24 Disember 2014

Jangan Bandingkan PT3 Dengan PMR



Walaupun hasil keputusan sulung ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun 2014 ini menyaksikan keputusan yang agak luar biasa dengan beberapa buah sekolah di luar bandar mencatatkan keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.

Namun majoriti sekolah terkenal yang sebelum ini secara tradisinya mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), merekodkan kemerosotan prestasi yang agak ketara dalam PT3 ini.

Akibatnya kebanyakan sekolah tersebut mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil.


Bukan saja pihak sekolah, malah ibu bapa juga kelihatan ada yang kecewa kerana anak-anak mereka tidak menepati ramalan untuk mencatatkan keputusan cemerlang. Lebih membimbangkan apabila ada sekolah yang mencatatkan keputusan yang sangat merisaukan dalam beberapa mata pelajaran penting seperti Matematik dan Sains apabila majoriti calon PT3 dikatakan tidak dapat menguasai tahap minimum atau hanya mendapat keputusan F.

Situasi ini pastinya membimbangkan ramai pihak terutamanya pihak sekolah yang mahu mengekalkan rekod prestasi yang cemerlang serta ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mencapai kejayaan.

Namun ada kalanya kita perlu berfikiran lebih rasional dan memandang jauh ke hadapan demi masa depan anak-anak itu sendiri di samping memenuhi tuntutan untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu berfikir dengan baik dan seterusnya menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran secara nyata dan abadi dan bukannya di atas kertas peperiksaan semata-mata.

Hakikatnya PT3 dan PMR adalah dua kaedah penilaian yang sangat berbeza. PT3 merupakan salah satu komponen dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Secara ringkasnya format peperiksaan dan penilaian kedua-dua peperiksaan ini jauh berbeza misalnya melalui PT3 pelajar diuji dengan soalan berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sebagai persediaan pelajar untuk menduduki peperiksaan di tingkatan lima nanti dengan tiada soalan berbentuk objektif seperti PMR.

Ini adalah kali pertama negara kita mengadakan PT3. Maka semua data dan pencapaian ini perlu dilihat sebagai data baharu dan tidak wajar dibandingkan dengan rekod PMR sebelum ini. Maka realitinya, keputusan yang dikeluarkan itu juga tidak boleh dirumuskan sebagai mengalami sebarang peningkatan atau penurunan kerana berbeza dengan peperiksaan terdahulu.

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan Lembaga Peperiksaan (LP), Norzila Mohd. Yusof, pentaksiran ini digubal untuk melihat tahap penguasaan anak-anak kita selepas belajar selama tiga tahun di peringkat menengah rendah, yang mana untuk PT3 pendekatan penetapan standard untuk penentuan skor mengikut penggredan A, B, C, D dan seterusnya jika mereka layak gred A kita bagi keputusan itu.

Dan ia jauh berbeza dengan PMR di mana kita menggunakan kaedah penentuan standard yang mana penentuan penggredan mengikut beberapa perkara antaranya mengikut trend tiga tahun lepas, statistik dan norma tetapi untuk PT3 bergantung sepenuhnya kepada pelajar itu sendiri dan tidak dilihat pada trend sebelum ini.

Apa yang penting dalam PT3 ini ialah tidak seharusnya dilihat kepada akademik semata-mata tetapi perlu dirangkumkan bersama komponen lain iaitu pentaksiran sekolah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik bagi melahirkan pelajar yang holistik.

Justeru kita perlu rasional dengan perubahan sistem pendidikan negara yang berteraskan kepada kemampuan pelajar itu sendiri dalam menguasai proses pendidikan yang bersifat global dan berdaya saing.

Walaupun prestasi anak-anak kita mungkin kurang memberangsangkan dalam PT3 ini namun percayalah mereka sebenarnya sangat beruntung kerana menjadi kelompok perintis yang bukan saja mencipta sejarah baharu dunia pendidikan negara malah mereka diberi peluang untuk melalui satu proses pembelajaran dan pemikiran yang cukup kritis dan holistik demi masa depan yang lebih gemilang.

Dalam hal ini kita juga sangat berharap agar ibu bapa tidak menyalahkan anak-anak mereka atau memberi tekanan yang berlebihan. Kita yakin semua calon telah cuba sehabis baik untuk mencapai keputusan cemerlang.

Kita khuatir tekanan yang berlebihan boleh menyebabkan emosi dan psikologi pelajar terganggu. Maka di sini peranan ibu bapa dan guru cukup penting. Pujuk, beri nasihat dan jelaskan kepada anak-anak kita kepentingan PT3 ini seterusnya menyuntik semangat dan motivasi mereka untuk cemerlang di SPM kelak.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berharap pihak sekolah tidak menyalahkan perubahan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekiranya keputusan PT3 yang diumumkan tidak seperti yang dijangkakan. Sewajarnya percubaan pertama oleh Kementerian Pendidikan perlu dipandang secara positif.

Apapun kita perlu akui bahawa antara punca yang dikatakan menyumbang kepada kemerosotan prestasi sekolah dan pelajar dalam PT3 ini ialah kekurangan tempoh masa yang sewajarnya untuk para guru dan pelajar membuat persediaan yang secukupnya. Kita perlu akui kelemahan ini dan diharapkan kelemahan ini dapat dan mampu diatasi pada tahun hadapan.

Pihak sekolah terutamanya perlu membuat analisis dan kajian yang sewajarnya berdasarkan keputusan PT3 tahun ini supaya dapat tampil dengan kaedah dan strategi baharu bagi menghadapi PT3 tahun depan.

Pihak Kementerian Pendidikan juga perlu memberikan latihan yang sewajarnya kepada semua tenaga pengajar dan penilai yang terlibat dalam PT3 supaya dapat memberikan impak yang diharapkan.

Pastinya apa yang kita tidak boleh nafikan ialah pelajar yang cemerlang dalam PT3 ini adalah mereka yang seimbang dalam akademik dan juga penglibatan aktiviti luar yang sekaligus bakal melahirkan generasi modal insan keperluan negara yang holistik.

Oleh: NOOR MOHAMAD
 SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia
Sumber: Utusan [24/12/2014]

PT3 Bukan Satu Peperiksaan

AGAK ralat apabila masih ada pihak dalam masyarakat meng­anggap Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) itu satu peperiksaan. PT3 ialah penilaian berdasarkan pencapaian. Ia dinilai oleh pi­hak sekolah berdasarkan instrumen yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.

Markah yang diperoleh berda­sarkan pencapaian sebenar. Tidak seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) di mana pencapaian pelajar diberikan gred berdasarkan keseluruhan. Pelajar yang memperoleh markah rendah pun boleh mendapat gred A jika pencapaian keseluruhan pelajar rendah dalam PMR.

PT3 adalah satu daripada komponen penilaian berasaskan Sistem Pentaksiran Sekolah (PBS). Penilaian PBS adalah satu an­jakan dalam pendidikan di negara kita yang sebelum ini berorientasi­kan peperiksaan.

Orientasi peperiksaan - pelajar belajar untuk menghadapi peperiksaan secara total di sekolah, bermula daripada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengabaikan hal-hal lain.

Ibu bapa dan masyarakat juga sanggup berhabis-habisan untuk me­mastikan anak mereka cemerlang dalam peperiksaan. Kesannya, kebanyakan pelajar walaupun cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak mampu bergaul dalam masyarakat dan bersaing di peringkat global.

Agak ralat juga apabila keputusan PT3 di kebanyakan sekolah baru-baru ini kurang cemerlang dan mereka menganggap hal ini ber­punca kerana pelaksanaan PT3 dilakukan secara tergesa-gesa dan format soalan tidak diberi lebih awal.

Hakikatnya, pelaksanaan Pe­lan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) gelombang pertama yang melibatkan PBS yang merangkumi PT3 berlangsung 2013-2015.

Taklimat berkaitan telah diberikan kepada semua peringkat termasuk ibu bapa. Sewajarnya, semua pihak bersedia untuk menghadapi perubahan tersebut. Terimalah hakikat keputusan PT3 secara terbuka untuk membaiki kelemahan dan kekurangan.

Masalah format soalan tidak timbul sekiranya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan mengikut sukatan pelajaran. Pendidikan melibatkan perubahan sikap, tingkah laku serta minda.

Pi­hak Perkembangan Kurikulum juga mengeluarkan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid sebagai tambahan kepada sukatan pelajaran. Jika guru dan masyarakat meng­gunakan panduan tersebut untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran pelajar, sudah pasti pelajar yang mencapai tahap atau band tertinggi mampu menghadapi soalan penilaian aras tinggi.

Sesetengah sekolah dan pusat tuisyen masih terikat pembelajaran menggunakan pendekatan pe­periksaan dan tidak mengambil kira perkembangan pelajar dan disiplin ilmu yang sewajarnya. Mereka teraba-raba apabila tidak ada format peperiksaan untuk pengajaran.

Walhal jika guru mengikut panduan perkembangan pembelajaran, mengadakan aktiviti pembelajaran mengikut deskriptor dan mengikut kecerdasan pelajar dengan pelbagai kaedah serta berusaha meningkatkan kecerdasan pelajar pada tahap kemampuan tertinggi, tiada masalah bagi pelajar untuk menjawab apa-apa sahaja format soalan dan tugasan dalam pentaksiran.

Malah pelajar akan berkeyakinan untuk mengolah kecerdasan dan menjawab persoalan yang dikemukakan secara kreatif dan inovatif tanpa terikat dengan format yang ditetapkan.

PT3 tidak seharusnya dilihat satu entiti tersendiri. PT3 adalah pentaksiran pusat yang saling melengkapi pentaksiran sekolah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) dan psikomertik.

Hal ini kurang atau tidak mendapat perhatian masyarakat, walhal ujian ini juga menjadi aspek penting dalam pendidikan untuk menyalurkan pelajar belajar ke pe­ringkat lebih tinggi sama ada aliran sains, sastera atau vokasional.

Murid yang menunjukkan minat dalam bidang kemahiran atau vokasional akan lebih berjaya jika disalurkan dalam aliran berkaitan. Andai golongan ini disalurkan ke aliran akademik, kita bimbang mereka tidak beroleh kemahiran yang diminati dan tidak beroleh sijil SPM yang diharapkan.

Setakat ini, berapa ramai ma­syarakat yang mengambil berat hal komponen dalam PBS. Sebagai contoh, berapa ramai masyarakat yang tahu indeks jisim badan (BMI) anak-anak mereka dalam ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) yang terdapat dalam aktiviti jasmani.

Begitu juga hal-hal lain dalam komponen PBS. Kita lebih bimbang anak-anak tidak cemerlang PT3 dan tidak ambil kisah band yang dikuasai oleh anak-anak dalam pen­­taksiran di peringkat sekolah. Seharusnya guru dan ibu bapa bertungkus lumus untuk meninggikan pencapaian band anak-anak di sekolah yang secara tidak langsung akan memberi natijah kecemerlangan ujian PT3.

Sebagai contoh hal berkaitan BMI, ibu bapa tidak bimbang apabila anak mereka melebihi atau kurang tahap BMI mereka. Mereka menganggap masalah berat badan perkara biasa dan tidak mengganggu pembelajaran serta masa depan mereka.

Begitu juga murid tidak aktif dalam kokurikulum serta kemasyarakatan tidak diberi perhatian oleh masyarakat walhal ini juga memberi impak dari segi sahsiah, sosial, fizikal, intelek­tual, dan mental apabila berada dalam masyarakat.

Guru seharusnya melaksanakan PdP berpandukan panduan perkembangan murid dan membuat pentaksiran berdasarkan skala band yang selaras dengan kecerdasan pelajar serta menyampaikan pelajaran berdasarkan disiplin ilmu barulah kita dapat melahirkan pelajar yang kritis dan inovatif serta mampu berfikir untuk menyelesaikan apa juga bentuk soalan yang dikemukakan dalam PT3.

PBS itu ibarat ujian tara yang menilai pencapaian pelajar mengikut skala yang ditetapkan. Pelajar ber­saing dengan diri sendiri untuk mencapai tahap yang ditentukan. PBS bukan persaingan dengan rakan sebelah, sesiapa yang di depan dialah cemerlang.

Percayalah, walaupun keputusan PT3 tidak memberangsangkan, tetapi dengan bentuk soalan yang dikemukakan dalam pentaksiran lalu, PT3 adalah lebih berkualiti berbanding PMR. Sistem PBS jika dilaksanakan dengan lancar dan penuh integriti akan melahirkan pelajar berkualiti berbanding dengan sistem yang berorientasikan peperiksaan.

Oleh: MD. ISHAK A. RAHMAN
Sumber: Utusan [25/12/2014]

0 comments: