04 Disember 2014

Lelaki dan Krisis Pertengahan Umur



KRISIS pertengahan umur (Midlife Crisis) memberi kesan kepada golongan yang berumur di antara 35 dan 50 tahun. Ia adalah satu sindrom yang kontroversi kerana pakar-pakar kesihatan berpendapat masalah ini berkaitan dengan otak atau perubahan hormon.

Simptom krisis pertengahan umur termasuk hilang tumpuan, kemurungan, mudah marah, rasa lemah, kurang daya ingatan, bersikap pasif dan keletihan.

Lelaki nampaknya cukup terjejas oleh keadaan ini. Pada satu peringkat, kebanyakan lelaki berasa bimbang terhadap apa yang telah mereka capai setakat ini, sama ada dalam kerjaya atau kehidupan peribadi.


Ketidaktentuan ini boleh membawa ke satu tempoh kemurungan dan kegawatan emosi yang menjelma dalam gabungan simptom fizikal dan emosi yang memberi kesan kepada mereka dan keluarga mereka.

Testosteron dan krisis pertengahan umur

Testosteron adalah hormon seks lelaki yang paling dominan. Ia bertanggungjawab terhadap perkembangan ciri-ciri am lelaki seperti pertumbuhan bulu pada muka, kemaluan dan badan, serta merangsang pembentukan otot. Hormon ini juga membantu mengekalkan nafsu seks, penghasilan sperma dan ketumpatan tulang.

Otak dan kelenjar pituitari berperanan mengawal atur penghasilan testosteron oleh testis. Tahap testosteron yang rendah (juga dikenali sebagai hypogonadism) boleh menyebabkan nafsu seks menurun, masalah ereksi, kemurungan, kekurangan stamina dan perubahan mood yang tidak menentu.

Perhatikan bahawa gejala-gejala ini hampir sama dialami semasa krisis pertengahan umur. Oleh itu, lelaki yang mengalami krisis pertengahan umur perlu menjalani pemeriksaan untuk menentukan, sama ada punca masalah ini adalah disebabkan tahap testosteron yang rendah (T Rendah).

Akibat jangka panjang ‘T Rendah’ tidak boleh dipandang ringan. Masalah testosteron juga dikaitkan dengan keguguran rambut, kehilangan jisim otot, kecenderungan untuk meningkatkan pengumpulan lemak badan. Jika dibiarkan berlarutan, ia berpotensi mencetuskan kerapuhan tulang (osteoporosis), perubahan mood, kelesuan dan pengecutan testis.

Selain itu, tahap testosteron yang rendah juga dikenal pasti memburukkan faktor risiko keadaan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, hiperlipidemia dan juga pelbagai masalah kardiovaskular lain.

Sumber: Sinar Harian

Lelaki & perubahan diri pada usia 40!

LELAKI dalam lingkungan usia 40 hingga 60 tahun kerap dikaitkan dengan krisis pertengahan usia. Walaupun mungkin ada memandangnya dari sudut negatif, ia sebenarnya sebahagian proses kematangan normal.

Semua orang akan melalui detik perubahan emosi dalam hidup. Namun, bagaimana anda menangani perubahan itu yang akan mempengaruhi hidup? Ada lelaki berjaya mengharunginya dengan baik.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bagi sesetengah lelaki, krisis pertengahan usia sangat merumitkan hingga membawa kepada tekanan perasaan atau mungkin perceraian.

Jika wanita mengalami putus haid, lelaki pula kerap tersepit dalam permasalahan pada usia pertengahan. Ada penyelidik melihatnya sebagai andropaus, namun sebenarnya lebih pada keupayaan seseorang lelaki itu menangani masalah yang dihadapinya.

Perkara paling asas ialah menjaga pemakanan dan bersenam, selain berada dalam persekitaran positif. Lelaki dengan emosi tidak stabil mula berfikiran negatif.

Dia membandingkan kejayaan dirinya dengan rakan, sekali gus memberi tekanan dan mula berasakan kehidupannya akan berakhir tanpa sebarang pencapaian.

Perubahan hormon

Keadaan ini diburukkan lagi dengan perubahan hormon yang mempengaruhi bukan saja fizikal tetapi keinginan seksual dan dihimpit permasalahan peribadi dengan pasangan. Hormon testosteron bukan saja mempengaruhi keinginan seksual, tetapi apabila parasnya menurun ia juga menjejaskan pemikiran dan tubuh badan.

Krisis pertengahan umur dalam kalangan lelaki juga boleh dilihat pada perubahan fisiologi. Menghampiri usia 40 tahun, hormon testosteron menyebabkan perubahan fizikal yang boleh dilihat. Antaranya jika dulu tegap tetapi sekarang sudah gemuk dan buncit.

Fungsi seksual juga berkurangan, sekali gus mempengaruhi sosiologi. Perubahan biologi dilalui oleh semua lelaki dan wanita tetapi perubahan itu tidak sama.

Hal ini berkait dengan isu paling asas, menjaga pemakanan dan mengawal berat badan dan berada dalam suasana persekitaran yang kondusif. Ada kala tekanan perasaan pada pekerjaan ditambah dengan masalah kesihatan akan menyebabkan lelaki hilang kawalan dalam hidupnya.

Ada juga lelaki yang berkeinginan memulakan hubungan baru kerana melihat kehidupan sosialnya semakin stabil dan anak-anak juga sudah meningkat dewasa.

Lelaki yang berdepan dengan krisis pertengahan umur kerap tidak menyedari masalah sebenar. Isteri atau ahli keluarga rapat boleh membantunya. Perubahan sikap dan mood boleh memberi petunjuk masalah sebenar dialami.

Jika dikaitkan dengan masalah andropaus, perlu dirujuk kepada doktor. Mengambil terapi gantian hormon antara rawatan yang ditawarkan perubatan moden. Namun, keupayaan mengawal diri, bersenam dan menjaga kesihatan adalah antara langkah paling asas dan utama.

Simptom krisis pertengahan usia

* Berasa tidak bahagia dengan hidup atau gaya hidup.
* Bosan dengan mereka yang berada di sekelilingnya dan bidang yang dulu menarik minatnya.

* Mempersoalkan pilihan yang tidak dibuat dalam hidup dan mengapa mereka tidak memilih sebaliknya.
* Marah pada pasangan dan rasa terikat dengannya.

* Tidak berupaya membuat keputusan hala tuju hidup mereka.
* Keinginan menjalin perhubungan baru (Ramai lelaki usia ini menyalah tafsirkan keinginan ini dengan mula mencari alasan berkahwin dengan anak dara).

Oleh: HASLIZA AR KAMALUDIN
Sumber: Majalah MIDI, Sinar Harian

Menangani Krisis Pertengahan Umur

Midlife crisis perlu ditangani. Setiap orang perlu melalui proses ini dengan bijak. Anda tidak perlu musnahkan kehidupan sekarang untuk kembali ke dunia remaja. Apa yang perlu dilakukan adalah belajar cara-cara merangsang minda bagi mengembalikan semula perasaan indah zaman tersebut.

Di samping itu, pengambilan makanan seimbang, senaman berkala dan rawatan hormon juga boleh dilakukan untuk membantu melambatkan proses penuaan.

Stres adalah masalah utama golongan ini. Kurangkan stres dan elakkan kerisauan melampau.

Tidurlah secukupnya. Pastikan anda telah pun tidur dengan nyenyak pada pukul 11 malam ke 2 pagi kerana waktu inilah badan anda melakukan proses membaik pulih.

Kurangkan mengomel tentang sebarang kekurangan pasangan dan banyakkan melihat kelebihan yang ada. Kukuhkan ikatan kekeluargaan dengan meluangkan lebih banyak masa bersama.

Kebanyakan lelaki usia ini tidak ramai kawan rapat. Hubungi rakan lama di sekolah dan jangan malu untuk beritahu yang anda telah berubah sesuai dengan usia.

Kurangkan penglibatan dengan kumpulan berteraskan sosial atau politik. Sertailah aktiviti kumpulan keagamaan setempat seperti masjid dan surau.

Senaraikan keutamaan hidup dan keluarkan mana yang tidak penting. Ini akan mengurangkan komitmen masa dan wang anda. Betulkan hala tuju kerjaya dengan meningkatkan kemahiran dan cuba teroka bidang baru seperti kembali ke kolej atau universiti jika berpeluang.

Mulakan semula hobi zaman remaja seperti menunggang motosikal, menulis buku, menanam pokok bunga, bermain bola atau menonton wayang. Ini akan mengembalikan semula perasaan gembira pada waktu tersebut.

Luangkan masa dengan mereka yang boleh menggembirakan hati. Cari peluang untuk ketawa seperti mengambil gambar aksi sendiri atau menonton komedi.

Sentiasa ingat perkara-perkara yang pernah membuat anda gembira seperti saat manis bercinta, kelahiran cahaya mata atau ketika anda menikmati pemandangan indah.

Sumber: Utusan

INFO: Krisis pertengahan usia:

Ungkapan ‘mid life crisis’ atau krisis pertengahan usia pertama kali diperkenalkan oleh Jaques Elliot pada 1965. Seterusnya digunakan secara meluas oleh ahli psikologi seperti Freud Carl Jung.

Ia membawa maksud tempoh peralihan daripada muda ke matang. Individu cenderung melakukan perkara yang menjadi impiannya, tetapi tidak mampu dilakukan ketika muda atau sebelum ekonomi tidak kukuh.

Krisis ini dialami lelaki dan wanita. 

Bezanya, lelaki memberi tumpuan secara langsung ke atas pencapaian mereka, dan keinginan membuktikan kejayaan itu, kepada orang lain di sekeliling mereka, berbanding wanita yang menjurus kepada penampilan fizikal, daya tarikan seksual diri serta dan apa yang mereka boleh lakukan lantaran anak-anak sudah dewasa.

Tips tangani krisis pertengahan usia:

* Kenal pasti tahap seksual masing-masing, rawat sekiranya dikesan ada masalah.
* Amalkan makanan sihat, seimbang, lakukan senaman.

* Menjelaskan kepada pasangan perubahan dihadapi itu dan bagaimana cara anda berdua mencari jalan penyelesaian.
* Berbincang sebelum mengambil sesuatu keputusan termasuk mewarna rambut atau menukar kereta baru.

* Dapatkan bantuan profesional termasuk pelbagai jenis terapi, perubatan, dan rawatan holistik.
* Melihat krisis pada pandangan positif, fikir idea baru, pertimbangkan secara teliti bagaimana mengurangkan kesan krisis.

* Teroka aktiviti baru boleh meningkatkan asas pengetahuan serta membantu anda bergerak keluar dari zon selesa.
* Sertai kerja sukarela boleh menawarkan perspektif baru dalam hidup. Sebagai contoh membantu mangsa bencana alam.

* Dekatkan diri dengan mendengar ceramah agama serta motivasi. Selalunya, kata-kata baik dapat melembutkan hati yang keras.
* Merancang hidup. Mengambil langkah-langkah ke arah perubahan positif boleh membawa tenaga baru ke dalam perkahwinan dan kerjaya.

* Buat satu senarai semua untuk mencapai pada tahun depan, dalam tempoh lima tahun akan datang dan dalam tempoh dua puluh tahun akan datang.
* Berkomunikasi dengan pasangan mengenai matlamat peribadi baru dan bagaimana ia boleh dicapai.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Sumber: BHarian

0 comments: