16 Disember 2014

Plastic Rain-Shelter Punca Banjir Lumpur

Pekebun membina Plastic Rain-Shelter di beberapa kawasan berbukit
Pekebun membina Plastic Rain-Shelter di beberapa kawasan berbukit yang ditarah untuk meluaskan kawasan penanaman sayur. ~ Gambar hiasan

Di samping masalah kerakusan pencerobohan tanah di Cameron Highlands, kaedah pemasangan struktur pelindung hujan Plastic Rain-Shelter (rumah plastik) yang tidak sesuai oleh pekebun juga antara faktor merangsang kejadian banjir lumpur.

Pemasangan Plastic Rain-Shelter oleh pekebun dalam skala besar tanpa reka bentuk yang sesuai ter­utamanya di lereng bukit, dikatakan menyebabkan air hujan yang mengalir ke sungai menjadi lebih deras dan banyak serta menyebabkan hakisan.

Perkara itu turut dipersetujui oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar penyelidik alam sekitar dan pekebun sendiri bahawa pemasangan Plastic Rain-Shelter perlu mempunyai sistem reka bentuk yang sesuai di kawasan lereng bukit.


Plastic Rain-Shelter atau lebih dikenali sebagai rumah plastik yang mempunyai reka bentuk hampir sama dengan rumah hijau berfungsi untuk mengurangkan kadar kelembapan hasil tanaman dan menghasilkan produk tanaman yang lebih berkualiti.

Kajian dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) menyatakan kadar aliran air meningkat di kebun yang menggunakan Plastic Rain-Shelter.

Hasil kajian berjudul Sustaina­bility of Current Agricultural Practices in the Cameron Highlands (Kemampanan Amalan Pertanian Masa Kini Di Cameron Highlands) pada 2005 itu mengemukakan dapatan, berlakunya peningkatan aliran air di ladang kebun bunga yang menggunakan Plastic Rain-Shelter berbanding ladang sayur yang tidak menggunakannya.

Malah sekiranya hujan lebat berlaku, ladang kebun bunga dilihat menyumbangkan banjir lumpur berbanding ladang kebun sayur.

Dalam kajian itu, MARDI menyatakan pemasangan Plastic Rain-Shelter mestilah dibina sesuai dengan keadaan muka bumi, dan air larian pintas yang berlebihan mestilah diurus dengan cekap, untuk mengelakkan tanah runtuh dan hakisan di tebing sungai.

Namun, pemasangan Plastic Rain-Shelter kini bukan hanya tertumpu kepada ladang kebun bunga di sini. malah kebun sayur turut menggunakannya.

Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff berkata, terdapat kemungkinan pemasangan Plastic Rain-Shelter di lereng-lereng bukit dalam skala yang besar boleh merencatkan pro­ses kitaran air semula jadi.

Katanya, adalah normal apabila hujan, sebahagian daripada air hujan akan menyerap ke dalam tanah, akan tetapi, apabila sesuatu kawasan besar dilindungi dengan pelindung plastik, maka kadar serapan air hujan akan berkurangan.

Abdull Rahim berkata, air hujan yang terkumpul dari atap plastik ini biasanya akan disalurkan ke parit yang seterunya mengalir terus ke sungai.

“Jika berlaku keadaan hujan le­bat pada satu masa tertentu, kuantiti aliran air permukaan akan bertambah banyak dan alirannya juga akan bertambah laju.

“Jika air permukaan ini tidak diuruskan dengan betul alirannya, ia akan menghakis parit-parit dan tebing-tebing sungai dan memungkinkan berlakunya banjir lumpur,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Kebun Bunga Cameron Highlands, Wong Seng Yeen berkata, kebanyakan pengusaha kebun kini memasang Plastic Rain-Shelter untuk menghasilkan produk tanaman lebih berkualiti.

Katanya, melalui Plastic Rain-Shelter ia boleh mengurangkan kadar pertumbuhan fungus pada produk tanaman, mengurangkan kadar penggunaan racun serangga dan meningkatkan hasil pengeluaran produk yang baik dan banyak.

Namun, beliau juga tidak menafikan bahawa pada musim hujan lebat, kebun yang menggunakan Plastic Rain-Shelter telah menyumbangkan aliran di sungai semakin deras ekoran air yang tertakung di atas atap plastik terus dialirkan ke sungai.

“Kebun orkid saya juga menggunakan Plastic Rain-Shelter kerana ia membantu menghasilkan bunga orkid berkualiti lebih baik, tetapi pada masa sama saya juga sedar tentang kesan negatif menggunakan stuktur pelindungan hujan ini dan sebab itu saya pasang sistem penuaian air hujan.

“Dengan ini saya dapat meminimumkan aliran air dan juga menggunakan air hujan untuk menyiram pokok bunga orkid saya,” katanya.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), R. Ramakrishnan berkata, menggesa pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk memantau semua kebun yang menggunakan Plastic Rain-Shelter terutamanya di lereng bukit.

Sumber: BERNAMA, Utusan

0 comments: