29 Disember 2014
Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 Hilang
Sebuah pesawat AirAsia Indonesia, yang membawa 162 orang, hilang ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada pagi Ahad, 28 Disember, 2014.
Menurut laman Facebook dan Twitter rasmi AirAsia, pesawat Airbus A320-200 itu terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada 7.24 pagi waktu tempatan.
Penerbangan QZ8501 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu membawa 155 penumpang, dua juruterbang dan lima kru kabin. 155 penumpang pesawat itu terdiri daripada 138 dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi.
Dalam kenyataannya, AirAsia berkata pesawat itu dikendalikan dua juruterbang, lima petugas kabin dan seorang jurutera.
"Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Indonesia," katanya.
Kenyataan itu berkata AirAsia Indonesia dengan sedaya upaya memberi kerjasama penuh dan membantu penyiasatan tentang kejadian itu dari segenap aspek.
Mereka yang menaiki pesawat menggunakan kod pendaftaran PK-AXC itu terdiri daripada 156 rakyat Indonesia, tiga Korea, satu Singapura, satu Malaysia dan satu Perancis.
Kenyataan itu berkata pesawat terbabit, yang menggunakan laluan penerbangan dirancang, kemudian memohon membuat lencongan berikutan cuaca buruk, sebelum terputus hubungan ketika berada dalam kawasan Pusat Kawalan Trafik Udara Indonesia.
Ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya pada 5.35 pagi waktu tempatan.
AirAsia berkata kapten pesawat berkenaan mempunyai rekod 6,100 jam penerbangan, manakala pembantunya 2,275 jam penerbangan.
Katanya kali terakhir pesawat itu menjalani penyenggaraan berjadual adalah pada 16 Nov 2014. Dalam reaksi segera beliau tentang kejadian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata: "Terima kasih atas doa dan ingatan ikhlas anda semua, kita perlu terus kuatkan semangat."
AirAsia Indonesia beroperasi dari lima hab - Jakarta, Bandung, Bali, Surabaya dan Medan.
Menurut laman sesawang syarikat itu, ketika ini AirAsia Indonesia menggunakan 30 pesawat Airbus A320.
AirAsia Indonesia ditubuhkan pada 8 Dis 2004 melalui usaha sama antara AirAsia International Ltd dan PT Awair International.
Sebelum menukar namanya secara rasmi pada 9 Sept 2005, AirAsia Indonesia dikenali sebagai Awair.
Sumber: BERNAMA
Mohon Elak Awan Komunikasi Terakhir AirAsia QZ8501 Sebelum Hilang
Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 telah memohon kepada menara kawalan trafik udara (ATC) Indonesia untuk membelok ke kiri dari laluan asalnya bagi mengelak awan dalam cuaca buruk sebelum ia terputus hubungan.
Komunikasi terakhir pesawat itu dengan ATC Indonesia berlaku pada pukul 6.12 pagi (waktu Indonesia bahagian Barat) (7.12 waktu Malaysia). Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.
Ketua Pengarah Perhubungan Udara Indonesia, Djoko Murjatmojo berkata laporan yang diterima daripada pesawat itu memohon untuk membelok ke kiri bagi mengelak awan ketika ia sedang terbang pada ketinggian 32,000 kaki.
Pada masa itu, katanya pesawat itu juga memohon untuk meningkatkan ketinggiannya kepada 38,000 kaki.
"Pada jam 6.17 pesawat putus hubungan dan pada jam 6.18 yang terlihat hanya flight plan atau rancangan penerbangan. Pesawat berada dalam keadaan baik, tetapi cuaca memang tidak baik pada waktu itu," katanya.
Djoko berkata kedudukan terakhir pesawat itu dikesan ialah di antara Tanjung Pandan, Belitung dan Pontianak.
Sumber: BERNAMA
Pesawat AirAsia tidak dibenar elak cuaca buruk
Pesawat syarikat penerbangan milik Indonesia, AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang disahkan terpaksa menempuh cuaca buruk selepas permintaan juruterbang untuk terbang lebih tinggi bagi mengelak awan tebal tidak dibenarkan pusat kawalan trafik udara (ATC).
Dalam komunikasi terakhir dengan ATC iaitu enam minit sebelum pesawat itu hilang, salah seorang juruterbangnya meminta kebenaran untuk membelok ke kiri dan mendaki dari ketinggian 32,000 kaki ke 38,000 kaki bagi mengelak cuaca buruk.
Pengarah AirAsia Indonesia, Bambang Tjahjono berkata, permintaan juruterbang berkenaan terpaksa ditangguhkan sementara oleh ATC kerana terdapat sebuah lagi pesawat yang terbang pada ketinggian 34,000 kaki.
“Apabila ATC mahu memberi kebenaran, pesawat QZ8501 telah hilang,” katanya.
Pesawat QZ8501 disahkan hilang pukul 7.24 pagi 29 Disember, 2014, selepas ia terputus hubungan dengan ATC setelah meminta kebenaran untuk naik ke paras ketinggian 38,000 kaki bagi mengelak awan hujan.
Kapal terbang jenis Airbus A320-200 itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surabaya di Jawa Timur Indonesia menuju ke Singapura.
Pesawat tersebut membawa seramai 162 penumpang dan kru terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Malaysia, Singapura, Perancis serta Britain.
Sementara itu, beberapa pakar penerbangan percaya kemungkinan pesawat berkenaan berdepan situasi yang dikenali sebagai ‘sel ribut hitam’ yang menyebabkan pembentukan ais di tolok kelajuan yang dikenali sebagai tiub pitot.
Pembentukan ais itu disahkan sebagai punca nahas sebuah pesawat penerbangan AF447 milik Air France yang terhempas di Lautan Atlantik ketika dalam penerbangan dari Rio De Janeiro, Brazil menuju ke Paris pada tahun 2009.
Seorang pakar penerbangan, Geoffrey Thomas berkata, beliau telah berjumpa dengan beberapa juruterbang berpengalaman yang percaya pesawat QZ8501 berhadapan cuaca buruk tetapi terbang terlalu perlahan untuk mengelak keadaan berkenaan.
“Pesawat QZ8501 terbang terlalu perlahan iaitu 100 knots (185 kilometer sejam) lebih perlahan daripada kelajuan yang sepatutnya. Terbang perlahan pada ketinggian tersebut sangat bahaya.
“Beberapa juruterbang percaya kru pesawat QZ8501 cuba mendaki bagi mengelak cuaca buruk tetapi entah bagaimana, mereka terbang terlalu perlahan .
“Ini boleh menyebabkan pesawat menjadi pegun sama seperti yang menimpa pesawat Air France AF447,” katanya.
Menurutnya, dia memperoleh plot radar yang menunjukkan pesawat itu berada pada ketinggian 36,000 kaki dan mendaki pada kelajuan 353 knot (653 kilometer sejam) iaitu 100 knot lebih perlahan.
“Pesawat ini sepatutnya mendaki pada kelajuan kira-kira 453 knot (839 kilometer sejam) dan jika bacaan radar ini benar ia menunjukkan pesawat berkenaan terbang terlalu perlahan,” jelasnya.
Tambah Thomas lagi, keadaan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kepada pesawat jenis Airbus A320-200 tersebut yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih.
“Kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan keadaan cuaca yang ekstrem. Mungkin ada sesuatu yang berlaku sehingga menyebabkan pesawat ini terbang terlalu perlahan.
“Jika sebuah pesawat terbang terlalu perlahan pada ketinggian tersebut yang mempunyai udara yang nipis, sayap kapal terbang akan kehilangan daya angkat menyebabkan ia pegun dan terhempas,” jelasnya. – Agensi
Sumber: Kosmo [30/12/2014]
QZ8501 Rekod 13,600 Penerbangan, 23,000 Jam Penerbangan
Pesawat AirAsia Penerbangan QZ8501 telah mencatat lebih kurang 23,000 jam penerbangan melibatkan kira-kira 13,600 penerbangan, kata pengeluar pesawat Airbus dalam kenyataan hari ini.
Syarikat Eropah itu berkata pesawat A320-200 berkenaan, yang mampu membawa 180 penumpang, diserah kepada syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia pada Oktober 2008.
Ia didaftarkan sebagai PK-AXC dengan MSN (Nombor Siri Pengeluar) 3648 dan beroperasi mengikut servis berjadual.
Pesawat milik AirAsia Indonesia itu dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura apabila ia terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada 7.24 pagi waktu tempatan.
A320-200 adalah pesawat dua enjin satu lorong, kata Airbus, yang beribu pejabat di Toulouse, Perancis. Pesawat jenis A320 ini memulakan perkhidmatannya pada Mac 1988.
Menjelang akhir November 2014, lebih 6,000 pesawat jenis ini digunakan lebih 300 syarikat penerbangan.
Sumber: BERNAMA
Kronologi Kehilangan Pesawat AirAsia QZ8501
Berikut kronologi kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 yang dimaklumkan pada sidang akhbar di pejabat Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta hari ini sebagaimana dilaporkan portal berita Kompas.com.
Waktunya mengikut waktu Indonesia bahagian Barat (WIB) iaitu satu jam lewat dari waktu Malaysia.
Butiran kronologi perkembangan di Malaysia berkaitan kejadian itu pula mengikut waktu Malaysia.
- 0536 (WIB): Pesawat berlepas dari Surabaya menuju Singapura dengan ketinggian 32,000 kaki mengikuti laluan biasa Surabaya-Singapura, M635.
- 0612 (WIB): Pesawat berhubung kali terakhir dengan menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Jakarta dan juruterbang memohon untuk membelok ke kiri dan meningkatkan ketinggian kepada 38,000 kaki. Permintaan juruterbang dibenarkan oleh pihak ATC.
- 0616 (WIB): Pesawat masih dapat dikesan di skrin radar
- 0617 (WIB): Pesawat hanya tinggal isyarat dalam radar ATC
- 0618 (WIB): Pesawat hilang dari radar namun hanya ada data jadual penerbangan yang masih tercatat di radar.
- 0708 (WIB): Pesawat dinyatakan INCERFA, iaitu tahap awal putus hubungan. Pihak Ketua Pengarah Perhubungan menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas).
- 0728 (WIB): Pesawat dinyatakan ALERFA, iaitu tahap berikut dalam menyatakan pesawat putus hubungan.
- 0755 (WIB): pesawat dinyatakan DETRESFA atau hilang secara rasmi.
- 1141 (waktu Malaysia): AirAsia dalam akaun twitter dan facebook rasminya mengumumkan mengenai pesawat berkenaan yang terputus hubungan dengan ATC pada 0724 (waktu Indonesia)
- 1441 (waktu Malaysia): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar di Kuala Lipis, Pahang berkata Malaysia sedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat
- 1556 (waktu Malaysia): Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sidang akhbar di Sepang berkata Malaysia telah mengerahkan tiga buah kapal dan sebuah pesawat C130 Hercules untuk membantu dalam pasukan mencari dan menyelamat pesawat AirAsia itu, yang diterajui pihak berkuasa Indonesia.
- 1743 (WIB): Setakat pukul 1700 pasukan pencarian SAR Indonesia belum dapat mengesan isyarat pesawat AirAsia QZ8501.
- 1840 (Waktu Malaysia): Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur meminta anggota keluarga dan waris penumpang bersabar dan terus berdoa operasi SAR dapat diselesaikan secepat mungkin.
- 1900 (WIB): Ketua Basarnas, Soelistyo mengumumkan operasi SAR pesawat AirAsia QZ8501 dihentikan sementara kerana cuaca gelap dan akan disambung semula pagi esok.
Pesawat AirAsia jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu membawa 162 orang penumpang yang terdiri daripada 138 orang dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi, dua orang juruterbang dan empat anak kapal.
Juruterbang bertugas ialah Kapten Irianto dan pegawai penerbangan, Remi Emmanuel Plesel.
Warganegara penumpang pesawat ialah: 155 dari Indonesia, tiga dari Korea Selatan, temasuk seorang bayi, satu dari Malaysia, satu dari Singapura, satu dari Perancis dan satu dari United Kingdom.
Sumber: BERNAMA
Penemuan
Serpihan pesawat dan mangsa nahas mulai ditemui pada hari Selasa 30 Disember, 2014, di perairan Laut Jawa, berhampiran Pengkalan Bun, Kalimantan Tengah.
Setakat 2 januari, 2015, sepuluh mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 telah ditemui. [Sumber: Bernama]
Teori Punca Nahas
Nahas yang melibatkan pesawat tersebut dipercayai bermula apabila juruterbang cuba mengelak awan kumulonimbus yang terbentuk disebabkan oleh keadaan cuaca buruk.
Menurut Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, Aandi Eka Satya, gumpalan awan tersebut selalunya cuba dielak oleh juruterbang kerana bentuknya yang tebal dan mengandungi petir dan angin.
“Juruterbang seboleh-bolehnya akan cuba mengelak daripada memasuki gumpalan awan tersebut. Ini kerana, bentuknya yang tebal dan berombak akan menyebabkan pesawat berada dalam keadaan tidak stabil dan bergoncang apabila merempuhnya.
“Daripada lokasi kejadian, memang terdapat awan jenis kumulonimbus yang tebal dan kami dapati awan tersebut berada di sekitar kawasan Belitung sehingga Kalimantan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Direktor Utama Penerbangan Indonesia, Bambang Cahyono berkata, pada waktu kejadian, terdapat enam pesawat bersama QZ8501 yang meminta izin naik daripada ketinggian 32,000 kaki ke 38,000 kaki untuk mengelakkan daripada kumpulan awan yang berisi hujan besar itu.
“Kebetulan pesawat Garuda Indonesia, Lion Air, Emirates dan yang lain-lain turut meminta izin untuk naik ke paras yang sama diminta oleh pesawat QZ8501.
“Disebabkan pada waktu itu pesawat Garuda berada di kedudukan tersebut, QZ8501 tidak dapat menaiki pada ketinggian yang dimintanya sehingga menyebabkan pesawat tersebut terhempas di lautan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Aeroangkasa Institut Teknologi Bandung, Djoko Sardjadi berkata, pesawat dipercayai sudah memasuki awan ketika juruterbang menunggu kebenaran ATC Bandara Soekarno-Hatta untuk menaikkan altitud pesawat daripada 32,000 kaki kepada 38,000 kaki.
“Ketika memasuki awan Kumulonimbus yang mungkin mengandungi ais selain hujan dan petir, ia menyebabkan berlakunya gegaran yang teruk.
“Perkara tersebut berkemungkinan menyebabkan pesawat terumbang-ambing, enjin mati dengan sendiri sehingga juruterbang sukar mengawal pesawat yang dipandunya. Pesawat mungkin melayang sehingga menyentuh permukaan air secara pandu automatik,” jelasnya.
Mengandaikan pesawat tidak jatuh secara terjunam, Djoko berkata, badan pesawat itu tidak mengalami hentaman dahsyat dan besar kemungkinan hanya bahagian bawah pesawat yang rosak.
Sumber: Kosmo [04012015]
Labels:
Maklumat Umum,
Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan