26 Januari 2015
Kisah Di Sebalik Tembok Berlin
TEMBOK Berlin merupakan tembok yang dibina di tengah-tengah bandar Berlin pada 13 Ogos 1961.
PERISTIWA melarikan diri menerusi Tembok Berlin sebelum pulang ke Jerman Timur untuk menyelamatkan 30 orang lagi tahanan pada tahun 1975 merupakan sebahagian daripada kisah tragik yang di lalui oleh Hartmut Richter, 66, semasa Perang Dingin.
Ketika peristiwa tersebut berlaku, usia Richter masih remaja dan dia sentiasa memasang impian untuk menghabiskan masa di Tasik Potsdam apabila mengembara ke Jerman Barat.
“Saya pernah terfikir bahawa rejim ini sukar untuk diubah secara dalaman,” ujarnya sebelum sambutan ulang tahun ke-25 runtuhnya Tembok Berlin baru-baru ini.
Richter juga merupakan salah seorang daripada perusuh yang ditangkap dalam kereta api ketika cuba menjatuhkan rejim Komunis di Jerman Timur pada Januari 1966.
Namun, Richter bernasib baik apabila berjaya merenangi Terusan Teltow yang menjadi pemisah antara wilayah Brandenburg di Jerman Timur dan Berlin di Jerman Barat menerusi Plan Reckless tujuh bulan kemudian.
Selepas Richter terjun ke terusan sejuk itu, dia mengambil masa selama lebih empat jam untuk berenang sebelum sampai ke daratan.
“Saya bergantung sepenuhnya kepada kekuatan fizikal dan berusaha sebaik mungkin.
“Angsa menyerang saya dan anjing-anjing menyalak, saya terpaksa menunggu beberapa ketika dan menyelam kembali ke bawah sehingga ke tebing yang selamat,” katanya sambil memaklumkan, dia merupakan seorang penghidap hipotermia dan lelah.
Sempadan
Selepas berjalan melepasi pengawal sempadan Jerman Barat yang bersenjatakan senapang, Richter mendapati dia berada di dunia berlainan.
Dia memilih untuk bekerja dalam industri perkapalan di bandar pelabuhan, Hamburg sebelum pulang semula ke rumah untuk belajar di Berlin Barat.
Bagaimanapun, perasaan solidariti dengan mereka yang masih terperangkap di sebalik tembok sentiasa menghantui Richter.
“Saya hendak membantu orang lain,” katanya.
Peluang tersebut muncul sekitar tahun 1972 apabila kerajaan Jerman Timur cuba mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dengan melonggarkan peraturan melawat kepada penduduk Jerman Barat.
Ketika itu, Richter berjaya membawa pulang lebih 30 orang rakan-rakannya ke Jerman Barat dengan menyumbatnya ke dalam but kereta.
“Sesuatu yang menyeronokkan apabila menggadaikan diri untuk membantu rakan-rakan yang senasib melarikan diri menerusi Terusan Teltow,” katanya.
Namun, dia tidak bernasib baik apabila cubaan melarikan diri dari pusat pemeriksaan pada 4 Mac 1975 itu gagal. Ketika itu, kakak dan tunangnya berada di dalam but kereta.
Jelas Richter, dia menyedari bahawa pihak berkuasa Jerman Timur boleh melakukan pemeriksaan jika terdapat suatu yang mencurigakan.
“Saya terpaksa lari ke garaj. Terdapat pengawal sempadan menunggu dengan mesingan dan kemudian anjing melonjak di but kereta saya,” katanya.
Akhirnya, kakak dan tunangnya ditahan manakala Richter ditangkap oleh pengawal.
Kemudian, Richter didatangi dua orang lelaki tinggi lampai berpakaian putih sebelum dia digari dan dicampakkan ke dalam sebuah van.
Selepas perbicaraan, Richter didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara maksimum selama 15 tahun.
Pada tahun 1980, kerajaan Jerman Barat membayar sejumlah wang untuk membebaskan banduan yang ditahan di Jerman Timur dalam satu program khas.
SEMPADAN Jerman Barat dan Jerman Timur sentiasa dikawal oleh pihak tentera.
Propaganda
Selepas dibebaskan, dia berjaya menamatkan pengajian di Jerman Barat dan sering berkunjung ke sempadan Berlin untuk melempar kertas propaganda terhadap rejim Jerman Timur menerusi atas dinding.
Pada 9 November 1989, pihak berkuasa Jerman Timur akhirnya membuat kejutan dengan mengumumkan untuk membuka sempadan mereka.
Richter bergegas ke Brandenburg Gate yang terletak di tengah-tengah bandar untuk melintasi sempadan Bornholmer Strasse.
Ketika itu, Richter melihat ribuan manusia berkumpul di situ sebelum mereka menangis bersama-sama.
“Saya begitu gembira untuk mereka, ia sentiasa menghadirkan perasaan sebak apabila saya ke sini.
“Walaupun selepas suku abad peristiwa itu berlaku, masih ramai pegawai tentera Jerman Timur yang enggan menerima penganjuran hari sisi gelap Jerman ini,” katanya.
Richter sangat gembira kerana peristiwa tersebut sudah berlalu namun, dia sentiasa berharap pemimpin seperti Chancellor Angela Merkel dan Presiden, Joachim Gauck yang membesar di Jerman Timur supaya menuntut keadilan bagi mangsa kekejaman rejim.
Kini, Berlin meninggalkan beberapa simbol peringatan terhadap 138 orang mangsa yang maut ketika cuba melarikan diri dari Jerman Timur di sepanjang terusan. –AFP
Sumber: Kosmo
Labels:
Luar Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan