15 Januari 2015

Sukarelawan Banjir Di Kalangan Pelajar IPT



Para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara adalah kumpulan terbesar tenaga sukarelawan yang dilihat mudah untuk digerakkan secara terancang dalam sesuatu bencana.

Keberkesanan pergerakan sukarelawan ini dapat dilihat semasa membantu mangsa dan kerajaan ketika banjir melanda Kelantan bulan Disember, 2014 dan disusuli pasca banjir sekarang.

Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak), yang dipertanggungjawab untuk menyelaras pergerakan kesemua sukarelawan itu, juga terbukti dapat melaksanakan tugas itu dengan baik.


Naib Presiden Himsak Dr Ariff Hakimi Zulkifli berkata penyertaan IPT awam dan swasta telah diselaraskan dengan baik di mana khidmat mereka dapat diberikan secara menyeluruh ke seluruh negeri ini.

Lebih 17,000 sukarelawan dari IPT Awam dan Swasta "berkampung" di Kelantan bukan sahaja membantu mangsa di pusat-pusat pemindahan dan kerja-kerja pasca banjir malah menyumbang bekalan makanan dan barangan keperluan lain.

PENGURUSAN BERKESAN

"Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (Maskum) turut memainkan peranan menggerakkan pelajar universiti untuk melibatkan diri dalam kerja khidmat komuniti khususnya dalam bencana banjir," kata Dr Ariff Hakimi.

Selain universiti terdapat sukarelawan dari institut pendidikan guru, politeknik, kolej komuniti, jabatan dan agensi kerajaan, NGO serta individu.

"Sukarelawan dari Politeknik dan Kolej Komuniti turut digerakkan untuk membantu membaikpulih pendawaian elektrik di rumah-rumah penduduk yang terjejas akibat banjir. Semua ini penting untuk keselamatan penduduk," katanya.

Mengulas mengenai Himsak, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menghargai komitmen dan sumbangan yang diberikan oleh seluruh sukarelawan termasuk IPT.

Beliau memuji Himsak yang berjaya menyelaraskan pergerakan sukarelawan berkenaan dengan berkesan khususnya ketika pasca banjir.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mendaftarkan kesemua sukarelawan termasuk dari IPT yang terlibat membantu semasa banjir dan pasca banjir supaya mudah untuk digerakkan pada masa hadapan.

Beliau berkata semangat sukarelawan yang ditunjukkan mereka adalah amat tinggi dan kerajaan menghargai sumbangan mereka.

LIMA FASA

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata sejumlah 2,000 pelajar dan kakitangan universiti itu turun padang membantu membersihkan beberapa sekolah yang terjejas banjir melibatkan lima fasa bermula 1 Jan hingga 21 Jan 2015 ini.

"Setiap fasa akan melibatkan kumpulan tertentu terdiri daripada pelajar sehinggalah kepada pensyarah, pelaksana dan seluruh kakitangan UniMAP," katanya.

Beliau berkata pihaknya bukan hanya memberi bantuan secara fizikal seperti kerja pembersihan tetapi juga bantuan membaiki kerosakan elektrik, kesihatan dan kaunseling kepada mangsa banjir.

Kamarudin berkata UniMAP turut mengumpulkan sumbangan berjumlah RM100,000 untuk diagihkan kepada pelajar yang terjejas banjir berupa barangan kelengkapan sekolah seperti pakaian, alat tulis dan beg.

UniMAP turut menggunakan pemindahan teknologi 'Unmanned Aerial Vehicle' (UAV) atau pesawat tanpa pemandu bagi memantau perkembangan dan impak banjir di Tumpat.

PELBAGAI TUGAS

Banjir terbesar yang belaku bulan Disember, 2014 lepas menyebabkan lebih 104,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan dan ramai lagi yang berpindah ke tempat yang tidak diwartakan seperti rumah saudara mara, manakala 2,677 rumah musnah serta banyak lagi rumah dan kemudahan awam rosak teruk.

Banjir lumpur terburuk itu melanda di kesemua 10 jajahan di negeri ini dan kemusnahan paling teruk dapat disaksikan di Gua Musang dan Kuala Krai.

Mereka melakukan apa sahaja tugas yang diberi daripada membantu mangsa di pusat pemindahan, menghulurkan bantuan makanan dan bekalan keperluan harian dari rumah ke rumah, membuat pemeriksaan kesihatan, memberi kaunseling kepada mangsa yang trauma, membersih dan mengemas rumah hinggalah melakukan pembersihan di premis awam seperti sekolah, balai raya, klinik, masjid dan balai polis.

Kehadiran mereka memperkasakan lagi tenaga sukarelawan lain yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), individu dan sukarelawan jabatan serta agensi kerajaan, yang sama-sama mahu menabur bakti membantu mereka dalam kesusahan.

Semasa banjir, sukarelawan IPT ini mencurahkan tenaga bagi memenuhi keperluan di pusat-pusat pemindahan termasuk menjadi tukang masak dan walaupun mereka bukanlah chef namun hidangan yang mereka sediakan diterima baik oleh mangsa banjir.

Bagi pelajar dari jurusan perubatan, mereka membuka klinik bergerak untuk membuat pemeriksaan kesihatan percuma kepada mangsa banjir dan pelajar jurusan lain ada yang menjadi juru kaunseling kepada mangsa yang trauma.

PASCA BANJIR EPISOD MENCABAR

Pasca banjir, satu lagi episod mencabar bagi sukarelawan ini erutama "mengejar masa" untuk kerja-kerja membersih.

Mereka perlu membersihkan dengan segera sebanyak 165 buah sekolah yang terjejas termasuk membersihkan lumpur di dalam dan persekitaran bangunan sekolah sebelum lumpur itu kering dan menjadi sukar untuk dibersihkan. Mereka juga perlu memastikan sesi persekolahan 2015 yang bermula 11 Jan 2015 dapat berjalan lancar.

Mereka juga membersihkan kemudahan awam lain yang ditenggelami banjir lumpur seperti masjid, dewan orang ramai, taman bimbingan kanak-kanak (Tabika), pasar awam dan balai polis.

PENGALAMAN

Tinjauan Bernama di lokasi pembersihan yang melibatkan tenaga sukarelawan ini, mendapati mereka begitu komited untuk menyiapkan tanggungjawab yang diberikan walaupun terpaksa 'bermain lumpur' dan 'bermandikan air hujan'.

Sharifah Aishah Syed Ibrahim, 23, pelajar jurusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) antara sukarelawan terbabit yang tidak mengenal penat untuk membersihkan lantai kelas dan persekitaran bangunan sekolah yang dipenuhi lumpur.

"Ini adalah pengalaman pertama saya sebagai sukarelawan dalam bencana banjir. Walaupun lumpur banyak dan hujan pula, kami berusaha membersihkan sekolah ini sebaik mungkin," katanya ketika ditemui bersama-sama rakan-rakannya membersihkan persekitaran Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Wakaf Mek Zainab di sini, sehari sebelum sesi persekolah bermula.

Seorang lagi pelajar Mohd Faris Maimun, 24, juga dari jurusan undang-undang UIAM, berkata mereka berada di Kelantan sejak 1 Jan lepas dan dalam tempoh 10 hari itu mereka membersihkan beberapa buah sekolah dan Tabika sekitar jajahan Kota Baharu.

"Saya bersyukur dapat menabur bakti kepada masyarakat dan dalam situasi pasca banjir ini adalah kali pertama dan ia amat mencabar, walaupun terpaksa bermain lumpur, itu tidak menjadi halangan," katanya dengan menjelaskan kekangan yang mereka hadapi ialah ketiadaan air untuk membersihkan lumpur di bangunan awam seperti sekolah.

Sesetengah IPT, kehadiran naib canselor atau timbalan naib canselor turut sama bergotong-royong, menyuntik semangat kepada pelajar dan kakitangan.

Fokus Berita Oleh Mohamad Bakri Darus
Sumber: BERNAMA

0 comments: