17 Disember 2014

One World Trade Centre (WTC 1)



SEORANG pekerja wanita menyentuh kad akses untuk memasuki pintu utama bangunan baharu Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York City, Amerika Syarikat (AS).

Beberapa orang kakitangan syarikat penerbitan gergasi, Conde Nast yang lain berbual-bual sesama sendiri di pekarangan bangunan yang menjadi simbol penguasaan ekonomi AS itu.

Suasana kelihatan ceria meskipun sedikit beremosi kerana situasi itu menandakan pembukaan semula tapak WTC selepas 13 tahun menjadi padang jarak padang tekukur.

Conde Nast melakar sejarah menjadi penyewa komersial pertama di bangunan setinggi 104 tingkat (541 meter) itu yang dibina semula dengan kos sebanyak AS$3.9 bilion (RM12.9 bilion).


Menara tertinggi di AS yang dikenali sebagai One World Trade Centre (WTC 1) itu berdiri megah di tengah-tengah kawasan seluas enam hektar iaitu tapak asal menara berkembar WTC yang menyembah bumi dan mengorbankan lebih 3,000 orang pada 11 September 2001.

“Bangunan pencakar langit dan mercu tanda di New York City kembali berdiri. Bangunan WTC didirikan semula di Lower Manhattan,” kata Pengarah Eksekutif Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey, Patrick Foye baru-baru ini.

Foye yang merupakan pemilik kepada menara berkembar dan tapak WTC itu berkata, bangunan tersebut menampilkan satu standard reka bentuk, pembinaan, prestij dan keteguhan yang baharu. Pembukaan bangunan ikonik itu merupakan satu kejayaan besar dalam transformasi Lower Manhattan sebagai kawasan kejiranan yang berkembang maju.

Selepas kerja-kerja pembinaan tamat dan beberapa peralatan pembinaan dialihkan, syarikat Conde Nast berpindah ke bangunan yang dianggap paling selamat di AS itu.

Pada hari Isnin, 3 November 2014 lalu, lebih daripada 170 orang pekerja berpindah ke lima daripada 25 tingkat yang disewa Conde Nast dan menjelang tahun 2015, seramai 3,000 orang lagi pekerja akan menghuni bangunan itu.


Seorang pekerja wanita Conde Nast menyentuh kad akses untuk memasuki pintu utama bangunan WTC 1 baru-baru ini.

Pergolakan

Sementara itu, arkitek dan pengurus firma kejuruteraan dan seni bina Skidmore, Owings & Merrill, T.J. Gottesdiener berkata, mereka mengambil beberapa langkah keselamatan untuk mengukuhkan struktur keluli dan konkrit bangunan baharu WTC. Ia lebih kukuh berbanding menara berkembar yang runtuh sebelum ini.

Gottesdiener selaku Ketua Arkitek WTC turut memberi jaminan bahawa bangunan baharu itu mampu menangkis sebarang kejadian seperti tragedi 9/11.

Pergolakan politik, komplikasi kejuruteraan dan kemelesetan ekonomi memaksa tarikh siap bangunan itu ditangguh berkali-kali. Kosnya juga melambung berbilion dolar sejak pelan pertamanya dipersetujui.

Sebanyak 60 peratus bangunan itu disewakan manakala 7,432 meter persegi diserahkan kepada firma pengiklanan, Kids Creative; operator stadium, Legends Hospitality; perunding pelaburan, BMB Group dan pembekal pejabat eksekutif, Servcorp.


Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk memenuhi ruang legar bangunan WTC sebaik dibuka semula baru-baru ini.

Jabatan Pentadbiran Perkhidmatan Awam milik kerajaan memiliki kawasan seluas 25,548 meter persegi manakala 17,744 meter persegi lagi menjadi milik kemudahan perdagangan dan kebudayaan, China Center.

Projek pembinaan bangunan pencakar langit seluas 541 meter yang memakan masa selama 13 tahun itu berjaya disiapkan selepas mengalami pergolakan politik, kewangan dan undang-undang.

Perbalahan itu berjaya diselesaikan secara beransur-ansur selepas dua bangunan lain mula didirikan di bahagian tenggara tapak tersebut. Hampir kesemua bangunan WTC 4 sudah disewakan kepada Port Authority yang berpindah baru-baru ini manakala WTC 3 akan dibina secara perlahan-lahan.

Pembangunan semula kawasan itu dilakukan secara beransur-ansur dan di luar imaginasi penduduk New York. Lebih daripada 60,000 orang tinggal di kawasan itu iaitu tiga kali ganda berbanding sebelum tragedi 9/11. Situasi itu menghidupkan semula jalan-jalan, restoran-restoran dan kedai-kedai di Wall Street meskipun terdapat ruang pejabat yang masih ditutup.

Meskipun berlaku peristiwa yang pahit, kejayaan membina semula bangunan itu meninggalkan kenangan yang manis buat arkitek yang bertanggungjawab menyiapkan WTC 1.

Gottesdiener berkata, bangunan tinggi tersebut dibina dengan konkrit bertetulang keluli yang mampu menahan ancaman pengganas.

Katanya, firma seni bina tersebut melakukan lebih daripada kod bangunan di bandar itu bagi mencapai sasaran tersebut.

“Kami melakukannya, akhirnya kami berjaya melakukannya. Bandar raya ini dan seluruh dunia memerhatikan kami untuk membina bangunan yang lebih kukuh serta baik berbanding sebelum ini,” kata Gottesdiener.

Rampasan

Mengimbas tragedi 11 September 2011 (9/11), seramai 19 orang pengganas dilaporkan merampas empat buah kapal terbang. Kesemuanya sedang dalam perjalanan ke San Francisco dan Los Angeles dari Boston, Newark serta Washington.

Seorang warga Pakistan, Khalid Sheikh Mohammed menyampaikan idea untuk melakukan serangan itu kepada Osama bin Laden pada tahun 1996. Mereka merampas pesawat Boeing 767 American Airlines Flight 11 untuk merempuh Menara Utara (North Tower) WTC tepat pukul 8.46 pagi.

Selang 15 minit kemudian, giliran pesawat United Airlines Flight 175 pula menghentam Menara Selatan bangunan berkembar itu. Kemusnahan yang berlaku amat dahsyat. Bangunan yang menjadi simbol kekuasaan ekonomi AS itu akhirnya menyembah bumi. Dalam tempoh dua jam, keseluruhan strukturnya bangunan itu dijilat api.

Tidak cukup dengan itu, pesawat ketiga yang dirampas (American Airlines Flight 77) menuju ke sasarannya, bangunan Pentagon di Arlington County, Virginia. Kerosakan sederhana berlaku pada bangunan itu.

Pesawat keempat iaitu United Airlines Flight 93 yang sasaran asalnya ialah bangunan United States Capitol atau White House bagaimanapun terhempas berhampiran Shanksville, Pennsylvania selepas penumpangnya dilaporkan bertindak melawan perampas.

Trauma

Tiada penumpang pesawat yang terselamat. Angka keseluruhan kematian melebihi 3,000 orang dan mencederakan 6,291 yang lain. Majoritinya ialah orang awam dengan latar belakang kewarganegaraan dari lebih 90 buah negara.

Ia termasuk segelintir mangsa yang mati akibat trauma selepas serangan seperti mengalami masalah paru-paru kerana terdedah dengan debu.

AS mengalami kerugian berbilion dolar. Bukan hanya kerana kerosakan infrastruktur tetapi bursa sahamnya tidak beroperasi sepanjang minggu tersebut.

Serangan yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia itu ternyata mengubah landskap politik global secara serta-merta. AS yang tercalar imejnya pantas melancarkan Perang Menentang Keganasan. Akibatnya, Afghanistan yang diperintah oleh puak Taliban diceroboh atas alasan mahu menghancurkan rangkaian pengganas digelar al-Qaeda.

Selain itu, AS turut menubuhkan Akta Patriot USA (USA Patriot Act). Pada masa yang sama, banyak negara lain mula memperkasakan akta antikeganasan masing-masing termasuk memperluaskan penguatkuasaan undang-undang.

Susunan NORZASRUDIN MOHAMED NOR
Sumber: Kosmo

0 comments: