Nuff Atas

29 Januari 2015

Sekolah Mana Yang Sesuai Untuk Anak Anda?

- Gambar hiasan

Setiap kali sebelum penggal persekolahan di tahun baru bermula, para ibu bapa menjadi orang yang sibuk memikir, mengumpul maklumat dan memohon kemasukan ke sekolah yang terbaik untuk anak masing-masing. Bagi ibu bapa pemilihan sekolah yang sesuai untuk anak mereka memulakan alam persekolahan adalah amat penting.

Lazimnya, dua perkara yang akan mempengaruhi keputusan ibu bapa iaitu jarak sekolah dari rumah serta kecemerlangan sekolah dari segi pencapaian akademik. Bagaimanapun, sering kali mereka terpaksa memilih satu daripada kedua-dua faktor ini.

Beberapa orang ibu bapa daripada pelbagai latar belakang memberikan pandangan mereka mengenai isu yang berkaitan ini.


Utamakan lokasi

Bagi suri rumah Izuwati Abdul Razak, 31, sekolah yang dipilih untuk anak lelakinya mesti dekat dengan rumah.

"Sekolah yang saya pilih S.K Bandar Pontian, Johor dekat dengan rumah. Saya tak fikir tentang pencapaian sekolah," katanya.

Menurut Izuwati, pendidikan anak bermula dari rumah dan dia akan turut membimbing anaknya selain daripada apa yang anaknya pelajari di sekolah.

Lain pula dengan Fadzly Nordin yang memilih sekolah Islam swasta berhampiran tempat kerjanya di Ipoh untuk anaknya, Alya Nurfatini, tujuh tahun, sedangkan rumahnya terletak di Manjung, Perak.

"Pertama sekali saya akan tengok mana sekolah yang mudah untuk saya sekiranya berlaku kecemasan ketika saya bekerja dan saya akan buat senarai dari segi pencapaian akademik sekolah," katanya.

Kecemerlangan dengan pengajian agama

Muhammad Zulqarnain Ali, 34, seorang jurutera, mementingkan sekolah yang ada rekod baik dalam kedua-dua pendidikan agama dan akademik untuk anak-anaknya.

Tempat kerja beliau terletak di KLCC dan rumah pula di Ampang. Bagaimanapun, beliau memilih sekolah agama swasta di Wangsa Maju untuk pendidikan anaknya.

"Memang jauh sikit dari tempat kerja dan rumah saya tetapi pendidikan anak menjadi keutamaan saya dan isteri. Kami berdua bersetuju untuk menghantar mereka ke sekolah itu kerana kurikulum yang ditawarkan," katanya.

Bagi jurugambar profesional, Hiekal Rosli, 33, beliau juga memilih sekolah yang mempunyai kriteria yang sama untuk anak perempuannya, Naily, 7.

Seperti Zulqarnain, beliau memilih sekolah di Wangsa Maju berdasarkan pencapaian serta kurikulum sekolah.

"Saya tak kisah bersusah-payah untuk anak saya, hantar dan ambil lepas sekolah atau cari pengangkutan asalkan anak saya dapat pendidikan terbaik. Saya akan lakukan apa sahaja untuk anak saya," katanya.


Tidak semua ibu bapa memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk memilih sekolah. – Gambar hiasan

Nasib baik

Bagi Husnaini Azmi, 33, pengurus akaun Institut Pia­waian dan Penyelidikan Perindustrian Ma­laysia (SIRIM), beliau bernasib baik kerana sekolah berprestasi tinggi terletak berhampiran rumahnya.

"Secara kebetulan sekolah yang sedemikian dekat dengan rumah. Memang kami bernasib baik," katanya.

Tambah Husnaini, lokasi adalah faktor utama kerana jika berlaku kecemasan, rakan dan jirannya boleh ke sekolah dan mereka juga boleh menghantar serta mengambil anaknya dari sekolah.

Bagi Wan Nurul Anais Izzati Wan Ismail, 30, beliau memilih sekolah Cina (SJKC) untuk anak lelakinya kerana ia dekat dengan tempat kerja.

"Kami pilih sekolah itu kerana anak saya boleh belajar satu lagi bahasa dan sekolah berkenaan secara keseluruhannya mempunyai rekod pencapaian yang baik terutama dalam matematik," katanya.

Memandangkan Anais dan suaminya bekerja mengikut syif, ini membolehkan dia atau suaminya berada di rumah apabila anak lelakinya kembali dari sekolah.

Kepentingan anak

Apa yang ditulis setakat ini ialah keperluan ibu bapa. Bagaimana pula dengan anak itu sendiri?

Apakah ada ibu bapa bertanya kepada anak mereka tentang kemahuan mereka dalam soal pemilihan sekolah?

Professor Datin Noor Aziah Mohd Awal, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia berpendapat ibu bapa terlalu mengutamakan keperluan mereka sehingga mengabaikan suara dan hak anak.

Beliau memberitahu Bernama, meskipun ibu bapa memberi anak mereka pendidikan tetapi mereka tidak mendengar isi hati anak mereka.

Beliau yang juga pensyarah undang-undang berkata, ibu bapa terlalu fokus untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak sehinggakan ada kalanya mereka lupa untuk mendengar apa yang anak mereka mahu dalam kehidupan mereka.

"Ada ibu bapa yang akan berkata anak mereka terlalu muda untuk membuat keputusan sendiri tetapi itulah sebabnya mereka dihantar untuk pra-sekolah," tambahnya.

Jangan paksa

Prof Noor Aziah juga berkata sekiranya ibu bapa memilih sekolah Cina sedangkan ia bukan bahasa ibunda, mereka perlu memberi perhatian kepada kemampuan anak ketika di peringat pra-sekolah lagi.

Jangan paksa sekiranya anak tidak gembira, sebaliknya bercakap dengan anak dan berbincang.

Ibu bapa nampaknya memilih "pendidikan terbaik" untuk anak mereka berdasarkan apa yang sesuai untuk mereka serta taraf tetapi anak itu mungkin tidak dapat menepati jangkaan mereka.

"Konflik timbul apabila anak tertekan kerana mereka dipaksa berada dalam keadaan yang mereka tidak mahu atau tidak mahu buat.

"Jangkaan semakin meningkat sehinggakan budak darjah satu pun menghadiri tuisyen atau kelas tambahan supaya senantiasa berada di hadapan daripada segi pencapaian akademik," katanya.

Ibu bapa perlu ingat anak mereka bukan robot dan merekalah yang akan bertanggungjawab jika masa hadapan anak mereka rosak akibat meletakkan jangkaan yang tinggi dan bukan semua anak boleh mencapainya.

Kejayaan anak bukan diukur dari mana sekolah yang mereka pergi tetapi apa yang anak itu capai dan sama ada anak itu gembira.

Sumber: BernamaSinar Harian, Kosmo

Refleksi:

Bagaimana dengan anda? Apakah kriteria sekolah pilihan anda untuk anak-anak anda?
Adakah anda mendengar suara hati dan kehendak anak anda dalam memilih sekolah yang sesuai untuk mereka?

0 comments: