27 Januari 2015

Kepentingan Tidur Yang Cukup

Mutu kerja merosot jika tidak cukup tidur. - Foto Internet
Mutu kerja merosot jika tidak cukup tidur.

MENGAPA manusia memerlukan tidur? Soalan ini telah dikaji pelbagai pihak termasuk oleh para saintis dari pelbagai disiplin. Orang Islam percaya tidur ialah nikmat kurniaan dan tanda kekuasaan ALLAH SWT yang mempunyai pelbagai manfaat untuk keperluan manusia.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayang-Nya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan bagi orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran). (Surah Ar-Ruum: 23).


Satu daripada teori utama menyatakan, tidur merupakan masa yang amat penting bagi tubuh untuk menjalankan proses pembaikpulihan akibat kerosakan yang berlaku pada waktu berjaga.

Huffington Post melaporkan dalam artikel The Mystery of Sleep (Oktober 27, 2013) bahawa saintis dari Harvard Medical School menyatakan terdapat bukti kukuh mengenai tubuh menjalankan sebahagian besar atau sesetengah fungsi termasuk pertumbuhan otot, pembaikpulihan tisu, sintesis protein dan perembesan hormon tumbesaran hanya berlaku ketika tidur.

Proses detoks

Proses pengenyahan produk sampingan bertoksik daripada otak didapati berlaku dua kali lebih pantas ketika tidur berbanding ketika berjaga. Penemuan ini dinyatakan dalam artikel berjudul Sleep Drives Metabolite Clearance from the Adult Brain. Seperti dilaporkan dalam jurnal Science (Oktober 18, 2013).

Saintis penyelidik kajian tersebut membuat kesimpulan, fungsi restoratif tidur dibantu oleh pengenyahan bahan buangan bersifat toksik kepada saraf yang berkumpul ketika Sistem Saraf Pusat berada dalam keadaan berjaga. Maksud restoratif dalam konteks ini ialah memulihkan sesuatu dengan mengembalikan keadaan seperti asal atau sediakala.

Saintis penyelidik dari University of Rochester Medical Center tersebut mendapati sistem pembuangan bahan buangan dalam otak yang dikenali sebagai glymphatic system paling aktif ketika seseorang sedang tidur – hampir 10 kali ganda berbanding ketika seseorang sedang berjaga penuh.

Otak mengecut ketika tidur bagi membantu pengenyahan lebih banyak bahan buangan. Penyahan produk-produk sampingan dari aktiviti saraf mungkin menyebabkan mengapa tidur bersifat restoratif.

Dr. Maiken Nedergaard iaitu ketua saintis penyelidik kajian tersebut dipetik sebagai berkata bahawa otak hanya memiliki tenaga yang terhad untuk dirinya di mana ia perlu memilih untuk menjalankan salah satu dua fungsi: berjaga dan peka atau tidur dan detoks.

Kenyataan yang menyokong kajian tersebut boleh didapati dalam artikel berbentuk semakan berjudul Sleep Facilitates Clearance of Metabolites from the Brain: Glymphatic Function in Aging and Neurodegenerative Diseases seperti dilaporkan dalam jurnal Rejuvenation Research (Disember 2013).

Secara umum,  tiga jenis kesan berlaku akibat tidur tidak mencukupi. Pertama, tindak balas dan tindakan dalam melakukan tugas menjadi perlahan. Kedua, tindakan kognitif juga terganggu yang menyebabkan memori bercelaru, sukar memproses info dan membuat keputusan yang tepat. Ketiga, ia menyebabkan seseorang mengalami sesuatu emosi secara berlebih-lebihan.

Kajian sains mendapati tidur tidak mencukupi boleh menyebabkan beberapa jenis gangguan kepada manusia termasuk lenguh, keliru, gangguan memori, murung, pembentukan memori palsu, halusinasi, tangan menggeletar, sakit kepala, tidak tenteram, mengalami ketumbit (stye: kelopak mata bernanah), edema di bawah mata, tekanan darah tinggi dan peningkatan paras hormon stres.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan peningkatan risiko diabetes, peningkatan risiko fibromyalgia, mudah meradang, mata bergerak dalam ritma pantas di luar kawalan, obesiti, sawan dan menguap.

Tidur tidak mencukupi juga didapati boleh menyebabkan mania (terlampau gembira dan kepercayaan / argumen songsang - delusion) dan simptom yang terdapat pada psikosis dan Gangguan Kurang Penumpuan Hiperaktiviti (ADHD: Attention Deficit Hyperactivity Disorder).

Artikel hasil kajian sains berjudul Cell Injury and Repair Resulting from Sleep Loss and Sleep Recovery in Laboratory Rats seperti dilaporkan dalam jurnal Sleep (Disember 1, 2014) mendapati tidur tidak mencukupi menyebabkan kerosakan oksidatif (akibat serangan radikal bebas) terhadap organ hati, paru-paru dan usus kecil.

Tikus yang tidak tidur sepanjang tempoh kajian selama 10 hari didapati mengalami kematian sel-sel epithelia usus kecil sebanyak 5.3 kali ganda. Pada masa sama, ia mengalami percambahan sel usus sebanyak 1.5 kali ganda. Sel epethelia usus dikatakan bercambah lebih pantas berbanding sel lain dalam tubuh. Percambahan sel epithelia usus terlalu pantas dikhuatiri akan menyebabkan sel-sel tersebut bermutasi dan bersifat sel kanser.

Kajian tersebut juga menunjukkan tikus yang tidak cukup tidur dengan masa tidur dipendekkan 35 peratus mengalami kerosakan DNA secara keseluruhan termasuk pada organ khusus.

Tikus kajian yang mengalami tidur yang tidak mencukupi selama 10 hari berturut-turut kemudian tidur selama 2 hari tanpa gangguan didapati mengembalikan keseimbangan antara kerosakan dan pembaikpulihan DNA.

Amalan mudah

Beberapa langkah yang mudah boleh diamalkan dipercayai dapat membantu anda mudah tidur dan tidur dengan cukup. Penuhkan masa dengan melakukan perkara berfaedah dan tidak menimbulkan stres sebelum tidur.

Tidak makan secara berlebihan pada sebarang masa akan membantu. Elak daripada mengambil makanan terutama karbohidrat dan elak dari mengambil perangsang adrenal seperti kopi dan maca sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur adalah langkah bijak.

Pasangan berkahwin boleh melakukan hubungan biologi dengan penuh kasih sayang, bukan kerana terpaksa, terlalu gelojoh dan terburu-buru.

Orang Islam seharusnya mengamalkan amalan yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW sebelum tidur seperti terdapat dalam hadis sahih iaitu berwuduk dan membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas dan ayat Qursi.

Baginda SAW juga membaca: Bismikallahumma ahya wa amut (Dengan nama-Mu ya ALLAH aku hidup dan mati), dan apabila bangun tidur membaca; Alhamdulillahil ladzi ahyana ba’da ma amatana wailaihin nusyur (Segala puji bagi ALLAH yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada ALLAH akan bangkit)" (Riwayat Bukhari). Tidur dengan mengiring ke kanan.

Elakkan daripada menonton TV atau menggunakan komputer sekurang-kurang 1 jam sebelum tidur. Bercakap menggunakan telefon bimbit terlalu lama juga boleh menyebabkan tidur terganggu. Jika perlukan sedikit cahaya ketika tidur nyalakan lampu garam. Warna merah / oren tidak mengganggu pembinaan melatonin begitu teruk sebagaimana lampu fluoresen putih.

Seimbangkan suhu bilik menggunakan penghawa dingin atau kipas secara bijak. Mandi air suam 30 minit sebelum tidur membantu merehatkan saraf dan seluruh tubuh.

Teh herba bersifat relaxant seperti teh daun pandan wangi, serai, semalu atau chrysanthemum tanpa gula membantu merehatkan saraf dan seluruh tubuh. Mengambil 1 sudu besar minyak kelapa dara setiap malam sebelum tidur dikatakan amat membantu.

Oleh: DR.BAHRAIN SAMAH
Sumber: Sinar Harian

0 comments: