06 Januari 2015

Kayuh Adventure ~ Kembara Berbasikal Kharleez


Kisah kembara 4,593km Kharleez

TAHUN 2014 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pasti meninggalkan kenangan manis kepada Sheikh Kharleez Bamadhaj Jaafar. Manakan tidak, anak muda bersemangat waja dari Ipoh, Perak itu berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan misi kayuhan amalnya dari Kuala Lumpur ke Kunming, China pada 31 Disember 2014.

Lebih manis, Sheikh Kharleez Bamadhaj yang mesra disapa Kharleez turut berjaya mengumpul dana sebanyak RM17,500 termasuk RM15,000 sumbangan syarikat pengeluar produk kesihatan dan kecantikan, Aurawhite untuk disalurkan kepada Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).


Kharleez amat bersyukur kerana berjaya menamatkan misi kayuhan yang mengambil masa 67 hari itu dan menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayat.

“Alhamdulillah, misi ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah walaupun kadang-kadang saya terpaksa berdepan sedikit rintangan, antaranya masalah bahasa, cuaca dan kesihatan. Namun, berkat doa dan keazaman yang tinggi, saya ak­hirnya berjaya merealisasikan kayuhan ini,” ujarnya.

Mengimbas kembali memori ekspedisi tersebut, remaja berusia 22 tahun itu berkata, pengembaraan menggunakan basikal berjenama Nexus yang dinamakan Kayuh Adventure dan bermula pada 25 Oktober 2014 itu merentasi lima buah negara iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam, Laos dan China dengan jarak perjalanan sejauh 4,593 kilometer (km).

Majlis pelepasan misi kayuhan itu diadakan di ibu pejabat pejabat Kosmo! di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Ia dilepaskan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Pe­ngarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin dan Pengasas Bersama Aurawhite Global, Saiful Safwan Mohd. Ghazi.

Menurut Kharleez, laluan perjalanan yang paling panjang dalam kembara itu ialah negara Thailand de­ngan jarak sejauh kira-kira 1,000km yang memakan masa lebih kurang 25 hari.

Katanya, antara wilayah atau daerah yang dilalui selepas keluar melalui sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam termasuklah Hat Yai, Songkla, Surat Thani, Chumphon, Bangkok dan Uttadarit.


Thailand memberi banyak kenangan manis kepada Kharleez yang tiba di negara tersebut pada 2 November 2014.

Meskipun kayuhan di negara Gajah Putih itu mengambil masa yang agak lama, peme­gang Ijazah Sarjana Muda Perda­gangan Antarabangsa Universiti Multimedia (MMU) Melaka itu mengakui sedikit pun tidak berasa bosan atau patah sema­ngat sementelah perjalanannya diserikan dengan keramahan penduduk selain pemandangan alam semula jadi yang memukau.

Tayar pancit

“Dari sempadan Nong Khai (timur laut Thailand), saya meneruskan kayuhan ke Vientiane, Laos. Pengembaraan di bumi Laos ternyata begitu mencabar kerana saya perlu berkayuh di kawasan tanah tinggi melalui dua gunung yang masing-ma­sing berketinggian 1,600 meter (m) dari aras laut,” cerita Kharleez.

Kharleez memperoleh idea untuk menjalankan misi Kayuh Adventure selepas bersimpati dengan nasib salah seorang sepupunya yang mempunyai masalah sumbing sejak lahir dan bertekad untuk mengumpul dana bagi membantu meringankan beban insan yang senasib dengan saudaranya itu.

Biarpun Kharleez tidak pernah terlibat dalam aktiviti kayuhan basikal secara solo le­bih-lebih lagi membabitkan perjalanan dalam jarak yang jauh dan mencabar, anak bongsu daripada tiga beradik itu bijak mengatasi rintangan yang dihadapi bagi memastikan perjalanannya ke bumi China berjalan dengan lancar.

“Saya menghabiskan masa sekitar empat bulan untuk membuat persiapan termasuk dari segi peralatan dan merancang laluan perjalanan.

“Memilih peralatan merupakan proses paling penting kera­na saya perlu memastikan ia sesuai serta tahan lasak mengikut keadaan cuaca dan geografi,” jelasnya yang turut mendapatkan maklumat dari internet dan rakan-rakan berpengalaman bagi menjayakan misi berkenaan.

Tambah Kharleez, pelbagai peristiwa menarik serta memori indah mewarnai pengembaraan Kayuh Adventure itu.

Katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika menempuh detik-detik sukar ekoran masalah cuaca yang tidak menentu dan masalah tayar pancit ketika berada di Uttadarit, Thailand.

“Apabila hari hujan, saya perlu lebih berwaspada kerana jalan licin dan berlopak-lopak. Cuaca yang sejuk ditambah ­angin yang kencang sedikit sebanyak melambatkan perjalanan. Ketika tayar basikal pancit gara-gara terkena paku, saya terpaksa menukar tiub tayar itu sendiri,” jelasnya sambil memberitahu, dia agak bernasib baik kerana tidak dirompak sepanjang pengembaraan itu.

Akibat terdedah kepada keadaan cuaca yang tidak menentu dalam tempoh yang lama, Kharleez memberitahu, dia jatuh sakit ketika kayuhan amalnya itu menghampiri negara Vietnam.

“Saya berasa tidak sihat akibat demam dan selesema yang dihadapi sehingga terpaksa berehat di Thanh Hoa, Vietnam selama beberapa hari sebelum boleh menyambung semula perjalanan ke Hanoi,” katanya.

Selain itu, cabaran mendapatkan makanan halal di negara-negara berkenaan juga me­ninggalkan pengalaman berharga buat Kharleez.

“Selama beberapa minggu saya terpaksa mengikat perut. Untuk sarapan misalnya, saya hanya mengalas perut dengan sajian oat atau minuman bijirin segera yang dibeli di kedai serbaneka, tengah hari pula cukup sekadar menjamah roti bersama mentega kacang, manakala malam hanya makan pasta segera,” ceritanya.

Laluan berbukit

Di China, cabaran yang dihadapi Kharleez lebih kepada masalah komunikasi dan bahasa sementelah negara Tembok Besar itu menggunakan bahasa Cina secara sepenuhnya dalam hampir semua urusan rasmi.

“Selain papan tanda yang tidak boleh dibaca kerana hampir semuanya dalam bahasa Cina, saya juga menghadapi masalah untuk berhubung dengan warga tempatan yang rata-rata tidak tahu berbahasa Inggeris.

“Pun begitu, saya bernasib baik kerana walaupun tegas dari segi pengawalan dan keselamatan, perkhidmatan yang diberikan Jabatan Imigresen China sangat efisien dalam membantu saya mengatur perjalanan agar kayuhan ke Kunming berjalan lancar,” ujarnya yang turut mengakui laluan perjalanan sepanjang ke Kunming adalah yang paling mencabar ekoran kea­daan jalannya yang berbukit, berbatu dan berlubang-lubang.

Kata Kharleez, perjalanan dari Yuan Yang ke Juanhui merupakan laluan paling sukar memandangkan dia terpaksa melakukan kayuhan secara mendaki pada ketinggian 200m dari paras laut.

“Kayuhan di sana memerlukan kesabaran dan stamina yang tinggi. Saya juga perlu berhati-hati kerana laluan tersebut turut menjadi jalan utama lori-lori besar,” katanya yang me­nyimpan hasrat untuk mela­kukan kayuhan amal ke Asia Tengah pada masa akan datang.

KHARLEEZ bertemu dengan Konsulat Malaysia di China, Nazri Abdul Rahman sebaik tiba di Kunming, China pada 31 Disember 2014.

Kharleez tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, (KLIA2) pada 2 Januari, 2015 selepas berjaya menamatkan misi kayuhan amal ke Kunming, China.

Oleh NOR IDAYU BOSRO dan LILY YEAN
Sumber: Kosmo

0 comments: