07 Januari 2015

Atap Poly-Al Daripada Pek Minuman Kitar Semula Untuk Rumah Epic


Pembinaan Rumah Epic yang menggunakan atap Poly-Al

"Saya amat gembira. Sudah lama saya menunggu untuk mendapatkan rumah seperti ini, sampai saya tidur pun bermimpi," kata Sofian Othman, 25, Orang Asli dari suku kaum Temuan.

Dengan pendapatan bulanan hanya RM600, beliau yang bekerja sebagai tukang kebun telah lama mengidamkan sebuah rumah yang lebih selesa di kampungnya sendiri iaitu di Kampung Hulu Tamu, Batang Kali, berhampiran Rawang.

Yang paling membimbangkan Sofian ialah keselamatan dan keselesaan anak perempuannya yang berumur empat tahun kerana lantai kayu rumah lamanya semakin uzur dan setiap kali anaknya melompat, lantai itu pasti bergegar.


"Kami rancang untuk hias cantik-cantik rumah ini. Isteri saya mahu tanam pokok bunga di sekeliling rumah. Saya pula akan uruskan perabot dan barang-barang keperluan rumah yang lain," katanya.

Sofian adalah antara 10 penerima 'Rumah Epic' yang dibina di bawah projek CAREton, inisiatif kitar semula oleh Tetra Pak dengan rakan kongsinya, Milo dan syarikat, Epic Homes.

BUMBUNG KARTON

Siapa sangka karton minuman yang sudah digunakan boleh dikitar semula sepenuhnya dan dijadikan bumbung rumah?

Pengarah Urusan Tetra Pak Malaysia, Singapura dan Filipina, Brian May berkata pihaknya membuat keputusan untuk memainkan peranan mempromosikan budaya kitar semula selepas menyedari terdapat satu bilion pek minuman diminum setahun.

Syarikat tersebut, kata beliau, mengambil langkah pertama dengan memastikan semua komponen karton minumannya boleh dikitar semula.

Pek minuman apabila diasingkan komponennya terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kertas (75 peratus), plastik (20 peratus) dan aluminium (5 peratus).

Sebaik sahaja karton-karton itu tiba di kilang kitar semula, elemen kertas boleh diasingkan daripada elemen-elemen plastik dan aluminium.

Komponen kertas kemudian akan dihantar ke kilang membuat kertas di mana ia akan digunakan untuk menghasilkan produk berasaskan kertas yang lain seperti kotak karton kadbod.

Bagaimana pula dengan elemen plastik dan aluminium yang dikenali sebagai elemen 'Poly-Al'?

Di kilang, 'Poly-Al' boleh ditukarkan menjadi pelbagai produk. Untuk projek CAREton, ia ditukar menjadi genting bumbung. Bumbung inilah yang digunakan untuk Rumah Epic.

"Tahun ini adalah tahun ketiga kami melaksanakan projek ini. Kesedaran mengenai kitar semula semakin meningkat di Malaysia. Sehubungan itu, pihak kami telah menambah rangkaian pusat pungutan barangan kitar semula kepada lebih 460 berbanding hanya 230 pada akhir tahun 2013," tambah Brian.

RUMAH LEBIH SEJUK

"Berbanding bumbung zink biasa yang digunakan oleh kebanyakan rumah kampung, bumbung Poly-Al lebih baik kerana ia lebih tahan air dan api," kata Pengurus Alam Sekitar Tetra Pak, Manju Murugesan.

Bumbung ini mempunyai ciri antikarat dan kerana bahan serta reka bentuknya, bumbung Poly-Al juga memberi perlindungan daripada panas dan bunyi bising di samping jaminan 10 tahun oleh pengeluar.

Setiap Rumah Epic memerlukan 46 keping genting bumbung. Setiap genting memerlukan sebanyak 7,247 pek minuman kitar semula. Ini berm akna setiap Rumah Epic memerlukan sehingga 333,362 pek minuman kitar semula.

Sehingga November 2014, projek itu telah mengumpul sebanyak 7.2 juta pek minuman, melebihi angka sasaran sebanyak lima juta pek, seperti yang dicapainya sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2012.

Dengan siapnya pembinaan rumah ke-10 pada tahun 2014 dengan menggunakan genting bumbung yang disumbangkan oleh projek sebelumnya, CAREton kini meletakkan sasaran untuk membina 20 buah lagi rumah untuk masyarakat Orang Asli yang memerlukannya, pada tahun 2015.

TIGA HARI, 30 ORANG, TIGA SENYUMAN

Selama tiga hari, 30 orang sukarelawan bekerja dari pagi hingga petang dengan hanya waktu rehat makan tengah hari selama sejam sahaja untuk menyiapkan rumah Sofian.

John-Son Oei, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat keusahawanan sosial, Epic Homes berkata, mereka bersandar kuat kepada semangat kesukarelawan dalam pembinaan setiap Rumah Epic.

Bagaimanapun, beliau mengakui kerjasama dengan rakan kongsi strategik seperti Tetra Pak dan Milo, yang mewakili Nestle Malaysia, memberi manfaat kepada semua pihak dalam banyak bidang.

"Membina rumah untuk Orang Asli adalah satu usaha yang banyak memberi kepuasan tetapi boleh menelan kos yang tinggi.

"Setiap rumah yang dibina menelan belanja sehingga RM40,000 dan kami bergantung kepada penaja untuk bahan binaannya," kata John-Son.

Beliau menambah, rakan kongsi projek juga memberi sumbangan lebih dengan menggerakkan kakitangan mereka sebagai sukarelawan untuk mengambil bahagian bagi membina rumah berkenaan dalam masa tiga hari dengan semangat setiakawan yang tinggi.

Secara keseluruhannya, Rumah Epic mempunyai lebih 1,000 sukarelawan berdaftar untuk projek pembinaan rumah bagi masyarakat Orang Asli.

Sejak empat tahun lepas, mereka telah membina sebanyak 33 buah rumah di empat lokasi yang berbeza di pelbagai negeri.

Epic Homes juga mengalu-alukan sesiap yang ingin berkongsi wawasan ini untuk mendaftar sebagai sukarelawan menerusi laman sesawang rasmi htp://www.epichome.org.

KENANGAN MANIS

Sukarelawan Ken Boon dan Wan Lismawatie Wan Ludin, kakitangan syarikat Nestle memberitahu Bernama, mereka mendaftar sebagai sukarelawan untuk membantu orang lain dan bersedia untuk bekerja keras selama tiga hari.

"Ini adalah pengalaman pertama saya melibatkan diri dalam projek seumpama ini. Saya berasa begitu simpati dengan mereka yang kurang bernasib baik. Saya harap menerusi sumbangan kami, mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik," kata Ken Boon.

Sementara itu, Lismawatie menyifatkan pengalamannya dalam projek itu sebagai "kenangan manis dalam hidupnya".

Menurut beliau, Nestle Rocks, bahagian kebajikan dan sukarelawan syarikat itu mempelawanya mendaftar untuk menjadi sukarelawan projek itu dan dia bersetuju meskipun tidak tahu langsung mengenainya.

Bagi meningkatkan usaha untuk kegunaan kitar semula karton minuman di seluruh negara, Tetra Pak melancarkan laman sesawang 'Recycle Easy', dengan teknologi yang membolehkan pelanggan, perniagaan dan sekolah dengan mudah mencari tempat kutipan terdekat.

Halaman ini boleh diakses di http://www.recycle-easy.com.my. Lebih banyak maklumat mengenai projek CAREton boleh diperoleh di http://www.tetrapak.com.my.

Oleh Ali Imran Mohd Noordin
Sumber: BERNAMA

0 comments: