25 Disember 2014

Masalah Obsesif Kompulsif (OCD) ~ Penyakit Was-Was Melampau


OCD ~ Gejala Was-was Melampau?

Wong (bukan nama sebenar), merupakan seorang mahasiswa, yang kerap merasakan dirinya tidak bersih sehinggakan dia mengambil masa berjam-jam lamanya bila berada di bilik mandi.

Dia akan membasuh kedua-dua tangannya dan mandi berulang kali. Bukan itu sahaja, dia akan jalan mengundur bila mahu keluar dari bilik mandi di asramanya.

Lebih teruk lagi bila Wong mahu keluar untuk menghadiri kuliah. Dia akan memeriksa pintu biliknya sama ada telah berkunci dengan membuka serta menutup pintu dan memusingkan tombol pintu, berulang kali.


Banyak kali juga dia akan berpatah balik setelah melangkah hanya beberapa meter untuk memastikan pintu itu betul-betul dikunci. Untuk mendapatkan kepastian terakhir, beliau akan mengetuk pintu biliknya dari luar bagi memastikan tiada orang di dalamnya.

Wong merupakan antara individu yang menghidapi masalah obsesif kompulsif (OCD) atau perasaan was-was ekstrem.

Dalam kes lain, seseorang mempunyai tabiat membuka dan menutup pintu berulang-kali sehingga benar-benar yakin untuk meninggalkan rumah.

PERASAAN, GELAGAT

Bila seseorang mengalami OCD, dia akan mempunyai perasaan serta kelakuan dan gelagat yang ekstrem, jelas Pegawai Perubatan Neurologi Dr A. Ridzwaan Talib.

"Bagi yang mengalami OCD, mereka mempunyai gelagat, kelakuan serta perasaan was-was obsesif yang akan memberi kesan terhadap rutin hidup seharian. Tidak kira bagaimana cara mereka mencuba, mereka tetap tidak terlepas daripada masalah ini.

"Ini kerana OCD merupakan masalah berpunca dari otak, seperti keresahan serta ketakutan melampau atau juga kombinasi kedua-duanya sekali," kata beliau.

Menurut Dr Ridzwaan, antara simptom penyakit ini ialah melakukan gerakan berulang kali ketika membersih dan memeriksa, selain daripada keterlaluan atau ekstrem dalam memikirkan aspek seksual, keganasan atau aspek keagamaan.

"Kelakuan yang berulang kali seperti membuka dan menutup pintu sebanyak 20 kali sebelum meninggalkan bilik adalah untuk melegakan keresahan serta pemikiran yang mengatakan pintu bilik itu mungkin belum dikunci.

"Tetapi ini membuang masa dan mendatangkan stres yang hebat. Kesan paranoid sebegini boleh membuat individu itu psikotik.

"Tetapi kebanyakan mereka yang menghidap OCD sedar akan obsesi ini," kata beliau.

PERLU BANTUAN, PEMAHAMAN

Menurut Dr Ridzwaan, mereka yang punya masalah OCD perlu bantuan dan boleh dibantu.

"Mula-mula pesakit OCD perlu memahami isu itu. Mereka perlu tahu masalah itu merupakan perasaan yang tidak boleh dikawal seolah-olah terpaksa mereka lakukan dan tidak dapat melepaskan diri dari perasaan ini dan melakukannya.

Katanya, bagi OCD, minda seseorang itu akan terlekat pada sesuatu perkara atau rangsangan.

"Contohnya anda mungkin rasa hendak periksa dapur gas sebanyak 20 kali bagi memastikan anda benar-benar sudah menutup saluran gas. Basuh tangan sehingga sampai naik berdarah atau perkara-perkara ekstrem yang lain.

"Ini semua tanpa kawalan, seperti imej dan impuls otak yang berlaku tanpa henti berulang kali.

JENIS WAS-WAS

Terdapat beberapa kategori bagi mereka yang mempunyai masalah ini.

Kata beliau, kategori pertama ialah mereka yang takut kotor dan akan membersih tangan dan badan berulang-kali.

"Kumpulan kedua rasa terpaksa memeriksa pintu, dapur gas berulang kali bagi memastikan keselamatan dan menjauhi bahaya.

"Ada yang rasa bersalah atau berdosa dan merasakan mereka perlu lakukan sesuatu untuk mengelak daripada didenda atau dihukum.

"Ada juga yang rasa obsesi dengan cara mengatur barang atas meja dan rak atau mengatur perabot dan dekorasi di dalam rumah. Ada juga yang punya kepercayaan karut tentang sesuatu nombor, warna atau corak dan aturan.

Kata Dr Ridzwaan, kategori lain adalah jenis yang rasa semua barang atau benda perlu disimpan, dan sesuatu yang buruk akan berlaku jika barang itu dibuang lantas semua barang yang beliau tidak perlu akan dikutip dan disimpan termasuk benda-benda yang yang boleh dianggap sebagai sampah.

"Tetapi harus diingat, walaupun kadang kala anda mempunyai pemikiran yang obsesif atau melakukan sesuatu perkara secara obsesif, tidak bermakna anda mempunyai masalah OCD," katanya.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA

Terapi Untuk Pesakit OCD


Tidur Dan Rehat Yang Cukup Boleh Bantu Elak Was-was Ekstrem

Masalah keresahan melampau atau 'Obsessive Compulsive Disorder' (OCD) boleh memberi impak negatif yang besar terhadap mereka yang mengalaminya.

Menurut pakar-pakar neurologi (saraf), terapi terbaik bagi mereka yang mengalami OCD ialah terapi 'kognitif-tingkahlaku'.

Terdapat juga ubat bagi menghilangkan kemurungan tetapi ubat sahaja jarang sekali berkesan mengurangkan simptom masalah ini.

PENDEDAHAN, RESPONS

Pegawai Perubatan Neurologi Dr A Ridzwaan Talib menjelaskan bahawa terdapat dua komponen bagi terapi kognitif-tingkahlaku.

"Pendedahan serta juga halangan respons," kata beliau.

"Pendedahan serta menghalang respons berkisar kepada sumber yang menyebabkan obsesi itu. Individu itu akan dihalang daripada melakukan aktiviti kompulsif bagi meredakan keresahannya.

"Contohnya, bagi seseorang yang kompulsif dalam membasuh tangan. Beliau akan disuruh menyentuh tombol atau pemegang pintu tandas awam dan kemudian dihalang daripada membasuh tangannya.

"Semasa orang itu dalam keresahan, desakan untuk membasuh tangan secara 'ritual' (berulang kali) akan beransur hilang.

"Melalui cara ini, individu itu akan belajar bahawa beliau tidak perlu melakukan ritual itu dan belajar mengawal perasaan obsesif dan tingkahlaku kompulsif.

Katanya, terapi kognitif pula memberi fokus terhadap pemikiran yang bahaya dan rasa tanggungjawab besar individu berkenaan. Ia mengajar cara memberi respons yangsihat dan efektif terhadap pemikiran obsesif tanpa perlu melakukan tingkah laku kompulsif.

LANGKAH MENGATASI SIMPTOM

Menurut Dr Ridzwaan, pakar neurologi mengesyorkan beberapa langkah bagi mengatasi OCD.

"Kenal pasti pemikiran dan desakan OCD. Contohnya, latihkan diri mengatakan 'tangan saya tidak kotor' atau 'saya rasa tidak perlu basuh tangan'.

"Sedar yang pemikiran sebegitu adalah disebabkan OCD dan katakan pada diri anda 'ia bukan sebenarnya saya, tetapi hanya OCD' bagi mengingatkan tingkah laku itu adalah mesej-mesej palsu dan tidak bermakna yang dihantar otak".

Beliau menasihati mereka yang mengalami masalah itu memberi fokus terhadap perkara lain walaupun hanya beberapa minit. Pesakit perlu berkata "saya mengalami gejala OCD dan perlu melakukan sesuatu yang lain."

Menilai semula gejala OCD juga perlu dilakukan dengan berkata ia bukan sesuatu yang signifikan dan hanya merupakan suatu 'obsesi yang bodoh' dan tidak perlu diberi perhatian.

BANTUAN KELUARGA

OCD boleh mengganggu hidup sosial dan keluarga mereka yang mengalaminya.

"Keluarga boleh membantu dalam memahaminya serta mengelakkan konflik daripada berlaku. Ahli keluarga boleh memberi motivasi serta sokongan terhadap individu yang menghidapi OCD," kata Dr Ridzwaan.

Beliau juga mengesyorkan aktiviti riadah seperti melakukan joging, jalan kaki, mendengar muzik dan melayari Internet semata-mata untuk mengelakkan diri daripada tingkah laku kompulsif dan pemikiran obsesif.

"Cuba melengah-lengahkan respons, lagi lama dilengahkan, semakin hilang desakan melakukan gerak kompulsif itu," kata beliau.

ELAK STRES

Kata beliau, sesuatu yang mendatangkan stres boleh mencetuskan atau memburukkan lagi episod OCD.

"Oleh itu penting bagi kita elakkan stress untuk menjauhi OCD," nasihat beliau.

Pesakit dinasihatkan mengamalkan gaya hidup tanpa stress serta aktiviti yang mendatangkan relaks selain daripada mengamalkan senaman serta pemakanan yang secukupnya.

"Tidur dan rehat secukupnya, dan jauhi rokok, nikotin dan alkohol," nasihat beliau.

ELAK DARIPADA BERSENDIRIAN

Dr Ridzwaan menasihati mereka yang menghidap OCD agar jangan bersendirian dalam mengalami masalah itu.

"Mintalah bantuan, bercerita masalah anda pada orang lain. Ada baiknya jika melibatkan diri dengan kumpulan sokongan dan berkongsi pengalaman. Elakkan daripada memberi komen-komen yang negatif.

"Yang pentingnya keperibadian individu itu mestilah tenang dalam menghadapi keresahan yang ekstrem.

"Berinteraksi secara positif dalam lingkungan sosial dan anggap semuanya itu adalah satu perkara yang lucu, kerana ini boleh menceriakan penghidap masalah itu," kata beliau.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA

0 comments: