacing kerawit sekiranya minum air sungai di sini,” ujarnya.


Seorang suri rumah menggoreng telur ayam menggunakan dapur biogas di kediamannya di ladang El Puma, Nicaragua.

Jelas Blandon, pada mulanya dia tidak percaya dengan tindakan rakan sekerja yang memasukkan namanya dalam projek tersebut pada tahun 2010.

“Ketika itu, mereka mendesak kami. Saya melihat perkembangan yang menggalakkan sebulan kemudian,” ujarnya.

Cerita isteri Blandon, Fatima Valenzuela Altamiro, 35, kebanyakan jiran-jiran yang berkunjung ke kediaman mereka teruja melihat perkembangan projek itu.

Kayu api

Sebelum ini, dia memasak menggunakan kayu yang menyebabkan dapurnya dipenuhi dengan asap. Suaminya juga dapat mengurangkan penebangan sebanyak lima batang pokok ketika musim menuai dengan menggunakan kaedah itu.

Ketika kali pertama biogas digunakan menerusi paip di dapurnya, dia teruja dengan kadar pembakaran api yang dihasilkan.

Peralatan untuk menghasilkan gas itu dianggarkan bernilai ribuan dolar. Sebanyak 75 peratus kos di Nicaragua dibiayai UTZ Certified manakala 25 peratus lagi dikutip oleh pihak koperasi tempatan.

Penyelaras UTZ Certified di benua Amerika Latin, Vera Espindola Rafael memberitahu, pihaknya berjaya memperoleh keputusan yang baik.

UTZ Certified menjalankan program pelabelan bagi menjamin kualiti kopi terbaik yang dihasilkan dengan amalan yang pertanian mengikut prosedur. Selain itu, kumpulan itu turut memastikan keadaan dan kebajikan petani sentiasa dijaga.

“Kami berjaya mencapai setiap matlamat yang ditetapkan seperti menghasilkan biogas, mengurangkan pencemaran dan penggunaan air yang sedikit. Penggunaan air di kawasan ladang La Hermandad dikurangkan sebanyak 80 peratus berbanding sebelum projek ini dilaksanakan,” ujar pengurus teknikal UTZ Certified, Marvin Mairena.

Setiap ladang memerlukan cara dan kaedah berbeza untuk mengekstrak gas metana bergantung kepada saiz yang diperlukan. Sesetengah petani menghasilkan biogas hanya pada musim menuai tetapi ada yang menggunakannya sepanjang tahun dengan menggantikan biji kopi dengan sisa daripada haiwan.

UTZ Certified melebarkan projek itu ke Columbia, Peru dan Brazil. Kumpulan itu sedang mencari dana untuk projek yang sama di Kenya dan Vietnam. – AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: