10 Disember 2014
Teknologi ‘Bullet Train’ Shinkansen
SIRI Shinkansen E5 yang terpantas dan mampu beroperasi pada kelajuan 350 km/jam.
Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura yang dijangka siap menjelang 2020, dilihat bakal menjana pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara. Dalam erti kata lain, sekiranya projek itu dilaksanakan dalam tempoh enam tahun lagi, ia mampu membuka era baharu industri pengangkutan negara ini.
Malah, Malaysia juga akan menjadi antara negara Asia yang mempunyai perkhidmatan moden itu selepas Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan.
Sekiranya ciri-ciri keselamatan menjadi keutamaan dalam projek ini, sistem Shinkansen adalah pilihan yang sesuai kerana prestasi dan rekodnya yang tidak pernah mengalami kemalangan besar sejak beroperasi selama 50 tahun.
Shinkansen atau dikenali sebagai ‘Bullet Train’ menjadi simbol kemajuan ekonomi serta teknologi Jepun malah ia juga antara kereta api terpantas di dunia dan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di negara tersebut.
Bukan hanya kerana rekod kelajuan yang menjadi kebanggaan negara matahari terbit itu tetapi apa yang menarik adalah aspek keselamatan terbaik berjaya meletakkan Jepun ke hadapan berbanding negara-negara maju lain.
Industri Shinkansen bermula pada 1965 ketika Tokaido Shinkansen beroperasi, kemudian tiga lagi jaringan iaitu Sanyo, Kyushu dan Tohuku dibuka yang menjadikan jumlah keseluruhan operasi perkhidmatan itu sebanyak 2,400 kilometer (km).
Laluan dari Tokyo-Nagoya Shinkansen yang mempunyai jarak perjalanan yang hampir sama dengan Kuala Lumpur dan Singapura iaitu kira-kira 350 km, terbukti menjadi pilihan pengangkutan popular rakyat Jepun apabila 71 peratus penumpang menggunakan perkhidmatan kereta api berbanding kereta (23 peratus) dan bas (lima peratus).
Baru-baru ini, penulis berkesempatan menaiki siri Shinkansen E5 (terpantas serta mampu beroperasi pada kelajuan 350 km/jam) dan siri Shinkansen E2 dalam lawatan sambil belajar Shinkansen di Jepun.
Lawatan anjuran Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun bersama East Japan Railway Company ini, cukup menerujakan. Apatah lagi, penulis berpeluang menyaksikan sendiri cara pengendalian siri Shinkansen E2 bersama pemandunya di ruang kokpit dari Sendai ke Shin Shirakawa yang mengambil masa kira-kira satu jam.
Pengurus Jabatan Antarabangsa East Japan Railway Company, Osamu Onodera berkata, sistem Shinkansen direka secara optimum dan dilengkapi dengan teknologi canggih berdasarkan pengalaman serta kajian teliti pakar dalam bidang pengangkutan kereta api sejak bertahun lamanya.
“Sejak mula beroperasi, tiada kematian dilaporkan termasuk kereta api tergelincir atau pelanggaran membabitkan Shinkansen lain malah, purata masa kelewatan bagi setiap perjalanan dilaporkan dalam tempoh seminit sahaja. Apa yang paling menarik adalah kenderaan mesra alam itu juga mampu mengawal bunyi gerabak kereta api pada kelajuan yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau, antara aspek keselamatan Shinkansen adalah peranti kawalan kereta api automatik (ATC) yang secara berterusan menyelia kelajuan kereta api. Teknologi itu akan memberi tindak balas kepada keadaan landasan dan jarak kereta api di hadapannya supaya kejadian pelanggaran atau kemalangan dapat dielakkan.
“Geografi semula jadi Jepun tidak seperti negara lain, kita mempunyai masalah bencana alam seperti gempa bumi dan puting beliung yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Justeru, pembinaan semua model Shinkansen dilengkapi dengan sistem pengesanan awal bencana alam yang akan memberi tindak balas secara automatik apabila kejadian itu berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, menurut jurucakap Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, negara itu bersedia menawarkan kepakaran teknikal melibatkan reka bentuk kereta api sehingga ke peringkat operasi dan penyelenggaraan bagi projek HSR Malaysia-Singapura.
Antara kepakaran ditawarkan adalah kemahiran penyelenggaraan secara terperinci, sistem tiket kad Litar Bersepadu (IC) dengan pembayaran mikro, operasi mematuhi masa dan latihan kepada pekerja.
“Kami berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran sistem Shinkansen kepada kedua-dua negara bagi memajukan projek HSR ini dengan lebih efektif. Saya juga kagum dengan komitmen Malaysia yang bersungguh-sungguh untuk menjalankan pengurusan projek kereta api ini,” katanya.
Kata beliau, pihaknya juga yakin projek HSR antara Kuala Lumpur-Singapura akan dijalankan dalam tempoh yang ditetapkan tanpa kelewatan sekiranya semua pihak memberi kerjasama baik.
Bagaimanapun, menurutnya, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun tidak dapat mencadangkan siri model kereta api yang sesuai digunakan dalam membangunkan projek tersebut kerana masih belum menerima maklum balas daripada kedua-dua kerajaan terlibat.
Sehubungan itu, katanya, jumlah sebenar kos yang terlibat agak sukar dianggarkan kerana Malaysia dan Singapura belum mengemukakan pelan projek secara terperinci.
Pada 2013, Singapura dan Malaysia bersetuju untuk membina landasan kereta api laju yang akan mengurangkan masa perjalanan Kuala Lumpur ke negara itu kepada 90 minit. Setakat ini, tujuh perhentian di negara ini disahkan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Batu Pahat, Muar dan Nusajaya.
OLEH SHEILA RANI
Sumber: Utusan
Labels:
Teknologi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan