19 Disember 2014
Perkasakan Ilmuwan Tahfiz
PERTUBUHAN Kebajikan Pelajar-pelajar Tahfiz Malaysia atau Tahfiz, adalah sebuah badan bukan kerajaan yang mempunyai matlamat dan dasar seiring dengan dasar pendidikan Negara. Tahfiz mempunyai hasrat dan cita-cita besar dalam memartabatkan ilmu hafazan terutamanya dalam bidang pengajian al-Quran dan As-Sunnah dalam kalangan pelajar Islam.
Tahfiz telah meletakkan suatu visi untuk menjadi sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang mampu memartabatkan ilmu hafazan al-Quran dan hadis di semua peringkat baik di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi.
Sejak penubuhannya beberapa aktiviti dan program telah dianjurkan. Program Hafazan Al-Quran bawah 15 Tahun yang diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun 2012 adalah usaha Tahfiz yang melibatkan seluruh sekolah agama Tahfiz Al-Quran selain memberi ruang kepada penyertaan pelajar dari sekolah-sekolah aliran yang lain. Program “Kembali Bertalaqqi” di hujung tahun 2012 adalah bagi membantu para pelajar tahfiz mendapat bantuan persekolahan bagi sesi 2013.
Tafiz juga telah berjaya menganjurkan beberapa aktiviti pengajian tahfiz di luar negara. Antaranya adalah program ‘Bertalaqqi Al-Quran Di Sana’a, Yaman’ pada 18 Julai – 14 Ogos 2013 dan ‘Bertalaqqi al-Quran Di Madinah Al-Munawwarah’ pada 9 Mei – 6 Jun 2014 yang lalu.
Demi mempelbagaikan pelajar tahfiz dengan ilmu pengetahuan maka pihak di Tahfiz telah menubuhkan sebuah pusat pengajian lanjutan khusus untuk pelajar-pelajar tahfiz.
Tubuh Pusat Lanjutan Pelajar Tahfiz
Objektif penubuhan Pusat Lanjutan Pelajar Tahfiz (PLPT) ini didasari atas keperluan modal insan masa kini yang memerlukan golongan pekerja yang berkelayakan akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memenuhi pasaran tenaga kerja di Malaysia.
Presiden Tahfiz Datuk Mustapa Othman berkata, pembinaan modal insan merangkumi satu proses lengkap membentuk tenaga kerja manusia yang mempunyai ilmu Al-Quran, berakhlak, berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan.
Modal insan menjadi fokus dan agenda utama kepimpinan negara untuk direalisasikan oleh semua pihak termasuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan tidak terkecuali kepada semua pelajar
“Tahfiz melihat bahawa perlunya diadakan institusi pendidikan seumpama ini agar masyarakat dapat keluar dari kepompong pemikiran yang jumud dengan beranggapan bahawa sekolah atau maahad tahfiz hanya melahirkan produk ustaz atau ustazah.
“Kita mahu membentuk agar pelajar-pelajar keluaran sekolah atau maahad tahfiz ini juga boleh berjaya sebagai jurutera, doktor, peguam, usahawan dan sebagainya," katanya.
Menurut beliau, penumpuan pengambilan difokuskan sepenuhnya terhadap pelajar-pelajar aliran tahfiz agar mereka dapat melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi atau memohon pekerjaan di sektor-sektor kerajaan mahupun swasta selain dari kelayakan mereka sebagai seorang al-hafiz.
“Pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran mereka di institut ini adalah terdiri dari pelajar lepasan sekolah atau maahad tahfiz dari seluruh negara.
“Mereka akan diberikan pengajian akademik mengikut sukatan pelajaran SPM yang sebenar di samping pembelajaran hafazan Al-Quran yang tetap diteruskan. Para pelajar juga akan melalui proses pembelajaran selama dua tahun sehingga mereka dapat mengambil SPM bersama-sama dengan pelajar dari sekolah biasa,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Keistimewaan hafaz al-Quran
MENGHAFAZ al-Quran bukan perkara baru Sejak kitab suci itu diturunkan ia telah pun dihafaz. Nabi Muhammad SAW ialah orang pertama menghafaz al-Quran. Dengan demikian Baginda digelar Saiyidul-Hufaaz (Penghulu bagi penghafaz al-Quran). Golongan Sahabat semuanya menghafaz al-Quran.
Ada antara mereka yang menghafaz seluruh al-Quran, dan ada antaranya yang menghafaz sebahagiannya sahaja. Bagi setiap Muslim dikehendaki menghafaz al-Quran sekurang-kurangnya cukup untuk dibaca ketika dalam solat.
Menghafaz al-Quran bukan bermakna mengingat ayatnya sahaja, malah ia mempunyai maksud yang lebih daripada itu. Tidak ada bahasa lain yang dapat menterjemahkan perkataan hafaz atau (hifz) dalam bahasa Arab. Hifz dari segi bahasa bermaksud menjaga, dan memelihara.
Justeru, orang yang menghafaz al-Quran ialah orang yang memelihara al-Quran daripada hilang. Ia menyimpannya di dalam dada, dan ia membacanya selalu supaya tidak lupa dan tidak hilang.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Hafiz, Klang, Muhamad Luqman Nazmi, 16, berkata, minat menghafaz al-Quran sejak kecil memberikan banyak kelebihan kepada dirinya yang kini menghafaz 19 juzuk al-Quran.
Menurutnya, sejak kecil dirinya telah diasuh mendekati al-Quran kerana ibu bapanya sendiri mengajar di Wisma Hafiz Klang sebagai guru dan Ketua Jabatan Penilaian Prestasi dan Peperiksaan Kolej Hafiz.
“Bagi saya, menghafaz al-Quran adalah mudah sekiranya kita rajin dan sentiasa mengulangi hafalan untuk tidak terlupa.
“Malas memang penyakit biasa bagi semua orang terutama bagi penghafaz seperti kami kerana syaitan memang suka menguji kami, namun ubatnya adalah rajin. Itu sajalah ubat untuk terus menghafaz,” katanya.
Luqman yang belajar di kelas tingkatan empat Tahfiz Sains berkata, sejak di tadika, dia didedahkan untuk mula menghafaz ayat lazim dan surah Yassin dalam al-Quran sebagai latihan diri.
“Alhamdulillah, sejak penghafalan itu, lama-kelamaan minat dan perasan gembira untuk terus menghafaz menjadikan diri saya tidak bosan dengan kitab suci ini, tambahan menjadikan diri terasa lebih tenang.
“Tidak dinafikan, menghafaz al-Quran menjadikan diri lebih berdisiplin dan mudah untuk menghafaz perkara lain kerana terbiasa menghafaz surah-surah susah dalam al-Quran,” katanya.
Seimbang dua aliran
Kata Luqman, di sekolah Hafiz ini juga, mereka bukan sahaja diajar untuk menghafaz al-Quran sahaja, tetapi ada juga sesi akademik yang perlu dipelajari untuk menyeimbangkan ilmu seperti pelajar sekolah lain.
“Tidak bermakna bersekolah di sekolah agama seperti ini, hanya belajar tentang agama sahaja. Tetapi kami juga ada belajar akademik seperti bahasa, matematik, sains dan subjek berkaitan.
“Justeru, bersekolah di sini lagi besar cabarannya kerana perlu bawa dua aliran satu masa dan bagi diri saya ia bukan masalah selagi rajin dan pandai bahagi masa,” katanya.
Rutin harian mereka kata Luqman, dibiasakan untuk bangun awal pagi bagi mengerjakan solat Tahajud dan Witir seterusnya solat Subuh dan meneruskan hafalan sehingga 7 pagi sebelum memulakan sesi pembelajaran di kelas.
“Sesi pembelajaran pagi kami belajar seperti biasa sehingga jam 1.30 petang, kemudian bersambung untuk sesi pembelajaran agama serta hafalan sehingga jam 3 petang.
“Malam adalah waktu mengulang kaji dan hafalan yang dipantau oleh guru bertugas untuk memastikan kami menghafaz al-Quran dengan baik.
Bukan sahaja di waktu kelas sahaja saya menghafaz, tetapi jika ada waktu terluang saya akan menghafaz,” katanya.
Luqman yang bercita-cita menjadi doktor berkata, pelajar di sekolah tahfiz ini juga tidak ketinggalan aktif dalam kokurikulum dan kurikulum sama seperti pelajar lain.
“Saya sendiri terpilih memasuki beberapa pertandingan peringkat sekolah dan daerah dalam pertandingan hafazan, tilawah, syarahan dan khat.
“Bagi pelajar lain ada yang menyertai pertandingan padang seperti bola sepak, badminton dan sukan lain,” katanya.
Sokongan keluarga
Anak sulung daripada lapan adik-beradik ini juga menambah, jika cuti sekolah, proses hafalan tetap diteruskan dengan dipantau ibu dan ayahnya.
“Ibu menjalankan kelas al-Quran di rumah, jadi memudahkan ibu memantau kami adik-beradik jika cuti sekolah untuk menghafaz dalam masa sama beriadah bersama keluarga.
“Ayah pula seorang imam di masjid kawasan perumahan. Oleh itu, setiap kali solat akan mengikut ayah ke masjid untuk solat berjemaah. Rutin harian ini tidak banyak beza jika di asrama kerana memang jenis keluarga yang pentingkan agama serta al-Quran,” katanya.
Tambahnya, semua hufaz menghadapi masalah sama untuk mengingat semula ayat yang telah dihafaz. Justeru kami perlu istiqamah dan rajin untuk terus mengulang dan menghafaz.
Baginya, apa yang penting, sebagai penghafaz al-Quran adalah tahan nafsu kerana pelbagai cabaran kini mudah mengganggu fokus kami termasuklah internet, televisyen dan gajet pelbagai kegunaan.
“Tanggapan pelajar luar terhadap pelajar tahfiz yang kononnya ketinggalan daripada segi akademik dan teknologi adalah tidak tepat.
"Kerana selain menghafaz al-Quran, kami juga mempelajari pelajaran yang sama dengan pelajar lain. Yang penting jadikan al-Quran pegangan hidup," katanya
Oleh: NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
Sumber: Sinar Harian
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan