21 Disember 2014

Perimenopaus Sindrom Wanita Pertengahan Usia


KETIDAKSTABILAN emosi wanita usia pertengahan ~ Gambar Hiasan

Memasuki usia 40-an, Tina Nasarudin dapat merasakan ada perubahan pada dirinya. Dia berpendapat sistem tubuh dan fikirannya sudah menjadi tidak betul.

Antara perubahan yang dialami oleh Tina termasuk sukar tidur, kitaran haid terganggu, mudah letih walaupun mendapat waktu rehat yang cukup. Perubahan ini turut memberi kesan negatif terhadap rumah tangga dan kerjayanya.

Menyedari keadaan itu, dia memutuskan untuk berjumpa doktor sakit puan yang kemudian memberitahunya dia mengalami masalah keseimbangan hormon estrogen.


Apa yang berlaku pada Tina, kemungkinan dia sedang melalui tempoh opperimenopous (perimenopaus) iaitu peralihan menopaus dalam senyap yang berlaku secara berperingkat iaitu antara usia 40 hingga 56 tahun sering diabaikan oleh kebanyakan wanita.

Perimenopaus merupakan perubahan semula jadi yang dilalui wanita apabila kadar hormon estrogen wanita berubah-rubah hingga akhirnya dia melalui tempoh menopaus sepenuhnya.

Walaupun ia terjadi secara semula jadi, perimenopaus mempunyai kesan-kesan negatif kepada wanita yang sedang mengalaminya.

Konsultan Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Wong Kim Lei berkata, perimenopaus ialah keadaan yang diakibatkan oleh perubahan hormon yang hanya dialami manusia.

“Apabila kadar estrogen berubah-rubah, pelbagai perubahan dalam pada badan akan terjadi kerana estrogen membantu mengawal lebih 400 fungsi berbeza dalam tubuh wanita

“Kebanyakan wanita yang mengalami perimenopaus ialah keadaan di mana kadar hormon sama ada tinggi atau rendah. Perubahan yang berlaku secara tidak menentu ini menyebabkan emosi wanita perimenopaus menjadi tidak stabil," katanya.

Menurut Dr. Kim Lei lagi, tidak ramai wanita tahu bahawa mereka tidak mencapai menopaus dalam tempoh 24 jam

“Kebiasaannya apabila seorang wanita kerap menunjukkan sikap negatif, orang sekeliling mengandaikan wanita itu sedang melalui proses menopaus, tetapi hakikatnya dia sedang mengalami kesan-kesan daripada perimenopaus.

“Menopaus boleh disahkan apabila apabila seorang wanita itu tidak datang haid selama 12 bulan berturut-turut,

“Perimenopaus pula waktu ‘sekitar menopaus yang mungkin berpanjangan sehingga 10 tahun sebelum atau setahun selepas haid terakhir. Kebiasaannya ia melibatkan simptom yang pelik, tidak dijangka dan baharu kepada wanita," katanya.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa simptom yang menjadi petanda apabila ovari yang aktif mula memperlahankan kadar keaktifannya.

“Terdapat lebih 30 simptom yang berkaitan dan kebanyakannya wanita akan merasai sekurang-kurangnya beberapa simptom secara serentak. Bagaimanapun simpton dan tahap tersebut dirasai berbeza oleh setiap wanita

“Kitaran haid mungkin menjadi lebih pendek atau panjang, pengeluarannya mungkin sedikit atau banyak dan mungkin akan melangkau beberapa haid atau berdepan situasi yang lebih menakutkan apabila kadar estrogen meningkat dan menurun secara tidak sekata

“Mereka juga merasai seperti kenaikan berat badan, kulit kering, rambut gugur, penurunan libido dan pengeringan vagina," ujarnya lagi.

Oleh Siti Aishah Yusoff
Sumber: Utusan

Kesan negatif

Pengalaman yang dialami Tina selama dua tahun itu termasuklah sukar tidur, kitaran haid terganggu, mudah letih, walaupun mendapat waktu rehat dan tidur yang cukup.

Bagaimanapun, perubahan sikap itu bukan sahaja memberi kesan negatif dalam rumah tangga, malah kerjayanya.

“Saya sangat cintakan kerja saya dan sentiasa memastikan kerja dibuat dengan sempurna tanpa mempunyai sebarang ralat atau kesalahan. Jadi, saya sentiasa melibatkan diri dalam setiap tugasan dan menguruskannya lebih berbanding ahli kumpulan lain.

“Namun, apabila mengalami perimenopaus saya menjadi seorang yang mudah berputus asa dan mempersoalkan tujuan setiap tugasan yang dilaksanakan,” jelasnya yang kini dalam proses untuk menyeimbangkan kembali hormonnya.

Tina memberitahu, doktor menasihatinya untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam, mengambil berat tentang nutrisi pemakanan dan mengawal emosi.

Mengulas lanjut, Perunding Obstetrik & Sakit Puan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Kim Wong berkata, perimenopaus ialah fasa primer wanita pertengahan usia.

“Peralihan menopaus berlaku secara berperingkat-peringkat dan tempoh ini yang dipanggil perimenopaus. Fasa ini sering diabaikan oleh kebanyakan wanita dan kebiasaannya apabila wanita menunjukkan sikap negatif, orang sekeliling akan mengandaikan dia sedang mengalami menopaus, tetapi sebetulnya perimenopaus.

“Perimenopaus ini berlaku disebabkan oleh estrogen iaitu sebuah kumpulan hormon-hormon yang dihasilkan daripada ovari wanita meningkat dan menurun secara mendadak,” katanya memberitahu selain estrogen hormon progesteron turut menjadi rendah.

Kepentingan

Menekankan kepentingan hormon estrogen Wong berkata, selain menjadi sebab tambahan dalam kitaran haid, hormon itu turut memberi kesan terhadap saluran reproduktif, saluran kencing, hati, payudara, kulit, rambut, membran berlendir, tulang dan otak.

Ia juga memberi kesan terhadap sistem organ, termasuklah sistem muskuloskeletal dan kardiovaskular serta otak terjejas kerana estrogen. Perubahan hormon yang tidak stabil membawa kepada ketidakselesaan fizikal dan emosi yang besar kepada ramai wanita. Fasa ini berlaku selama tempoh antara lima hingga 10 tahun atau lebih iaitu sebelum dan boleh berterusan selepas menopaus.

Namun, kehadiran perimenopaus dapat diketahui kerana kekurangan hormon akan kelihatan pada fizikal dan menjadi ‘signal’ kepada kaum wanita. Antaranya ialah keadaan corak botak rambut dan keadaan kulit.

Wanita yang mengalami perimenopaus mengalami keguguran rambut sehingga boleh menampakkan kulit kepala. Mereka ini juga mengalami perubahan fisiologi kulit dengan struktur kulit yang lebih kering, pempigmenan, kurang keanjalan, berkedut dan mengendur.

Selain itu, pundi kencing juga menjadi terlalu aktif, sakit sendi badan, perubahan bentuk badan, susah tidur, kekeringan faraj, minat terhadap seks menurun, sakit ketika melakukan hubungan seks dan perubahan lemak darah yang membawa kepada kecenderungan menghidapi penyakit jantung.

Bagaimanapun, Wong memberitahu ekoran ramai yang tidak mengetahui tentang perimenopaus, wujud kekeliruan untuk mengenal pasti antara fasa tersebut dengan sindrom prahaid (PMS).

Jelasnya, simptom PMS lebih klinikal dan berhubung kait dengan kitaran haid. Kesan-kesan tersebut juga akan hilang sebaik sahaja tiba waktu haid. Sementara itu, gejala perimenopaus biasanya akan berterusan sepanjang bulan dan tidak hilang walaupun haid. Simptom itu juga lebih agresif dan perubahan sikap tidak dapat dijangka.

Wanita yang mengalami simptom-simptom tersebut dinasihatkan merujuk pakar atau memahami perimenopaus menerusi bahan bacaan.

Sementara itu, Tokoh Akademi di Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Hariyati Shahrima Abd. Majid berkata, perimenopaus turut memberi kesan kepada otak.

“Penurunan estrogen yang mendadak bermakna hormon lain turut berkurangan antaranya termasuklah norepinefrin, serotonin, dopamin, katekolamin dan asetilkolina.

“Kekurangan hormon-hormon ini sekali gus menyebabkan gangguan emosi, perasaan, tertekan dan daya ingatan serta fokus menjadi lemah,” jelasnya memberitahu laporan mendedahkan 40 peratus wanita usia pertengahan mengalami masalah kealpaan.

Persepsi

Memetik kajian yang dijalankan oleh para penyelidik di Universiti Pennsylvania, kaum wanita pertama kali menghadapi episod tekanan hidup ketika melalui fasa perimenopaus dan peringkat ini lebih sukar berbanding menopaus ekoran simptomnya yang tidak dijangka.

Menjelaskan persepsi orang awam terhadap perimenopaus, Hariyati berkata, fasa itu sepatutnya menjadi sesuatu yang tidak sukar kerana ia dialami oleh jutaan wanita di seluruh dunia.

“Mungkin kerana kita berada dalam lingkungan sosial konservatif yang agak tertutup dan ia jarang dibangkitkan serta tidak menjadi subjek perkongsian dalam kalangan wanita Asia. Disebabkan tabu ini, ramai wanita menderita dalam diam kerana tidak memahami apa yang sedang dialaminya.

“Ini tidak seharusnya berlaku dan wanita perlu tahu bahawa mereka bukannya mengalami masalah karakter atau psikologi dalam diri, tetapi realiti kehidupan yang turut dikongsikan wanita lain. Kesemua simptom akibat perimenopaus bersifat universal disebabkan perubahan fizikal, psikologi dan emosi yang tidak dapat dielakkan,” jelasnya.

Apa pun, keadaan psikologi yang tidak terkawal boleh menyumbang kepada keretakan atau kemusnahan sesebuah hubungan.

“Hormon dan otak mempunyai jalinan keserasian yang amat kuat. Apabila hormon berubah, tarikan rasa positif dalam otak turut berubah dan mendorong ramai wanita mengalami gangguan emosi dan tekanan termasuk mudah marah.

“Pada gambaran lebih besar, banyak rumah tangga dan hubungan terganggu ketika perimenopaus dan ramai tidak mengetahui ia disebabkan oleh hormon. Justeru, wanita di luar harus belajar menerima dan memahami apa yang terjadi supaya bijak menangani peringkat yoyo ini,” jelasnya.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Sumber: Kosmo

0 comments: