12 Disember 2014

Santunilah Mualaf


PERKAHWINAN adalah salah satu faktor seseorang itu memilih menjadi Muslim. - Gambar hiasan

MUALAF atau lebih dikenali sebagai saudara baharu atau saudara kita merupakan sebahagian daripada masyarakat Muslim di Malaysia. Mualaf adalah mereka yang dijinakkan hati untuk menerima Islam dan telah melafazkan dua kalimah syahadah.

Mereka merupakan golongan yang baru memeluk Islam. Pemberian zakat adalah bertujuan untuk memotivasikan dan memantapkan lagi keislamannya serta beramal dengan ajaran Islam. Pemberian kasih-sayang dengan penuh keikhlasan yang lahir daripada hati Muslim akan memberi satu kesan positif ke arah pembentukan saudara baharu yang terkehadapan dalam segenap aspek kehidupannya.


Sementara golongan Muslimin yang berkelayakan perlu memberi didikan dan bimbingan agama kepada mereka. Seseorang yang bertukar pegangan agama dan kepercayaan kepada agama Islam, maka akan ditaklifkan ke atas dirinya segala hukum syarak.

Mualaf merupakan istilah yang sering disebut dalam masyarakat. Perkataan mualaf disebut sekali dalam al-Quran di dalam surah al-Taubah ayat 60.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah SWT dan orang-orang musafir (yang keputusan kewangan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah SWT. Dan (ingatlah) Allah SWT amat Mengetahui lagi amat Bijaksana. (al-Tawbah: 60)

Mualaf adalah golongan minoriti yang terdapat di negara Malaysia. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara yang mana ia meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal (Maqasid al-Shariah).

Pelbagai faktor menyebabkan mualaf memilih Islam sebagai pegangan hidup. Antaranya yang utama ialah hidayah daripada Allah SWT, faktor perkahwinan, faktor ikut-ikutan dan juga kepentingan tertentu.

Namun, mereka juga tidak terlepas daripada menghadapi beberapa cabaran hidup yang perlu diharungi, sama ada di peringkat awal pemelukan Islam, pertengahan ataupun di tahap pengukuhan penghayatan Islamnya.

Mengusik hati

Mualaf dikatakan menyusahkan masyarakat kerana sering naik turun pejabat zakat untuk mendapatkan bantuan zakat asnaf mualaf. Isu perebutan jenazah, cabaran undang-undang bagi mualaf di bawah umur 18 tahun, kehilangan pekerjaan setelah memeluk Islam, kehilangan hak tuntutan harta pusaka dan penyingkiran oleh keluarga kandung serta sikap monopoli keluarga angkat telah memberi tekanan yang hebat kepada mualaf itu sendiri.

Layanan yang tidak berhikmah oleh masyarakat benar-benar mengusik hati kecil mualaf dan ada sebahagian mereka memilih untuk kembali kepada agama asal. Fenomena ini perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat Muslim dalam membimbing dan memberi contoh teladan yang baik kepada mualaf.

Cabaran yang dihadapi oleh mualaf akan mendedahkan mereka kepada tekanan hidup dan kecelaruan jiwa. Fenomena ini berkemungkinan besar akan menjerumuskan mualaf ke dalam keadaan tekanan yang lebih besar dan membawa kepada permasalahan murtad dan ancaman kepada maruah agama Islam itu sendiri.

Mualaf merupakan aset penting dalam dakwah Islamiah di persada dunia amnya dan Malaysia khususnya. Senario dan perkembangan mualaf akhir-akhir ini melihatkan keutamaan para pendakwah dan para ilmuwan agama memberi didikan, bimbingan, panduan dan ilmu agama Islam dalam memotivasikan mereka sama ada di awal pengislaman, mahupun selepas mereka melafazkan dua kalimah syahadah.

Layari ujian hidup dengan penuh kesabaran kerana menurut hukama apa yang anda sabarkan, anda akan memperoleh hasilnya. Kesabaran itu akan menolong segala pekerjaan. Ketahuilah, dalam kesusahan dan kepayahan itu tersembunyi nasihat-nasihat kebijaksanaan.

Sumber: Utusan

0 comments: