10 Januari 2015
Keselamatan dan Kesihatan Sukarelawan Dalam Misi Pasca Banjir
Semangat keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dalam memberi bantuan kemanusiaan sebagai sukarelawan di beberapa negeri yang terlibat dengan bencana banjir seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah amat dialu-alukan.
Bantuan yang dihulurkan di dalam pelbagai bentuk seperti penyaluran makanan dan minuman, pakaian baru dan terpakai, perkakasan elektrik mahupun pembersihan tempat tinggal amatlah dihargai dan dapat meringankan beban kesusahan yang ditanggung oleh mangsa banjir.
Dalam keghairahan menghulurkan bantuan, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan oleh sukarelawan sama ada yang datang atas kapasiti badan bukan kerajaan (NGO), syarikat atau persendirian janganlah diabaikan. Pengurusan risiko keselamatan dan kesihatan perlulah dititikberatkan.
Menjadi tanggungjawab NGO, syarikat atau persendirian memastikan keselamatan dan kesihatan sukarelawan yang terlibat di dalam misi bantuan banjir seperti penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE), kenderaan, makanan dan minuman serta penginapan yang selamat.
Sebelum memulakan perjalanan, sukarelawan perlu diberi taklimat keselamatan dan kesihatan di jalan raya dan kenderaan. Pastikan sukarelawan mengetahui laluan dan keadaan perjalanan sama ada selamat dilalui oleh kenderaan yang pelbagai jenis – kenderaan biasa, kenderaan pacuan 4 roda, lori lebihan muatan atau memerlukan bot bagi penghantaran bantuan. Sediakan nombor telefon perhubungan kecemasan kepada semua sukarelawan yang mengikuti rombongan tersebut sebagai langkah-langkah kecemasan.
Kenderaan yang digunakan juga perlu diperiksa agar dalam keadaan baik, telah diselenggara dan mempunyai tayar ganti. Pihak sukarelawan juga dinasihatkan mengumpul maklumat berkenaan keadaan di tempat yang hendak dituju bagi mengenal pasti hazard dan risiko semasa berada di sana.
Persediaan PPE seperti topeng muka bagi mencegah daripada habuk, kasut keselamatan (seperti but Wellington) bagi mengelakkan lumpur yang tercemar dengan kuman dan benda-benda tajam juga perlu disediakan. Sediakan juga pakaian bersih yang secukupnya mengikut hari program yang dirancang dan baju hujan kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.
Semasa berkonvoi, pastikan pemanduan secara berhemah, mengikut segala peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda. Sukarelawan boleh mendapatkan tip berkonvoi secara selamat daripada kementerian berkaitan. Semasa berada di tempat mangsa banjir, amatlah penting sukarelawan mendapatkan maklumat terkini daripada warga tempatan atau pihak yang berkenaan.
Beberapa persoalan perlu difikirkan sebelum melaksanakan aktiviti bantuan banjir. Selamatkah jalan yang hendak dilalui?
Pastikan jalan masih kukuh, tiada lubang yang boleh menyebabkan kemalangan, jambatan masih boleh dilalui dan sebagainya. Jika melakukan kerja-kerja pembersihan; Selamatkah struktur rumah atau bangunan tersebut?
Sukarelawan juga terdedah kepada bahaya kecederaan disebabkan oleh kemusnahan fizikal atau infrastruktur akibat banjir seperti runtuhan bangunan, lantai yang tidak kukuh, lubang, runtuhan konkrit, serpihan kaca-kaca cermin, sisa-sisa kayu yang tajam dan besi yang berceranggah. Pastikan juga tiada hazard biologi seperti binatang berbahaya dan berbisa di kawasan tersebut.
Dari segi aspek kesihatan pula, sukarelawan perlu sentiasa mengamalkan langkah pencegahan semaksimum mungkin untuk mengelakkan berlakunya jangkitan kuman secara sentuhan atau melalui makanan.
Air banjir juga boleh mencemarkan bekalan air bersih yang sedia ada dengan limpahan dari tangki atau kolam kumbahan najis, di samping pencemaran sumber air dari najis dan bangkai haiwan mati yang mereput. Ini akan menyebabkan peningkatan konsentrasi bakteria yang tinggi terutamanya bakteria E. Coli kepada sumber air dan air banjir itu sendiri.
Sumber air ini juga terdedah kepada bahaya pencemaran air kencing tikus yang boleh menyebabkan penyakit Leptospirosis yang boleh membawa kesan maut tidak kira mangsa banjir atau sukarelawan.
Para sukarelawan dimestikan mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut untuk memastikan tahap kesihatan mereka pada tahap optimum dan dapat mengelakkan tercedera semasa menjalankan misi pasca banjir.
a. Sentiasa membasuh tangan sebelum dan selepas melakukan aktiviti dan tidak terhad kepada sebelum makan sahaja. Lebih baik jika para sukarelawan dapat membawa sendiri hand sanitizer atau antiseptik sendiri. Dalam keadaan bencana banjir yang teruk, amalan membasuh tangan menggunakan air tidak mencukupi disebabkan konsentrasi bakteria yang tinggi di dalam air banjir yang telah tercemar.
b. Membawa bekalan air bersih seperti air mineral dan tidak menggunakan sumber air di kawasan banjir. Ini dapat mencegah berlakunya jangkitan penyakit bawaan air seperti Tifoid dan Leptospirosis. Jika terpaksa menggunakan bekalan air di kawasan bencana, pastikan air tersebut bersih iaitu jernih, tidak keruh dan berbau serta dimasak terlebih dahulu sehingga mendidih sebelum digunakan.
c. Membawa bekalan ubat-ubatan asas untuk kegunaan sendiri seperti Panadol, ORS dan antiseptik. Ini dapat membantu menghadapi situasi sukar yang memerlukan ubat-ubat segera sebelum mendapat rawatan yang sepatutnya. Ubat-ubat ini juga boleh diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan jika berlaku kecemasan.
d. Sukarelawan perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami kecederaan atau berasa tidak sihat semasa menjalankan misi bantuan banjir. Ini untuk mengelakkan penyakit atau kecederaan bertambah teruk dan parah. Kadangkala dalam keghairahan para sukarelawan memberikan pertolongan dan bantuan kepada mangsa, mereka mengambil ringan terhadap kecederaan atau penyakit yang mereka alami.
e. Taklimat ringkas berkenaan penjagaan kesihatan perlu diberikan sebelum konvoi bergerak untuk mengingatkan dan memberi panduan kepada sukarelawan agar memastikan kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang misi terjamin.
Jika terpaksa bermalam atau menjalankan misi berhari-hari, pastikan tempat penginapan adalah selamat, mempunyai bekalan air bersih dan tandas sempurna. Teruskan membantu mangsa banjir tetapi dengan mempraktikkan langkah keselamatan dan kesihatan tanpa mendedahkan sukarelawan dengan kecederaan dan penyakit berjangkit.
Pastikan sukarelawan terlebih dahulu selamat, barulah mangsa banjir dapat diselamatkan.
Oleh Tan Sri Lee Lam Thy
Pengerusi NIOSH (National Institute of Occupational Safety and Health) Malaysia.
Sumber: Utusan
Labels:
Kesihatan,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan