14 Disember 2014

Gula-Gula Deodoran ‘Pemanis’ Bau Badan


GULA-GULA deodoran ini diinspirasikan daripada penyelidikan oleh saintis Jepun.

JIKA sebelum ini, deodoran didatangkan dalam bentuk semburan, berbuli atau sapuan, kini variasinya ditambah oleh seorang pembuat gula-gula di Bulgaria. Deodoran jenis baharu itu dihasilkan dalam bentuk gula-gula dan ia boleh dimakan.

“Bagaikan pepatah yang mendakwa bahawa kecantikan datangnya dari dalam. Jadi, mengapa tidak daripada gula-gula?” ujar pemilik kilang gula-gula Alpi, Ventsislav Peychev.

Dakwanya lagi, gula-gula pewangi deodoran (Deo Perfume Candy) keluarannya mampu meneutralkan bau badan dan menggantikannya dengan haruman manis yang mampu bertahan sehingga enam jam, bergantung kepada saiz tubuh seseorang dan berapa banyak gula-gula yang dimakan.


Produk itu dihasilkan dalam bentuk gula-gula tipikal dan mempunyai tiga pilihan iaitu keras (dihisap), kenyal (dikunyah) dan bebas gula. Penghasilan deodoran gula-gula ini adalah berdasarkan penyelidikan oleh saintis Jepun yang mendapati sebahagian besar komponen minyak bunga ros iaitu geraniol tidak terurai oleh tubuh badan tetapi dikumuhkan menerusi kulit.

Penemuan itu diaplikasikan Peychev kerana Bulgaria merupakan pengeluar terbesar minyak bunga ros walaupun ia adalah negara termiskin dalam senarai Kesatuan Eropah.

“Geraniol adalah lawan (antipode) bagi bawang putih. Ia juga keluar daripada pori-pori tetapi bezanya, ia tidak meninggalkan bau yang kurang menyenangkan sebaliknya mengharumkan tubuh,” dedah Peychev.

Dianugerahkan pingat gangsa pada Pameran Reka Cipta Geneva 2011 dan anugerah inovasi teknikal pada pameran makanan Salon International de l’Agroalimentaire (SIAL) di Paris, Perancis pada Oktober 2014 lalu, gula-gula deodoran itu dijual pada harga Euro 4.81 (RM20.51) bagi satu pek di Amazon.com. Ia telah pun memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS), Asia dan beberapa negara Eropah.

Walaupun ia bukan konsep baharu, gula-gula deodoran Peychev adalah satu-satunya produk sedemikian di pasaran selepas pengeluar Jepun menghentikan gula-gula getah Otoko Kaoru yang dihasilkan berpandukan idea serupa.

Kuantiti

KEPANJANGAN tempoh haruman pada tubuh seseorang bergantung kepada jisim badannya.

Setiap biji gula-gula Peychev mengandungi tiga miligram minyak bunga ros atau lavender yang kaya dengan geraniol. Pilihan itu didapati lebih disenangi golongan lelaki.

“Kuantiti itu sudah cukup untuk mengekalkan haruman selama enam jam. Namun, ia bergantung kepada jisim badan pengguna dengan purata seberat 65 kilogram. Individu dengan berat badan lebih daripada itu perlu memakan lebih banyak gula-gula, mungkin dua, tiga atau empat biji,” saran profesor di Universiti Teknologi Makanan Plovdiv, Bulgaria, Dimitar Hadzhikinov yang turut membantu dalam pembangunan gula-gula keluaran Alpi itu.

Tambah Hadzhikinov, efeknya akan lebih pantas menerusi gula-gula jenis lembut dan bebas gula kerana ia mudah terlarut dalam mulut. Memandangkan kesemua bahan-bahan yang digunakan adalah semula jadi, tidak seharusnya timbul kerisauan untuk memakan lebih daripada sebiji.

Sama ada gula-gula yang dijual pada harga Leva 2 (RM4.36) sepeket yang mengandungi 20 biji gula-gula di pasaran Bulgaria itu akan mendapat sambutan besar daripada masyarakat, ia masih belum dapat dipastikan.

Ahli kimia di Pusat Deria Kimia Monell, Philadelphia, AS, George Preti memberitahu: “Sukar untuk menentukan sambutan dan jangka hayat produk tersebut sekiranya pengeluarnya jarang melakukan atau membentangkan data analisis atau klinikal bagi menyokong teori deodoran itu. Tiada produk deodoran yang boleh dimakan atau dikunyah mampu bertahan untuk tempoh panjang dalam pasaran setakat ini.”

Namun, ia tidak mematahkan semangat Peychev yang tidak hanya melihat makanan fungsional sebagai cabang perniagaan, malah satu minat. Bekas jurutera berusia 55 tahun itu sebelum ini pernah membangunkan gula-gula tenaga bersama kafein dan guarana, gula-gula penyejuk yang mengandungi vitamin dan kalsium serta gula-gula pelangsingan bersama fiber diet terlarut dipanggil inulin.

Syarikatnya, Alpi yang terletak di selatan bandar Asenovgrad kini mempunyai kira-kira 40 pekerja dan mengeluarkan 500 tan gula-gula tahun lalu dengan nilai pulangan mencecah Euro 2 juta (RM8.5 juta). Laporan kewangan itu sekurang-kurangnya membuktikan betapa ‘manisnya’ pertumbuhan operasi syarikat yang diusahakan Peychev. – AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: