13 Disember 2014

Elakkan Dari Tersentuh Rumpai Miang Mexico

Rumpai miang Mexico - Sumber Google

Orang awam dinasihatkan untuk mengelak daripada terdedah atau tersentuh 'rumpai miang Mexico' atau 'parthenium hysterophorus' kerana boleh menyebabkan alahan, terutamanya kepada kanak-kanak dan orang tua.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata rumpai miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia.

"Namun tidak semua yang terdedah mengalami reaksi alahan atau alergi. Sesetengah orang mengalami gejala (alahan) apabila pendedahan berterusan dan berulang kali.



Pokok seiras dengan ulam raja namun boleh dibezakan dengan mudah.

"Gejala tindak balas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, rinitis alergi serta gangguan kepada sistem pernafasan seperti selsema dan asma," katanya.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

Dr Noor Hisham juga menasihatkan mereka yang mengalami gejala alahan atau masalah pernafasan akibat terdedah kepada rumpai itu untuk segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berhampiran.

Mereka juga diminta memaklumkan kepada pengamal perubatan mengenai pendedahan terhadap rumpai itu, kerana KKM akan meminta kementerian atau agensi berkaitan untuk mengambil tindakan bagi mengawal atau memusnahkan tumbuhan itu.

Sumber: BERNAMASinar Harian

Rumpai Mexico Di Enam Negeri

“Antara negeri yang dikesan ditumbuhi rumpai miang Mexico termasuk Perak seluas lapan hektar, Selangor (0.7 hektar), Kedah (13 hektar), Negeri Sembilan (5.6 hektar), Johor (0.9 hektar) dan Melaka (0.08 hektar).

“Rumpai ini sangat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan alahan teruk terhadap kanak-kanak dan orang tua. Setiap pokok mampu menghasilkan 100,000 biji benih dengan setiap satunya mampu bertahan selama 10 tahun jika tertanam di dalam tanah dan tumbuh semula,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek

Sumber: Kosmo

Rumpai terburuk abad ini

RUMPAI miang Mexico merupakan sejenis rumpai invasif yang berasal dari Mexico dan dilabelkan sebagai 'Worst weed of the century' (rumpai terburuk abad ini) oleh kerajaan India. Rumpai ini tersebar di hampir 30 negara antaranya Australia, India, Vietnam dan Afrika.

Di Malaysia, rumpai ini disenaraikan sebagai perosak berbahaya di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

Ia dipercayai merebak ke negara ini menerusi bijirin, jerami, biji benih, ternakan, kenderaan dan juga jentera yang dicemari biji benih rumpai.

Tumbuhan ini boleh hidup dalam cahaya sedikit sepanjang tahun serta memuncak selepas hujan. Anak benih tumbuh dengan agresif dan mampu mengambil alih kawasan tanaman dengan cepat.

Rumpai ini boleh menghasilkan biji benih yang banyak (100,000 biji untuk satu pusingan) dan boleh kekal tidak aktif bawah tanah dalam purata tempoh 10 tahun.

Tumbuhan ini dikelaskan sebagai rumpai berbahaya kerana ia membiak dan merebak dengan cepat serta mengeluarkan bahan kimia yang memberi kesan alelopati, iaitu ia menyekat percambahan dan pertumbuhan pelbagai jenis tanaman seperti pastura, bijirin, sayuran, rumpai lain dan pokok-pokok.

Rumpai ini memberi kesan terhadap manusia dan haiwan seperti alahan (lelah, ekzema, hay fever) yang serius.

Sumber: Sinar Harian

Perbezaan Dengan Ulam Raja

Tumbuhan ulam raja adalah tumbuhan liar dan menjadi tambahan hidangan kepada penggemar ulam yang biasanya dimakan mentah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Kedah, Ramli Abdul Rahman berkata, masyarakat tidak perlu khuatir kerana rumpai miang mexico atau parthenium hysterophorus mempunyai tiga ciri berbeza dengan ulam raja.

“Cara pertama dan paling mudah untuk membezakan ulam raja dan rumpai beracun itu adalah dari segi bau. Ulam raja mempunyai bau dan rumpai tersebut tidak.

“Selain itu, rumpai miang mexico mempunyai bulu halus di kesemua batang tumbuhan tersebut berbanding ulam raja.

“Orang ramai juga boleh mengenali rumpai miang mexico tersebut melalui bunganya yang berwarna putih krim berbanding bunga ulam raja bewarna merah jambu,” katanya.

Tambahnya, walaupun kedua-dua tumbuhan tersebut hidup secara meliar di kawasan belukar dan mudah didapati namun tiga perbezaan itu adalah cara mudah untuk mengenali rumput miang mexico tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Bunuh Dengan Semburan Larutan Garam

Penduduk dinasihat menghapuskan segera pokok berbahaya, rumpai miang Mexico yang tumbuh di pekarangan rumah mereka.

Penolong Pengarah (Biosekuriti Tumbuhan) Jabatan Pertanian Kedah, Emi Faizal Mohd. Borhan berkata, orang ramai boleh menghapuskan sendiri rumpai miang Mexico dengan menyembur larutan garam. Nisbah yang digunakan adalah satu kilogram garam dilarutkan ke dalam empat liter air kosong.

“Tindak balas garam ini boleh membunuh rumpai berkenaan dalam masa sehari. Dengan berbuat demikian, risiko terkena tumbuhan berbahaya ini dapat dielakkan,” katanya.

Sumber: Utusan

1 comments:

BLOG ANAK MAMA^^ berkata...

Mujurla en Koding share info pasal rumpai ni. Haritu dengar kat KL FM tapi x berapa dengar..ohh inilah rupanya rumpai Mexico ni..agaknya inilah antara penyebab-penyebab ramai antara kita yang terkena alahan.