19 Januari 2015

Maklumat Saintifik Bentuk Pangkalan Data Banjir



Umum mengetahui bahawa banjir penghujung 2014 ini adalah banjir terbesar sejak tahun 1967, yang terburuk selama hampir 50 tahun. Seperti yang dilaporkan media pada 2 Januari 2015 lalu, kemusnahan banjir kali ini di sebelah Pantai Timur saja melebihi RM1 bilion!

Sehubungan itu dicadangkan diwujudkan satu sistem berkomputer mengenai maklumat banjir di negara ini dengan menggunakan data dan maklumat banjir 2014.

Sistem ini akan digunakan pula kemudiannya dalam tiga fasa iaitu sebelum, ketika dan selepas banjir setiap kali berlakunya banjir pada masa akan datang. Persediaan sebelum banjir termasuklah menyediakan pusat pemindahan banjir sebelum banjir menjadi lebih teruk.


Maklumat banjir 2014 sudah memberikan keutamaan terhadap pusat pemindahan banjir, daripada mula hinggalah banjir mencapai paras maksimum dan seterusnya kembali surut.

Di tempat tertentu, papan penanda bacaan paras air yang menunjukkan ketinggian air (seperti di sungai) sentiasa memberikan bacaan yang boleh digunakan sebagai amaran awal. Ketika air naik, diketahui kawasan mana yang mula dinaiki air, pusat pemindahan mana perlu dibuka, penduduk kawasan mana dulu mula dipindahkan.

Ketika banjir surut pula diketahui kawasan mana dulu air surut, penduduk kawasan mana dulu mula pulang, pusat pemindahan mana dulu mula ditutup. Ketika pusat pemindahan dibuka diketahui berapa ramai mangsa ada di setiap pusat pemindahan berserta taburan statistik mengikut jantina, umur, bangsa, agama, keluarga dan sebagainya.

Berapa banyak bantuan makanan dan pakaian diperlukan pada satu-satu masa. Berapa banyakkah bantuan lain-lain diperlukan seperti perubatan, tempat tidur khas, mesin dialisis, dapur, bekalan elektrik (generator) minyak, susu bayi dan sebagainya?

Bantuan lambat sampai

Daripada maklumat itu, boleh diwujudkan pangkalan data khusus bagi sesuatu kejadian banjir termasuk ketinggian air, kawasan banjir, pusat pemindahan banjir, mangsa banjir, kerosakan harta benda dan infrastruktur. Pelbagai pihak sama ada kerajaan atau bukan kerajaan turut memberikan bantuan sama ada secara sukarela atau berbayar kepada mangsa banjir dari pelbagai sudut, kemampuan dan capaian masing-masing.

Maklumat sukarela ini tentu boleh diguna untuk kejadian banjir berikutnya supaya program membantu mangsa lebih cepat, mudah, tersusun, bersistematik, terancang dan sampai ke semua tempat pada masa yang paling awal.

Pada masa ini diperhatikan setelah heboh diperkatakan mengenai banjir barulah dibentuk pasukan sukarela dan orang persendirian yang ingin membantu.

Sebab itulah dapat dilihat terjadinya bantuan lambat sampai malah ada yang berhari-hari belum terima bantuan sedangkan di tempat lain bantuan mencurah-curah telah diterima. Oleh kerana banjir 2014 ini adalah yang terbesar sejak hampir 50 tahun lalu maka tidak dinafikan bahawa pembabitan sukarela pada kali ini adalah yang terbesar dalam sejarah.

Adalah sesuatu yang amat merugikan jika maklumat mereka ini tidak dapat dikumpulkan dalam satu pangkalan data khas supaya dapat dimanfaatkan pula untuk kegunaan masa akan datang. Sudah tentu dengan adanya pangkalan data sukarela banjir ini mereka boleh digerakkan lebih awal sebelum banjir menjadi lebih besar di masa akan datang.

Maklumat sukarela ini juga sudah tentu boleh digunakan untuk menggerakkan bantuan bagi sebarang bencana lain yang datang di sesuatu kawasan, terutamanya bagi sukarelawan yang hampir dengan kawasan berlakunya bencana itu.

Sumbangan kewangan

Sumbangan bantuan dalam bentuk kewangan yang dikumpulkan melalui pelbagai badan sukarela dan tabung bencana banjir adalah bantuan paling cepat boleh dikumpulkan dan disalurkan kepada mangsa atau kepada sukarela lain yang akan menyampaikannya kepada mangsa. Sumbangan dalam bentuk kewangan ini juga boleh datangnya dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, cek, bank deraf, wang pos, transaksi elektronik, perbankan internet, kredit telefon atau SMS dan sebagainya.

Wang yang banyak pun menjadi tidak bermakna ketika banjir jika tidak dapat digunakan untuk membeli barang keperluan. Wang tidak boleh dimakan, wang tidak boleh dijadikan selimut tetapi wang boleh membeli makanan dan selimut. Sukarela lain boleh menggunakan wang daripada tabung berkenaan untuk membeli barang mengikut keperluan di sesuatu pusat pemindahan.

Jika dikehendaki, maklumat penderma pun boleh dipamerkan untuk membuktikan ketelusan dan sebagai kredit penghargaan kepada pihak yang bermurah hati memberikan sumbangan. Penderma pula boleh membuat semakan menerusi laman web untuk mengesahkan bahawa sumbangannya direkodkan. Jika tiada dalam rekod bermakna boleh diterima bahawa wang didermakan tidak sampai kepada mangsa tetapi pergi ke 'tempat lain.'

Oleh yang demikian suatu sistem pangkalan data sumbangan bantuan berupa barangan keperluan, yang bukan berbentuk kewangan juga amat diperlukan.


BANTUAN bekalan makanan dan pakaian diagihkan kepada mangsa banjir di Kampung Manek Urai Lama.

Pusat penyelarasan bantuan

Adalah penting ditubuhkan suatu pusat penyelarasan bantuan banjir seperti penyelarasan maklumat mangsa banjir yang dilakukan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) yang diselaraskan di setiap negeri. Pusat penyelarasan banjir ini boleh juga sekali gus bertindak sebagai pusat pengumpulan dan agihan bantuan banjir.

Kewujudan pusat penyelarasan ini amatlah penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dan disampaikan ke semua pusat pemindahan. Sebagaimana yang diketahui, agihan secara tradisional menyebabkan berlakunya keadaan di mana ada mangsa banjir yang berhari-hari pun tidak mendapat bantuan bekalan makanan dan sebagainya. Keberkesanan pusat penyelarasan ini adalah kerana rangkaian sistem maklumat banjir yang memberikan maklumat sebenar dalam masa sebenar.

Tanpa pangkalan data sumbangan kewangan dan pusat penyelaras bantuan banjir tohmahan dan tuduhan penyalahgunaan wang sumbangan tidak boleh dinafikan sebagai tidak benar. Apabila tidak boleh dinafikan atau dibuktikan tidak benar maka hipotesis yang biasanya diterima oleh orang awam adalah sebagai benar. Ruang dan peluang ini sudah tentu akan dieksploitasi dan dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan terutamanya yang hendak mencari kelemahan kerajaan, menabur hasutan dan fitnah.

Indeks banjir

Dengan adanya pangkalan data banjir ini, indeks yang menunjukkan sesuatu aras mengenai sesuatu maklumat mengenai banjir boleh diwujudkan. Indeks kawasan banjir bagi sesebuah negeri.

Pertama adalah kawasan yang paling mula-mula atau yang pertama sekali ditenggelami jika berlaku banjir. Kemudian merebak ke kawasan ke dua, ketiga dan seterusnya.

Pada setiap kali banjir, besar atau kecilnya banjir dapat dilihat dengan perbandingan nombor kawasan yang dilanda banjir, secara berfakta dan ilmiah, bukan secara anggapan agak-agak sahaja.

Misalnya jika banjir tahun ini mencecah kawasan nombor 30, tetapi banjir tahun lepas hanya ke kawasan nombor 5 sahaja bermakna banjir tahun ini jauh lebih besar dari tahun lepas. Indeks pusat pemindahan banjir. Nombor 1 (satu) adalah pusat pemindahan yang mula-mula sekali diwujudkan. Nombor 2, 3 dan seterusnya adalah yang berikutnya.

Setiap kali banjir, besar atau kecilnya bencana dapat dilihat dengan perbandingan nombor pusat pemindahan banjir yang dibuka, secara berfakta dan ilmiah, bukan secara agak-agak. Misalnya jika banjir tahun ini mencecah pusat pemindahan nombor 100 tetapi banjir tahun lalu hanya ke pusat nombor 30 saja bermakna banjir tahun ini jauh lebih besar dari tahun lalu.

Program selepas banjir

Sebarang program selepas banjir, khusus berkaitan dengan banjir yang berlaku boleh dilaksanakan dengan lebih cepat, mudah, tepat dan berkesan kerana semua maklumat yang terdapat dalam semua pangkalan data banjir sudah sedia ada dan boleh digunakan apabila diperlukan.

Misalnya bagi program bantuan membina semula rumah mangsa yang telah rosak, maklumat sahih mengenai kerosakan boleh diperolehi daripada pangkalan data kerosakan harta benda. Ini dapat mengelakkan wang kononnya dibelanjakan untuk membaiki rumah yang tidak rosak atau yang rosak tidak seteruk seperti yang dinyatakan.

Bagi program membaik pulih kerosakan awam atau infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan maklumat sahih boleh diperoleh daripada pangkalan data kerosakan infrastruktur. Mungkin terdapat kerosakan di jalan kecil atau yang di luar makluman awal JKR. Bagi setiap kerosakan yang sedang atau telah dibaiki, maklumat dan status pembaikan termasuk kos kewangan yang terbabit boleh dikemaskini ke dalam pangkalan data.

Dengan itu membolehkan semua pihak yang berminat menyemak dan mengesahkan kerja-kerja membaik pulih yang telah dilakukan bagi menunjukkan dan membuktikan ketelusan dalam pelaksanaan program tersebut.

Program tebatan banjir

Program atau perancangan untuk membina tebatan banjir dapat dilakukan dengan lebih tepat dan berkesan dengan adanya indeks kenaikan air, kawasan banjir dan pusat pemindahan banjir tersebut. Walaupun program ini adalah untuk jangkamasa panjang namun pelaksanaan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa terutamanya perancangannya dilakukan sebaik sahaja banjir berakhir.

Indeks pertama adalah petunjuk aras tahap minimum diperlukan untuk tebatan banjir di sebarang kawasan. Indeks kedua adalah petunjuk kawasan ditenggelami banjir. Indeks ketiga pula adalah kawasan yang tidak ditenggelami banjir.

Maklumat tiga indeks ini penting untuk menentukan di mana dan berapa ketinggian serta panjang benteng tebatan banjir yang hendak dibina serta jangkaan tahap kenaikan banjir yang mampu ditampungnya.


SUKARELAWAN mengangkat barang sumbangan ketika membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Semua maklumat yang terdapat dalam Sistem Maklumat Banjir yang dicadangkan ini boleh dimanfaat oleh semua pihak oleh sesiapa saja tanpa sebarang sempadan yang boleh dicapai pada bila-bila masa, dari mana-mana saja dan menggunakan apa-apa saja peralatan asalkan bersambung dengan internet.

Ini boleh dicapai kerana sistem yang dicadangkan ini akan direka cipta menggunakan falsafah dan teknologi 'Error-free Internet-based Real-time Online Networked Data Sharing and Transactions (c).' Namun, ia bergantung kepada keperluan, undang-undang dan kehendak kerajaan apa-apa syarat dan sekatan boleh dikenakan/dilaksanakan sekiranya diperlukan. Pihak istana boleh memanfaatkan maklumat daripada sistem ini tanpa perlu menunggu pihak berkenaan memaklumkan terlebih dahulu mengenai bencana yang menimpa rakyatnya

Begitu juga Menteri Besar atau Ketua Menteri. Program khusus boleh disusun bagi melawat kawasan yang teruk dilanda banjir. Pemantauan mengikut DUN atau pejabat daerah bagi setiap kawasan banjir boleh dilakukan tanpa perlu sentiasa menghubungi pegawai terbabit.

Pemantauan peringkat tertinggi oleh Perdana Menteri sendiri boleh dilakukan walau di mana sekalipun Perdana Menteri berada, hatta di luar negara sekali pun. Perdana Menteri tetap mengetahui maklumat perkembangan yang terkini, tepat dan lengkap.

Tulisan oleh: Abdul Hamid Yeop Zainudin
Pakar Matematik Gunaan dan Pembangun Sistem
Sumber: BHarian

0 comments: