Nuff Atas

18 Januari 2015

Jasa Ah Chai Si Penjual Ikan


Penduduk kampung masih memerlukan khidmat Ah Chai yang sudah berniaga dipercayai lebih 40 tahun.

Bunyi hon motosikal Lee Swa Chai dinanti setiap pagi oleh penduduk Kampung Sungai Dulang Darat, di kawasan Rengit, Batu Pahat.

Membawa bersama tong yang berisi pelbagai ikan segar, beliau bertindak sebagai pasar bergerak yang banyak berjasa kepada masyarakat kampung ini.

Setiap kali memasuki halaman rumah setiap penduduk di sini, Swa Chai atau lebih dikenali dengan nama Ah Chai akan membunyikan hon motosikal jenis Honda yang ditunggang dan akan ramah menyapa dalam Bahasa Jawa.


Kabare... dino iki ora tuku iwak? (maksud: Apa khabar... tak nak beli ikan ke hari ini?). Pertanyaan yang biasa dilemparkan Ah Chai sebelum menjual ikan kepada penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Melayu berketurunan Jawa.

Melihat wajah tuanya, Ah Chai yang kini berusia 73 tahun sepatutnya sudah boleh berehat bersama isterinya Tan Mui Beng, 68 di rumah. Namun kudratnya masih lagi ditagih membantu penduduk kampung mendapatkan bekalan bahan mentah untuk dimasak sebagai hidangan seisi keluarga.

HUBUNGAN UMPAMA SAUDARA

Perkhidmatan menjual ikan dari rumah ke rumah adalah antara perkhidmatan bergerak yang terawal dan berjasa dengan masyarakat terutama di kawasan kampung dan pedalaman.

Ia membantu memudahkan orang ramai terutama masyarakat desa mendapatkan bahan-bahan keperluan berikutan kesukaran untuk keluar ke bandar dan pekan.

Namun, kepesatan pembangunan dan kemudahan infrastruktur serta pengangkutan menyebabkan banyak perkhidmatan bergerak seperti menjual ikan dan keperluan lain terutama di kawasan kampung terpaksa gulung tikar kerana tidak lagi mampu untuk bersaing dengan kedai runcit dan pasar raya.

Bagi penduduk Kampung Sungai Dulang Darat yang hanya terletak kira-kira empat kilometer dari pekan Rengit, mereka masih memerlukan khidmat Ah Chai yang sudah dipercayai sejak lebih 40 tahun.

Hubungan Ah Chai dengan penduduk kampung bukan lagi antara penjual dengan pembeli malahan lebih daripada itu. Beliau sudah dianggap seperti saudara oleh penduduk kampung.

Setiap kali majlis keramaian atau perkahwinan, Ah Chai akan dijemput malah turut menjadi orang penting bagi membekal ikan untuk sebarang majlis.

Minta tolong dengan Ah Cai mudah sebab beliau tidak berkira, menurut Ahasanah Yusof, 76, seorang daripada penduduk kampung ini yang menjadi pelanggan tetap.

Setiap hari, beliau menunggu kedatangan Ah Chai membawa ikan walaupun mempunyai pilihan lain bagi mendapatkan ikan terutama di kedai runcit berdekatan dengan rumah.

"Ikan yang dibawa Ah Chai selalunya ikan segar. Lagipun dia tak kedekut dan berkira sebab itu dia boleh bertahan berniaga dengan orang kampung sampai sekarang," katanya.

Penduduk kampung, katanya, sangat mempercayai kejujuran beliau dalam berniaga malahan sikap bertolak ansurnya terutama soal bayaran membolehkan pelanggan mendapatkan ikan dahulu dan membayar kemudian.

"Kalau mak cik tidak ada di rumah, Ah Chai akan tinggalkan ikan yang biasa mak cik beli di pagar pintu rumah. Bila Ah Chai datang esoknya, baharulah bayar. Kadang-kadang kalau dia bawa ikan lebih, dia bagi sahaja," kata Ahasanah yang menjadi pelanggan tetap sejak Ah Chai mula terlibat dalam perniagaan menjual ikan secara bergerak pada awal tahun 70-an.

Menurut Ahasanah, anaknya yang kini telah berhijrah dari kampung juga turut rapat dengan Ah Chai malah membesar dengan memakan ikan-ikan yang dibeli daripada beliau.

Peranan Ah Chai bukan itu sahaja, keramahannya menyebabkan beliau menjadi penghubung dan penyampai maklumat apa yang berlaku dalam kampung.

"Kalau ada kematian atau ada kes-kes kecurian dan sebagainya dialah yang akan bagi tahu. Jadi dapatlah tahu perkembangan yang berlaku di kampung ni," kata beliau.

HARGA IKAN MAHAL

Rutin harian Ah Chai bermula seawal pukul 6.30 pagi. Beliau akan pergi ke Pasar Rengit yang terletak berdekatan dengan muara sungai bagi mendapatkan ikan dan hasil laut lain untuk dibawa kepada penduduk Kampung Sg Dulang Darat yang mempunyai lebih 100 buah rumah.

Sebanyak 40 kilogram pelbagai jenis ikan, ketam dan udang dibawa setiap pagi untuk dijual, katanya.

"Dahulu ketika mula-mula berniaga ikan, saya jual lebih 60 kilogram ikan setiap hari, tetapi sekarang dah kurang sikit sebab bekalan ikan semakin berkurangan dan harga ikan pun mahal," katanya.

Menurutnya, peningkatan mendadak harga ikan di pasaran terutama sejak tiga tahun kebelakangan ini turut memberi kesan terhadap perniagaan yang dijalankan.

Mengambil contoh ikan paling murah seperti ikan selar, jika lima tahun lepas masih boleh diperoleh sekitar RM3.00 ke RM4.00 sekilogram, tetapi sekarang dijual antara RM7.00 ke RM8.00 sekilogram.

"Walaupun ikan mahal, saya pun tak boleh jual mahal sangat, nanti orang kampung tak mahu beli. Jadi keuntungan yang diperoleh hanya sedikit sahaja," katanya.

BERBAHASA JAWA

Setiap hari, Ah Chai akan menunggang motosikal sejauh lebih 30 kilometer dari rumahnya di pekan Rengit ke Kampung Sungai Dulang Darat dan akan pulang sekitar pukul 11.00 pagi setelah selesai tugas.

Berasal dari Kampung Sri Baharom yang juga perkampungan Melayu Jawa menyebabkan beliau mudah mesra bergaul dengan masyarakat Melayu di sini.

Pergaulan seharian sejak kecil bersama masyarakat setempat membolehkan beliau menguasai sedikit sebanyak bahasa Jawa yang menjadi bahasa pertuturan penduduk kampung.

"Kalau cakap Jawa tu boleh faham tapi kadang-kadang nak jawab itu boleh sikit-sikit... yang mudah-mudah," katanya yang berpindah dari kampung asalnya ke pekan Rengit sekitar tahun 80-an.

Mempunyai 16 cucu, beliau kini boleh berbangga kerana mampu membesarkan empat anaknya hasil perniagaan ikan bergeraknnya serta mengumpul harta termasuk rumah dan kebun kelapa sawit.

"Pada awal tahun 70-an, bapa mertua yang suruh saya berniaga ikan sebab ketika itu saya tidak ada kerja. Dia risau saya tak mampu beri anaknya makan.

"Dari situ saya bermula dan bergaul rapat dengan penduduk kampung di Sungai Dulang Darat yang menjadi pelanggan saya sampai ke hari ini," katanya.

Walaupun masih lagi mampu mencari rezeki sendiri tanpa mengharapkan bantuan anak, namun kadangkala beliau terpaksa akur dengan keadaan kesihatannya yang semakin uzur terutama masalah sakit kaki yang sering dihadapi.

Ditanya sampai bila beliau akan menjual ikan, dengan senyum beliau berkata "Selagi terdaya, badan masih sihat saya akan terus tunggang motosikal bawa ikan jumpa kawan-kawan kampung," katanya mengakhiri perbualan.

Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMAKosmo

0 comments: