16 Januari 2015
Hidayah Milik Allah ~ Hidayah Hadir Kerana Kerapian Saf Solat
DALAM masa beberapa saat jutaan umat Islam dapat meluruskan saf sebelum menunaikan solat. - Gambar hiasan
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk. (al-Qasas: 56)
Dalam suatu program One Family di saluran Majd Channel, ketika itu moderatornya ialah Dr. Yahya al-Yahya telah menceritakan kisah mengenai seorang lelaki Amerika Syarikat (AS), yang berbincang dengannya tentang Islam ketika sedang menonton siaran langsung solat Isyak pada bulan Ramadan di Mekah al-Mukarramah.
Lelaki AS itu sangat terkejut melihat keadaan umat Islam melalui kaca televisyen (TV), melebihi 3 juta orang yang berhimpit antara satu sama lain di dalam Masjidil Haram pada malam terakhir di bulan suci Ramadan tersebut. Ia jelas begitu ramai dan nampaknya sangat tidak terurus.
Syeikh tersebut bertanya kepada lelaki AS itu, “Berapa lama kamu fikir mereka akan menguruskan diri mereka masing-masing untuk berada dalam barisan (saf) dan memulai solat?”
Lelaki itu menjawab, “Sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam.”
Syeikh itu berkata, “Tetapi Masjidil Haram mempunyai empat tingkat.” Lantas lelaki itu menjawab, “Oh kalau begitu pasti akan mengambil masa lebih kurang 12 jam.”
Syeikh itu berkata lagi, “Kamu bayangkan bahawa mereka datang dari seluruh pelosok dunia dengan berlainan bahasa, mungkinkah mereka dapat berada dalam satu saf untuk memulai solat?”
Lelaki itu lalu menjawab, “Jika begitu amat mustahil bagi mereka untuk mengurus diri mereka sendiri agar berada dalam satu saf sebelum memulakan solat.”
Sebaik masuk waktu solat, Syeikh Abdul Rahman as-Suddais (Imam Masjidil Haram) berdiri tegak lalu melaungkan kalimah, “Rapatkan Saf....” Dan dalam beberapa saat sahaja, seluruh pemandangan di Masjidil Haram berubah serta merta dan jutaan umat Islam yang berada bersesak-sesak ketika itu dalam beberapa saat telah tersusun begitu rapi dalam barisan saf.
Melihatkan keadaan luar biasa itu, lelaki AS itu terdiam seketika sebelum meluncur melafazkan syahadah, “Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi Muhammad itu adalah utusan-Nya.”
Lihatlah betapa ajaibnya Islam, hanya kerana kerapian saf solat, ia sudah menarik perhatian penganut agama lain untuk menyakini agama mulia ini. Subhanallah...(Sumber: Islam the way of life).
Sumber: Utusan
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan