11 Disember 2014
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Sektor Pendidikan Tinggi (PPPM-PT)
10 Lonjakan Bagi Memantapkan Pendidikan Tinggi Negara ~ Gambar Hiasan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata adalah wajar bagi satu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Sektor Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) 2015-2025 digubal merangkumi lonjakan yang dicadangkan Kementerian Pendidikan.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, ini termasuklah penyediaan satu pelan tindakan yang mantap dalam usaha menangani cabaran sektor pengajian tinggi bagi menjadikan Malaysia sebagai pemain global dan hab pendidikan terkemuka di rantau ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Sektor Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) 2015-2025 akan merangkumi 10 lonjakan bagi memantapkan sistem pendidikan tinggi negara.
Lonjakan yang dimaksudkan termasuk penghasilan graduan yang seimbang, holistik dan mempunyai sifat serta minda keusahawanan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan tinggi negara.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata lonjakan lain yang dicadangkan adalah kecemerlangan kerjaya dan pemupukan bakat pendidikan yang tinggi, masyarakat yang belajar sepanjang hayat serta graduan pendidikan tinggi dan vokasional berkualiti tinggi.
"Enam lonjakan lain ialah kelestarian kewangan, pemerkasaan tadbir urus, pemerkasaan ekosistem inovasi, sistem tersohor di peringkat global, pembelajaran dalam talian secara global dan transformasi sistem pendidikan tinggi," katanya sebelum melancarkan Sesi Dialog Penyediaan PPPM-PT 2015-2025 bersama Pemegang Taruh di Kuala Lumpur Selasa, 9 Disember, 2014.
Beliau berkata penyediaan pelan tindakan itu ialah suatu usaha menangani cabaran sektor pengajian tinggi bagi menjadikan Malaysia sebagai pemain global dan hab pendidikan terkemuka di peringkat antarabangsa.
Sama seperti dialog kebangsaan PPPM 2013-2025 sektor pelajaran yang diadakan sebelum ini, proses penyediaan pelan itu akan mengambil kira maklum balas, pandangan dan idea baharu pihak awam dan pemegang taruh, kata Muhyiddin.
"Saya ingin tekankan bahawa pelan ini haruslah menyeluruh di mana sektor swasta tidak akan terkecuali memandangkan hampir separuh daripada pelajar berdaftar dalam ekosistem pendidikan tinggi negara sedang mengikuti pelbagai kursus di institusi pengajian tinggi swasta," katanya.
Timbalan perdana menteri yakin bahawa dengan cara ini, ia akan memastikan dokumen yang akan terhasil bersifat inklusif, terkini dari segi perkembangan semasa, realistik dan yang paling penting boleh dilaksanakan secara berkesan.
Beliau berkata apa yang penting adalah matlamat terakhir pelaksanaan PPPM-PT kelak iaitu penghasilan modal insan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan pesat negara yang mengambil kira pembangunan lestari.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, sejajar dengan aspirasi PPPM 2013-2025, graduan haruslah dididik dan digilap supaya dapat mempunyai enam ciri utama termasuk sifat kepimpinan yang bercirikan global dan memupuk nilai etika serta kerohanian.
"Graduan juga harus fasih berbahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan seeloknya dapat menguasai bahasa ketiga seperti bahasa Mandarin selain mempunyai kemahiran berfikiran aras tinggi dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas serta jati diri dan identiti sebagai rakyat Malaysia," katanya.
"Graduan juga harus mempunyai jati diri dan identiti sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata objektif berkenaan mampu direalisasikan menerusi usaha gigih kementerian dan sokongan serta kerjasama setiap lapisan rakyat untuk memastikan sistem pendidikan tinggi negara antara yang terbaik dan dihormati di persada dunia dalam masa yang terdekat ini.
Sumber: BERNAMA, BHarian
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan