11 Januari 2015

Melayan Ragam Anak Sulung Ke Tahun Satu



ANAK masuk tahun satu, mungkin ini situasi biasa bagi ibu yang pernah melaluinya dengan anak sulung mereka dahulu. Tapi bagaimana bagi yang melaluinya sebagai pengalaman pertama?

Situasi tentu amat memeningkan. Kalut dan teruja pun ada. Tambahan pula jika anak nombor dua pula nak masuk sekolah tadika. Cabarannya pasti jadi berganda.

Bermula dengan proses pemilihan sekolah terbaik untuk anak, proses lawatan dari sekolah ke sekolah, proses pendaftaran, disusuli persediaan kelengkapan sekolah dan seterusnya orientasi. Segala-galanya memerlukan kesabaran dan semangat tinggi.


Bukan mudah melalui pengalaman pertama. Teruja, kelam-kabut, seronok, debar, semuanya bercampur-baur. Dalam pada kelam-kabut tersebut tentunya ada yang melalui pengalaman tertinggal kasut sekolah anak atau peralatan persekolahan yang telah dibeli di pasar raya.

Maklumlah di celah-celah kesibukan bekerja, terpaksa berkejar masa sebelah malam untuk membeli-belah. Sudahnya, kelam-kabut sebab pasar raya nak tutup jam 10. Ini belum masuk cabaran dari segi kos dan kewangan.

Memang memeningkan. Apatah lagi, kepentingan anak merupakan sasaran dan prioriti kita sebagai ibubapa. Ada duit atau tidak, jauh atau dekat, susah atau payah, kita lalui juga. Kita rentasi cabaran itu demi memastikan kebaikan anak-anak terpelihara. Matlamat ibubapa adalah satu perkara iaitu kebahagiaan insan kesayangannya.

Cabaran awal pagi

Mengejutkan anak bangun pagi untuk ke sekolah bukan perkara mudah. Sebelah malamnya pula berperang mulut menyuruh anak tidur awal. Tutup televisyen, arah dan paksa masuk bilik, tapi mata mereka buntang juga. Tujuan kita mahu mereka senang bangun pagi, tapi sudahnya? Dengan kita-kita terpaksa tidur awal untuk memujuk mereka tidur bersama. Kerja kita pun jadi tertangguh.

Sebelah paginya pula mulalah banyak drama terjadi. Menangis tak mahu bangun, merengek minta dimandikan, merajuk mencari pakaian atau beg sekolah. Aduhai, comelnya perangai anak sulung sebelum ke sekolah.

Ada pula yang suka ke sekolah. Pagi sebelum subuh dah bangun dan mandi sendiri, tapi bila sampai pintu pagar, kaki kita dipeluknya kerana tidak mahu masuk ke perkarangan sekolah. Menangis? Mungkin drama dalam episod seterusnya.

Kesudahannya si ibu terpaksa meninggalkan anak dalam keadaan sedih dan menangis. Nak ditunggu jadi terlambat ke tempat kerja pula. Lagi pun jika anak terbiasa dimanjakan dan ditunggu nanti esok dia demand perkara yang sama. Maka hati ibu gundah ke tempat kerja.

Psikologi dan emosi kita terjejas sedikit di awal pagi. Kita mula memikirkan apalah yang berlaku pada anak.

Soalan demi soalan berlegar di fikiran. Kerja pun boleh terjejas. Anak aku sudah berhenti menangis ke? Dia tak suka sekolah ke? Cikgu marah ke? Kawan-kawan dia okey ke? Rumit bukan? Itulah sedikit cabaran ibu yang berhadapan dengan anak sulung masuk darjah satu.

Periksa beg anak

Selepas habis sekolah, kerja kita tidak selesai. Kebimbangan dan sifat prihatin sebagai ibu memaksa kita untuk menyelongkar beg sekolah anak pula.

Kita perlu dan mahu lihat apa  yang dipelajarinya. Selongkar buku-buku sekolah, lihat lakaran dan tulisannya. Kita senyum. Nak menangis pun ada.

“Dah sekolah anak aku... entah bila dia kecil, tahu-tahu tahun satu”. Rutin ini juga perlu untuk pastikan anak tak simpan setokin di celah buku-buku. Juga bimbang jika dia terlupa buang plastik makanan yang disimpan atau disorokkan dalam beg sekolah. Memang kena selalu
periksa beg mereka.

Tahun satu, perspektif yang perlu mereka pandang dan lihat lebih luas dan ramai berbanding ketika mereka tadika dahulu. Maklumlah anak kecil yang berubah fasa. Boleh jadi mereka terkena kejutan. Di tadika atau di taska hanya ada 20 rakan sebaya. Tapi di sekolah rendah mungkin sehingga ratusan orang.

Usai selongkar beg, Si Ibu menyusun buku-buku anak mengikut jadual keesokan harinya. Anak sibuk, kita lebih sibuk. Ini untuk mendidik dan membiasakan anak membawa buku sekolah mengikut jadual harian. Lama-lama anak jadi berdisiplin dan tahu melakukannya dengan sendiri.

Setelah itu, proses sama memaksa anak tidur pun berulang. Kalau si sulung ada ramai adik lagi, bertambahlah kerja si ibu. Padam semua suis lampu pun anak masih aktif berimaginasi. Itu belum masuk kerja mengangkat anak-anak yang tertidur di ruang tamu.Keesokannya, bekerja pula.

Tak dinafikan kepenatan ini boleh mempengaruhi mood, emosi dan motivasi diri di tempat kerja. Begitu pun si ibu tetap tabah melayan anak-anak dan mencari rezeki.

Di sinilah letaknya tuah kita bergelar wanita dan ibu. Wajah dan keletah anak yang comel sering membuatkan hati kita terhibur, bibir kita tersenyum, meski hati menyimpan duka yang amat pahit. Tabahlah ibu.

Luahan Hati Seorang Ibu: NOR KHALILLAH GUSTI HASSAN dan WAN AMALIA WAN MOHD DAUD
Sumber: Sinar Harian

P/S: Semoga bapa dapat membantu menguruskan anak-anak yang akan bersekolah ...

0 comments: