30 Disember 2014
Sesi Persekolahan 2015 Di Seluruh Negara Ditangguh Seminggu
Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negara, selama seminggu, berikutan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sekarang.
Pada 29 Disember2014, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata dengan penangguhan itu, tarikh baharu sesi permulaan persekolahan tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Jan (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Jan (Isnin).
"Penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau yang ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan.
"Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka," kata beliau.
Muhyiddin berkata setakat 28 Disember, 2014, Kementerian Pendidikan mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir. Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di lima negeri yang terjejas adalah 225,722 orang.
Sebelum ini, sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dijadual dibuka pada 4 Jan manakala bagi negeri-negeri lain adalah 5 Jan.
"Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan," katanya.
Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan sekolah agar apabila keadaan banjir kembali pulih, mereka harus menggunakan tempoh itu untuk bergotong royong membersihkan kawasan sekolah, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kepada murid-murid.
Sumber: BERNAMA
Penangguhan Seminggu Sesi Persekolahan 2015 Tidak Perlu Diganti
Permulaan sesi persekolahan 2015 seluruh negara yang ditangguhkan selama seminggu tidak perlu diganti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ia tidak perlu diganti kerana masih dalam tempoh yang bersesuaian untuk persekolahan, bukannya cuti persekolahan itu ditambah tetapi masalah tertentu (menyebabkan) kita terpaksa tangguhkan.
"Kita harap ini akan disesuaikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah," katanya.
"Ada juga sekolah-sekolah itu digunakan sebagai pusat penempatan mangsa banjir dan masih beroperasi. Banjir masih berlarutan, jadi sebahagian sekolah tidak dapat digunakan.
"Malah ada guru yang masih berada di kampung dan mereka tidak boleh kembali sekarang untuk mengajar. Justeru atas dasar-dasar ini, kita putuskan untuk tangguhkan sementara pembukaan sesi persekolahan waktu ini bagi membantu keluarga untuk pemulihan dan buat persiapan," katanya.
Muhyiddin mengarahkan KPM menyegerakan pengagihan bantuan awal persekolahan RM100, keutamaan kepada mangsa banjir seawal minggu depan.
Menurut Muhyiddin, pihaknya kini meneliti prosedur bantuan awal persekolahan yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat kepada KPM berikutan bencana tersebut yang menyebabkan segala persiapan musnah atau rosak dihanyutkan air banjir.
"Walaupun prosedur kewangan mengatakan kita boleh belanja pada awal 2015, tetapi dengan penangguhan ini, kita boleh laksanakan dan keutamaannya kepada mangsa di negeri-negeri terjejas banjir.
"Kita akan tangani sebaik mungkin selewat-lewatnya awal minggu depan atau satu hingga dua hari ini, cuma masalah sekarang, ada bank masih tutup dan kalau kita bagi cek pun ia mungkin tidak boleh ditunaikan (di sebahagian kawasan banjir)," katanya.
Muhyiddin meminta Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah membuat taksiran mengenai kerugian harta benda dan kerosakan bangunan yang mungkin dialami ekoran bencana itu.
Sumber: BERNAMA
Labels:
Maklumat Umum,
Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan