04 Januari 2015

Kediaman Persaraan Untuk Warga Emas


DENISE menghidangkan kopi untuk warga emas di rumah persaraan Humanitas.

Pada usia 92 tahun, Johanna sepatutnya kerap dilawati cucunya. Namun, perkara itu tidak mungkin terjadi kerana Johanna kini tinggal bersama teman serumah yang berusia 20 tahun di kediaman persaraan (Retirement Home).

Teman serumahnya, Jurien merupakan salah seorang daripada enam pelajar jurusan perancangan bandar yang terpilih untuk tinggal di rumah berbata kuning di Deventer, timur Belanda yang dikenali sebagai kediaman persaraan.

Pelajar-pelajar universiti itu tidak perlu membayar sewa. Sebaliknya, mereka perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 jam sebulan bersama 160 warga emas yang tinggal di situ.


Selain menjaga warga emas secara profesional, pelajar-pelajar itu turut membawa mereka bersiar-siar.

“Setiap kali pelajar-pelajar berjumpa dengan pesara ini, mereka pastinya akan berbual, bermain dan bersiar-siar di pusat beli-belah. Pelajar juga akan membelikan barangan untuk warga emas yang tidak berkemampuan,” jelas Arjen Meihuizen selaku penyelaras aktiviti itu.

Ketua rumah persaraan Humanitas, Gea Sijpkes memberitahu, perkara paling utama bagi warga emas adalah tidak mengasingkan mereka dari dunia luar.

“Ketika berusia 96 tahun dan mengalami masalah sakit lutut, pastinya cara ini memberi kegembiraan kepada warga emas walaupun tanpa rawatan doktor.

“Kami hanya mencipta satu persekitaran yang membuatkan warga emas lupa akan kesakitan lutut mereka,” kata Sijpkes.

Walaupun rumah persaraan di kebanyakan negara Eropah tidak mempunyai bilik yang mencukupi, kerajaan Belanda tetap bertindak memotong bajet untuk usaha murni itu. Ia membuatkan warga emas semakin sukar untuk mendapatkan tempat tinggal bersubsidi.

Sukarela

Idea untuk berkongsi kediaman telah tersebar ke seluruh negara tersebut dan menarik orang ramai untuk melakukan kerja sukarela. Usaha itu menjadikan rumah persaraan dengan pelbagai tema tumbuh bak cendawan.

Projek yang dikenali sebagai transmisi status antara generasi itu turut berkembang di beberapa negara lain di Eropah. Namun, kebiasaannya ia tidak dilakukan di rumah persaraan kerana kekurangan bilik.

Dalam skim lain, warga tua akan menyewa sebuah bilik di rumah atau pangsapuri mereka. Ia merupakan projek perumahan yang dibina khusus untuk menempatkan orang muda tinggal bersama warga emas.

Sebuah projek ditubuhkan kepada pelajar untuk membayar sewa sekiranya mereka tinggal di rumah persaraan di Lyon, Perancis. Namun, peraturannya lebih ketat berbanding rumah persaraan di Deventer dengan menetapkan rakan-rakan tidak dibenarkan berkunjung ke kediaman mereka.


TANPA rumah persaraan Humanitas, warga emas di Deventer berkemungkinan akan tinggal bersendirian.

Di Britain, sebuah suruhanjaya yang dipengerusikan oleh mantan Menteri Penjagaan, Paul Burstow pada September 2014 lalu mengesyorkan perumahan baharu untuk warga tua dan orang kelainan upaya diperbadankan seperti pembangunan pusat beli-belah, blok apartmen dan universiti.

Ia merupakan langkah untuk membela warga emas daripada ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Model lama rumah penjagaan dilihat sebagai institusi terpencil di pulau kesengsaraan. Rumah penjagaan yang jauh dari masyarakat bukanlah kediaman sebenar,” ujar Burstow.

Pelajar-pelajar di Deventer menyediakan menu makanan ringkas untuk warga emas pada waktu petang dan membawa mereka melakukan aktiviti mengikut minat tertentu.

Seorang pelajar yang dikenali sebagai Jordi, membawa kumpulan warga emas ke taman. Di situ, dia memberikan tin cat kepada mereka dan mengajar langkah-langkah untuk melukis grafiti.

Sementara itu, Jurrien pula mengajar Anton Groot Koerkamp yang berusia 85 tahun mengenai komputer setiap minggu.

“Saya boleh menghantar e-mel, melayari internet, menonton video dan membuka akaun Facebook,” ujar Koerkamp dengan bangganya.

Gembira

Warga emas juga tidak diwajibkan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pelajar.

Bagi Jurrien yang merupakan jiran Johanna, dia gembira dengan penyusunan aktiviti oleh pelajar-pelajar itu.

“Jarak usia bukanlah satu halangan kerana kami dapat melakukan aktiviti bersama-sama. Kami melakukan perkara-perkara mudah dan ia membantu perkembangan mood warga emas,” jelas Jurrien.

Sementara itu, pelajar jurusan kewartawanan, Denise, 22, meluahkan pendapat, dia bukan sahaja tidak perlu membayar sewa tetapi perlu bekerja dengan warga emas.

“Bilik di universiti kami amat kecil, kotor dan mahal tidak setaraf dengan harganya. Ia merupakan satu alternatif yang hebat,” ujar Denise.

Tambah Jurrien, dengan harga bilik RM1,713 (400 Euro), tempat tinggal lamanya hanya sebesar 10 meter persegi. Selain itu, dia juga terpaksa berkongsi dapur dan bilik air.

“Di sini, keluasannya dua kali ganda berbanding bilik lama. Saya juga turut disediakan dengan dapur dan bilik mandi sendiri,” tutur Jurrien. – AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: