03 Januari 2015

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)



KEBIMBANGAN masyarakat berhubung isu penularan wabak penyakit melalui produk pertanian yang dibawa masuk dari negara luar dapat diatasi dengan penubuhan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia atau Malaysian Quarantine And Inspection Servives (MAQIS).

Kewujudan MAQIS yang secara rasminya ditubuhkan pada 12 Mac 2013 menandakan satu lagi komitmen kerajaan dalam menangani isu keselamatan rakyat.

Ketua Pengarah MAQIS, Mazlan Saadon berkata, secara dasarnya MAQIS bertanggungjawab terhadap aktiviti kuarantin, pemeriksaan dan penguatkuasaan setiap produk tani dan makanan yang diimport dari negara luar.


“Jabatan ini (MAQIS) akan memastikan keluaran pertanian, tanah, mikroorganisma dan makanan yang diimport ke negara ini dan dieksport ke negara luar sentiasa selamat, bebas racun perosak, penyakit, bahan cemar serta berkualiti untuk dimakan,” katanya.

Mazlan berkata, sebagai langkah pencegahan, para pengimport diingatkan supaya mematuhi peraturan dengan tidak membawa masuk produk yang boleh mengundang bahaya kepada keselamatan masyarakat tempatan dan sektor pertanian negara.

“Pematuhan ini penting bagi membantu kerajaan mencegah sebarang penyakit yang dibawa masuk menerusi produk tani dan sekiranya didapati bersalah, MAQIS boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang.


PEMERIKSAAN haiwan dilakukan oleh pasukan veterinar yang ditempatkan di stesen-stesen kuarantin MAQIS.

Bidang kuasa MAQIS termaktub di bawah lima peraturan iaitu Peraturan Pendaftaran Pengimport, Pengeksport dan Ejen; Peraturan Pengeluaran Permit, Lesen dan Perakuan; Peraturan Tatacara Kuarantin; Peraturan Fi dan Caj serta Peraturan Kuarantin dan Pemeriksaan.

Menurut Mazlan, aktiviti pengimportan produk pertanian mempunyai syarat dan peraturan yang berbeza-beza mengikut produk yang diimport mahupun dieksport.

“Syarat-syarat umum yang dikenakan ke atas semua produk ialah individu atau syarikat yang ingin mengimport perlu mendaftar sebagai pengimport atau ejen, memohon permit dan membuat bayaran ke atas permit yang diluluskan.

“Antara dokumen penting yang perlu dilengkapkan adalah pengesahan sijil halal, sijil ikan atau haiwan, borang kastam, invois, label dan lain-lain dokumen. Bagi tumbuh-tumbuhan, haiwan dan ikan yang memerlukan kawalan kuarantin, pengimport perlulah menentukan tempat kuarantin sama ada memohon menggunakan stesen kuarantin MAQIS atau premis kuarantin yang diakui MAQIS.

“Namun, terdapat juga kes di mana pengimport mengisytiharkan kemasukan produk pertanian tertentu tetapi tidak disertakan dengan permit seperti bawang dan kobis yang merupakan barang kawalan,” ujarnya.

Mazlan menambah, sepanjang tahun ini, MAQIS berjaya mencapai objektif utama penubuhannya apabila kawalan produk pertanian di pintu masuk negara didapati lebih teratur dan diselia dengan baik walaupun hanya dengan kekuatan 452 orang anggota dan 409 daripadanya terdiri daripada bahagian penguatkuasaan.

“Kami tetap akan berkhidmat dengan penuh dedikasi, menjalankan pemeriksaan dengan teliti dan sentiasa menekankan integriti kepada pegawai penguat kuasa MAQIS.

“Secara purata, kutipan fi dan caj yang dikutip oleh MAQIS sejak ditubuhkan adalah dianggarkan sebanyak RM6 juta sebulan dengan jumlah keseluruhan RM72 juta setahun.

“Sehingga November 2014, MAQIS telah mengutip sebanyak RM69.3 juta dan kemungkinan kutipan ini akan meningkat dari semasa ke semasa apabila Peraturan Fi dan Caj MAQIS dilaksanakan sepenuhnya,” kata beliau yang memberitahu bidang kuasa MAQIS itu dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia dan Labuan sahaja.

Dari segi penguatkuasaan pula, Mazlan memberitahu, sepanjang tahun ini, kira-kira 8,000 konsainan yang diperiksa telah ditahan kerana melanggar Akta dan Peraturan MAQIS dengan sebanyak 150 konsainan telah disita dan disiasat.

“Daripada jumlah itu, tiga daripada konsainan yang disita sedang dalam proses pendakwaan manakala 147 kes telah dikompaun dengan nilai keseluruhan RM731,200.

“Bagi lain-lain konsainan yang ditahan semasa pemeriksaan, MAQIS telah menjalankan tatacara kuarantin terhadap konsainan tersebut sama ada dirawat, tidak dibenarkan masuk dan dilupuskan,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai hala tuju MAQIS pada 2015, Mazlan berkata, pihaknya merancang untuk menjalankan operasi teliti di pintu-pintu masuk dengan melakukan pemeriksaan ketat ke atas pengimport atau orang perseorangan yang membawa barang dagangan seperti daging, ayam, buah dan sayur segar, ikan serta produk hasilannya.

“MAQIS akan bekerjasama dengan semua jabatan dan agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia bagi memastikan semua barang dagangan di bawah kawalan MAQIS dapat diperiksa dengan teliti sama ada daripada segi dokumen mahupun pemeriksaan fizikal,” jelasnya.

Oleh NOR SHAFAWATI YUP
Sumber: Kosmo

0 comments: