15 Disember 2014
Kesalahan Pagar Dan Batuk Dalam Pepatah Melayu
ANTARA pepatah yang paling teruk disalah erti, salah eja dan salah makna ialah ‘bagai melepas batuk di tangga’. Ejaan sebenar dalam pepatah ini ialah ‘batok’ iaitu tempurung kelapa yang dijadikan gayung untuk mencuci kaki di rumah Melayu lama. Tiada kaitan langsung dengan masalah dada atau kerongkong.
Begitu teruknya pepatah ini disalah eja, disalah erti sebagai ‘batuk’ berzaman-zaman lamanya. Tidak tahu salah siapa. Samalah kekeliruan besar terhadap satu lagi bidalan iaitu ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.
Yang betul ialah ‘harapkan pegar, pegar makan padi’. Pegar dalam pepatah ini bermaksud ‘Ayam Pegar’ yang merupakan sejenis burung kuang yang boleh didapati di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Sumatera. Nama saintifiknya ialah Lophira ignita.
Dua pepatah di atas telah dibincangkan dengan terperinci oleh pakar bahasa, A. Karim A. Bakar semasa menyampaikan kursus pemantapan bahasa kepada sidang ridaksi akhbar ini, sejak dua minggu lalu.
Mengulas lanjut perihal ‘batok’, sememangnya ia memberi cabaran kepada pelajar bahasa Melayu untuk benar-benar menjiwainya. Apatah lagi zaman ini, untuk mencari batok adalah sukar. Hari ini di kampung-kampung pun tidak banyak mengadakan tempayan dan batok untuk tujuan mencuci kaki.
Diperhalusi makna tersirat, seseorang yang melepas batok di tangga bermakna seseorang yang tidak cermat untuk meletakkannya semula ke dalam tempayan dengan teratur. Ini menyusahkan orang seterusnya yang mahu menggunakan batok. Secara ringkas, definisinya ialah seseorang yang melakukan kerja dengan lewa.
Bila disongsangkan ejaan menjadi batuk, ia dikatakan bermaksud sama. Tapi logiknya bagaimana? Bila seseorang itu batuk di tangga, maka dia dilabel sebagai tidak cermat atau tidak bersungguh-sungguh? Apakah bila seseorang itu batuk di beranda atau bilik tidur, bermakna dia cermat?
Begitu juga dengan ‘harapkan pagar’. Selama ini saya tidak tahu pun pepatah ini salah. Dalam imaginasi saya pagar-pagar ini menghempap pokok padi atau jagung, maka itu lahir bidalan orang dahulu kala berkaitan pagar.
Bila belajar lebih mendalam dengan pakar bahasa, tersentaklah daripada lena berpurnama lamanya bahawa yang dimaksudkan bukan pagar tetapi pegar. Ini pun cabaran kepada pelajar masa kini terutama yang tinggal di bandar. Mana pernah dengar ayam pegar.
Dua contoh kesilapan pepatah di atas menjelaskan keperluan untuk kita semua yang bertutur dan menulis bahasa Melayu, yang menyayanginya sebagai bahasa ibunda dan menghormatinya sebagai bahasa kebangsaan agar sentiasa mengemas kini perbendaharaan bahasa Melayu kita.
Penggunaan perkataan yang salah, ejaan merapu, struktur tunggang-langgang dalam apa dokumen sekali pun, bukan hanya menggambarkan kedangkalan minda penulisnya tetapi juga memendekkan hayat bahasa Melayu.
Dalam surat-surat rasmi kerajaan sekarang pun, makin kerap menyaksikan penggunaan bahasa yang lemah. Ada yang tidak tahu apa dan bagaimana menggunakan perkataan Datuk dengan Dato’. Pangkat Datuk adalah dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong dan empat negeri tidak beraja. Pangkat Dato’ pula adalah dari sembilan negeri beraja.
Jika rajinkan sedikit membelek buku etiket terbitan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), kekeliruan seumpamanya tidak akan berlaku.
Terdapat juga individu-individu yang suka mengubah suai pepatah Melayu lama, mengikut gaya dan sedap mulut mereka sendiri. Memanglah cara mereka ini pantas menarik minat audiens tetapi dari segi jangka panjang, perlakuan mengubah suai pepatah Melayu lama hanya akan menghakis ketulenan dan maknanya. Apakah ini yang terjadi kepada pegar dan batok?
JOHARDY IBRAHIM
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan