09 Disember 2014

Taman Agro Pelancongan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)


MAEPS ~ Liburan berkonsepkan alam

JIWA terasa begitu tenang apabila memandang ke arah taman yang dipenuhi sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Aroma wangian bunga turut menceriakan suasana kawasan tersebut.

Para pengunjung bebas menerokai Taman Agro Pelancongan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 baru-baru ini.

Selain pelancong, wakil-wakil media turut dibawa merasai sendiri pengalaman di taman itu yang dipecahkan kepada empat bahagian iaitu Laman Agro, Agro Recreation, Rumah Negeriku dan Go Green Edufarm.


Lawatan pertama wakil media bermula di taman sayur dan herba yang dikenali sebagai Laman Agro. Sebaik sampai di Laman Agro, kami ‘disambut’ oleh sebuah pintu gerbang yang unik.

Pintu gerbang taman tersebut dihiasi dengan pelbagai jenis sayur seperti labu, terung, lobak, dan kubis. Tambahan pula, sepanjang kaki lima taman itu terdapat sayur-sayuran dan buah-buahan menarik.

Para pengunjung yang hadir dapat menikmati keindahan taman di samping berteduh di bawah ‘himpunan’ sayuran yang menghalang cahaya matahari terik.


Orang ramai dapat berteduh di bawah rimbunan sayur-sayuran di sepanjang kaki lima Laman Agro di MAEPS.

Kehijauan

Sorang pengunjung, Mastura Ms. Abdul Malik, 42, begitu tenang dan teruja melihat kehijauan yang terdapat di Laman Agro di MAEPS.

Laman Agro yang menempatkan pelbagai tanaman itu, berkonsepkan edible garden dengan hiasan landskap terdiri daripada tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan herba yang boleh dimakan. Selain tanaman, terdapat juga penternakan kelulut sebagai pameran.

Tambahan pula, terdapat sebuah kawasan yang dikenali sebagai terapi bau dan warna. Kawasan tersebut dihiasi dengan pelbagai jenis bunga seperti bunga ros, bunga kertas dan bunga seri pagi di samping mengeluarkan bau bunga-bungaan yang harum. Tempat itu sesuai untuk terapi menenangkan diri dan merehatkan minda.

“Saya boleh katakan, sebagai seorang yang menghargai keindahan alam semula jadi, maka saya gemar melawat tempat-tempat seumpama ini,” ujarnya sambil melihat pokok-pokok cili kecil yang tumbuh dalam rumah taman.


PENGUNJUNG memberi susu kepada anak biri-biri jenis Pekan Dorper.

Mastura yang berasal dari Perak sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk melihat pameran pertanian yang terdapat pada MAHA 2014.

“Ini bukan pengalaman pertama saya. Setiap kali ada MAHA, saya selalunya akan cuba hadirkan diri kerana melihat pameran pertanian dapat memberikan saya satu kepuasan,” katanya lagi.

Kebiasaannya, Taman Agro Pelancongan hanya dibuka untuk pengunjung apabila berlangsungnya pameran MAHA yang diadakan setiap dua tahun sekali. Namun, Taman Agro Pelancongan itu bakal dibuka untuk semua orang menjelang awal tahun depan.

“Ia merupakan satu idea yang sangat bernas dan secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan antara manusia dan alam semula jadi.

“Sekarang, orang ramai kurang menghargai alam sekitar kerana begitu sibuk dengan dunia teknologi,” tegasnya.

Tambahnya lagi, mendekatkan diri dengan alam merupakan salah satu cara untuk menenangkan jiwa dan lari sebentar daripada kesibukan bekerja.

MAEPS pada asalnya merupakan sebuah tapak pameran pertanian namun kini konsepnya telah berkembang dan memasuki elemen pelancongan yang dikenali sebagai Taman Agro Pelancongan.

Dalam pada itu, Agro Recreation merupakan kawasan riadah untuk seisi keluarga. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan seperti berkayak, bermain bola air dan berjoging.

Go Green EduFarm pula lebih bersifat pendidikan dan ia sangat sesuai untuk lawatan pelajar-pelajar sekolah. Para pelajar pasti dapat mempelajari mengenai sesuatu jenis tanaman daripada ditanam sehingga siap untuk dipasarkan. Misalnya, pelajar dapat menimba ilmu mengenai proses penanaman padi sehingga menjadi beras di Galeri Padi.

Selain itu, MAEPS telah menjadi tapak rasmi pameran MAHA sejak tahun 2006 malah pameran tersebut juga pernah dilakukan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan The Mines Wonderland, Seri Kembangan, Serdang.

Pengunjung perlu menaiki pengangkutan yang disediakan seperti trem kerana keluasan MAEPS adalah kira-kira 130 hektar. Trem juga bergerak mengikut jadual yang disediakan untuk membawa pengunjung ke destinasi yang diingini.


Kawasan terapi warna dan bau dapat menenangkan minda para pengunjung.

Potensi pasaran

Seorang lagi pengunjung, Romlah Ahmad, 57, mengatakan dia berkunjung ke MAEPS kerana pujukan ahli keluarganya.

“Ahli keluarga saya lebih berminat untuk melihat pameran-pameran pertanian kerana mereka berasakan adanya potensi pasaran dalam industri pertanian.

“Saya sebaliknya lebih menyukai tanam-tanaman yang terdapat di Laman Agro ini,” ujarnya sambil duduk menikmati keindahan bunga-bunga mekar di kawasan terapi bau dan warna.

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 yang berlangsung selama 10 hari bermula 20 sehingga 30 November 2014 lalu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik.

Pameran-pameran yang terdapat di MAHA berasaskan pertanian dan penternakan malah para pengunjung dapat melihat pelbagai haiwan ternakan seperti biri-biri, burung walit dan arnab secara dekat.

Romlah yang berasal dari Perak, memberitahu, selepas melawat Laman Agro, cucu-cucunya pula mengajaknya melawat kawasan penternakan untuk melihat dan memegang haiwan secara dekat.

“Biasalah budak-budak, mereka tidak berapa minat dengan tanaman kerana tiada interaksi. Berbeza pula dengan haiwan kerana mereka dapat membelai dan memberi makan,” ujarnya lagi.

Seorang kanak-kanak yang berada di Laman Veterinar, Wan Raihana Wan Adlan Affandi, 8, begitu gembira melihat arnab-arnab yang berkeliaran di dalam pondok malah dia sempat mengambil beberapa gambar secara selfie.

“Saya suka bermain dengan arnab kerana ia haiwan yang sangat comel. Saya dan ibu saudara turut melihat beberapa haiwan lain di taman ini,” katanya sambil membelai arnab di pangkuan ribanya.

Selain arnab, kelihatan anak-anak kecil teruja memberi susu kepada biri-biri malah ada juga antara mereka yang menunggang lembu rodeo. Namun, rodeo tersebut hanyalah permainan elektronik dan bukan sukan yang sebenar.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu sempat memberitahu, kanak-kanak lain patut datang ke MAEPS kerana di sini terdapat pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.

Namun, Taman Agro Pelancongan tersebut dijangka dibuka menjelang awal tahun 2015. Selain itu, taman agro ini bakal dijadikan sebagai salah sebuah destinasi dalam pakej-pakej percutian bagi para pelancong dari dalam dan luar negara.

Oleh NABIHA MOHD. YUSOF
Sumber: Kosmo

0 comments: