20 Disember 2014
Stigma Geraham Bongsu
Cabut gigi atau derita menahan sakit
“SUDAH sampai masanya kita pergi ke klinik pergigian.” Setiap orang akan merasai perasaan gementar sebaik mendengar ungkapan tersebut. Pelbagai senario yang menakutkan akan bermain di fikiran setiap individu sepertimana yang berlaku dalam filem The Dentist. Situasi itu tidak hanya dialami kanak-kanak tetapi turut berlaku dalam kalangan orang dewasa.
Kanak-kanak yang menjejakkan kaki ke klinik pergigian akan kelihatan gemuruh dan wajahnya berubah menjadi pucat. Bunyi bising daripada alatan pergigian menambahkan lagi ketakutan yang dialami.
Bagaimanapun, perasaan takut itu tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana ia melibatkan pertumbuhan gigi geraham bongsu. Ketumbuhan gigi geraham bongsu tidak sama seperti gigi-gigi lain kerana kebanyakan orang tidak tahan untuk menanggung kesakitan yang hadir bersama gigi itu.
“Disebabkan perasaan takut yang membuak-buak untuk mencabut gigi geraham bongsu ini, saya sanggup menanggung sakit dan menangguh tarikh temu janji bersama doktor pergigian buat beberapa minggu,” kata seorang pengasuh taska, Nural Ain Mohammed Nasib, 25, yang kini berjaya mengharungi fasa ketakutannya itu.
Nural Ain memberitahu, dia terpaksa menangguh tarikh temu janjinya sehingga tidak lagi dapat menanggung kesakitan yang dialami pada gigi geraham bawah sebelah kanan. Namun, kesakitan itu berpanjangan kerana geraham bongsu tumbuh menembusi gusi sedikit demi sedikit.
Kesakitan itu juga berlaku tidak tentu masa. Kadang-kadang, kawasan gigi geraham sakit ketika makan dan ada pula yang sakit secara tiba sebelum keadaan kembali normal.
“Saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor gigi apabila saya tidak mampu menahan sakit. Keadaan bertambah sukar apabila rahang saya tersekat dan tidak dapat dibuka ketika saya sedang mengunyah makanan. Saya mula panik ketika itu,” luahnya.
Nural Ain terpaksa meneruskan ‘perjuangan’ dengan mencabut gigi geraham bongsu tersebut setelah mendapat khidmat nasihat daripada doktor pergigian.
“Doktor memberitahu saya bahawa kesakitan itu akan hilang dalam tempoh sehari atau dua hari. Selepas mendengar penjelasan doktor, saya memperoleh sedikit keyakinan dan bersetuju untuk mencabutnya.
“Selepas menjalani pemeriksaan X-ray, doktor menasihatkan saya agar mencabutnya kerana geraham berada dalam posisi yang senget ke dalam. Jika dibiarkan, geraham akan langgar gigi-gigi lain, ” katanya sambil menunjukkan keputusan X-ray itu.
Posisi geraham
Gigi geraham bongsu merupakan pertumbuhan gigi yang terakhir dan nama tersebut diberi berdasarkan keadaan tersebut. Di samping itu, gigi geraham hanya tumbuh sekali dan tidak sama seperti gigi susu yang digantikan dengan gigi kekal.
Filem x-ray dijadikan panduan semasa melakukan pencabutan geraham bongsu.
Gigi geraham tersebut tumbuh sedikit demi sedikit dan menembusi gusi ketika berusia dalam lingkungan 18 sehingga 25 tahun. Tambahan pula, gigi geraham bongsu atau nama sebenarnya, molar ketiga tumbuh dalam pelbagai posisi.
Terdapat enam jenis posisi geraham iaitu tumbuh sempurna (erupted), tumbuh separa (partial impaction), tumbuh menegak (vertical impaction), tumbuh melintang (horizontol impaction), tumbuh menyerong (mesial impaction) dan tumbuh keluar (distal impaction).
Sebelum melakukan proses mencabut, doktor-doktor pergigian akan melihat keadaan geraham sama ada ia perlu dicabut atau dibiarkan sahaja. Jika pada masa hadapan geraham yang dibiarkan mendatangkan masalah bagi pesakit, doktor pergigian akan menasihatkan agar gigi geraham tersebut dicabut.
Misalnya dalam kes Nural Ain, doktor menasihatkan agar gigi gerahamnya dicabut kerana ia tumbuh secara menyerong dan geseran geraham bongsunya mengganggu ‘ketenteraman’ gigi lain.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Mutiara Johor (JCorp), Arfah Md. Salleh, 55, mempunyai kes yang hampir sama iaitu tumbuh secara menyerong. Bagaimanapun, gigi gerahamnya menyerong ke bahagian luar.
“Doktor menasihati supaya cabut dengan segera kerana jika dibiarkan, geraham akan tumbuh keluar daripada rahang dan berlanggar dengan tulang,” ujarnya sambil mengimbas kenangan yang berlaku pada tahun 1978.
Takut
Arfah menambah, dia mempunyai rasa takut untuk mencabut gigi geraham itu tetapi disebabkan kesakitan yang melampau, dia memberanikan diri untuk berjumpa doktor di negara itu.
“Pada awalnya, saya berhasrat untuk mencabut gigi geraham apabila balik semula ke Malaysia ketika cuti musim panas tetapi doktor tidak membenarkan." Ketika itu, Arfah melanjutkan pelajaran di Norwich, United Kingdom.
“Akhirnya, saya berjaya mencabut kedua-dua belah gigi geraham di rahang bawah,” ulasnya.
Selalunya, proses mencabut mengambil masa dalam lingkungan satu jam atau lebih bergantung kepada posisi geraham itu sendiri. Ada antara mereka yang mengambil masa sehingga dua jam.
Penulis sendiri menjalani proses mencabut yang agak lama apabila kedua-dua geraham kiri dan kanan terpaksa dibelah kepada dua kerana terlalu besar. Sebaik selesai proses mencabut itu, doktor akan memberi ubat tahan sakit bagi membantu mengurangkan kesakitan.
Berbeza pula situasi bagi seorang pelajar tahun akhir di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak, Megat Naim Putra Megat Rodzep, 21.
Megat Naim Putra yang mencabut gigi geraham sebelah kanan memberitahu, perasaan takut untuk mencabut gigi geraham tidak seteruk itu dan dia kelihatan begitu tenang.
“Gemuruh sedikit itu tetap ada tetapi bukan takut kerana saya telah membuat beberapa kajian sebelum mencabutnya,” katanya.
Dia juga memberitahu, maklumat mengenai gigi geraham bongsu banyak terdapat dalam dunia siber dan pengguna boleh membuat penyelidikan awal mengenai sesuatu penyakit.
Selain alam siber, Megat Naim Putra turut mendapatkan pandangan daripada rakan-rakannya yang mengikuti jurusan pergigian.
“Selepas saya membaca, saya bertanya pula kepada rakan-rakan mengenai kesakitan yang saya alami. Mereka memberitahu, ia berpunca daripada ketumbuhan gigi geraham dan nasihatkan supaya berjumpa dengan pakar,” ujarnya dengan nada yang tidak berapa jelas selepas menjalani proses mencabut geraham di Hospital Putrajaya baru-baru ini.
Megat Naim Putra menambah, pesakit kini lebih berani untuk berjumpa dengan pakar-pakar pergigian kerana mereka telah didedahkan dengan pengetahuan asas menerusi pelbagai cara.
Sumber: Kosmo
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan