30 Januari 2015

Aurat: Lambang Mulianya Seorang Wanita


Pendedahan aurat adalah sangat hodoh dan buruk di sisi syariat.

ISLAM, agama yang mengembalikan kemuliaan wanita yang pada mulanya dianggap sebagai lebih rendah tarafnya berbanding lelaki. Masyarakat Arab jahiliah meletakkan taraf wanita pada kedudukan yang paling rendah dari segi peranan dan moralnya iaitu sebagai pemuas nafsu lelaki, hamba dan harta.

ALLAH SWT memuliakan manusia terutama mereka yang beriman yang terdiri dalam kalangan lelaki dan wanita. Justeru dengan kemuliaan inilah maka manusia diberikan amanah ke atas setiap diri individu untuk menjaganya agar ia tidak tercemar dengan sebarang anasir yang mendorong ke arah kemungkaran.


Kalimah 'arun (celaka)

Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Mohd Afandi Mat Rani menjelaskan, ulama bersepakat menyatakan aurat berasal daripada kalimah ’arun yang bermakna celaka.

"Ini kerana sering kali pendedahan aurat membawa kepada kecelakaan dan kerosakan. Perkataan iryan juga membawa makna aib dan memalukan. Orang yang mendedahkan aurat adalah berkelakuan tidak sopan dan sangat buruk. Aurun pula membawa makna sesuatu yang menjijikkan.

"Kerana inilah juga golongan lelaki diwajibkan menundukkan pandangan daripada melihat kepada aurat wanita yang dianggap jijik, kerana ia termasuk dalam perkara dosa. Dosa boleh diistilahkan sebagai sesuatu yang menjijikkan jika diperlakukan," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, terdapat perkaitan yang kukuh antara aurat dan maruah. Maruah adalah lambang ketinggian nilai seseorang manusia. Andainya maruah seseorang itu tercemar, maka nilai dan harga diri seseorang itu sudah tidak ada lagi.

Malu dipertontonkan

Mohd Afandi berkata, maruah juga amat berkait dengan keperibadian seseorang. Hakikat semula jadi manusia akan mempunyai perasaan malu jika bahagian tertentu daripada badan dipertontonkan kepada khalayak ramai.

Mendedahkan aurat sama seperti tidak berpakaian. Gejala rogol, gangguan seksual, pencabulan kehormatan dan lain-lain banyak berpunca daripada cara berpakaian yang tidak menutup aurat. Maka hukum yang menjadi peraturan dan panduan dalam Islam semuanya adalah untuk menjaga dan menjamin maruah wanita terutamanya daripada gejala yang tidak sihat berlaku.

"Kita lihat hari ini, timbulnya pelbagai fesyen yang benar ia menutup aurat tetapi jelas sekali bukan menutup, namun membalut. Bayangkan bagaimana sosok tubuh dibalut sehingga kelihatan sukar untuk bernafas.

"ALLAH menciptakan wanita dengan pelbagai keistimewaan diri, seperti kecantikan rupa paras dan fizikal, lemah-lembut, kehalusan kulit dan lain-lain berbeza dengan kaum lelaki. Sehubungan dengan itu, ALLAH menjadikan salah satu syariat-Nya ialah mewajibkan wanita menutup aurat," jelasnya panjang.

Kenapa ALLAH menyuruh wanita berbuat demikian? Tujuan-Nya adalah untuk memuliakan dan menghormati nilai diri setiap Muslimah. Pendedahan aurat adalah sangat hodoh dan buruk  di sisi syariat.

Maka mendedahkan aurat kepada orang yang bukan mahram secara tidak langsung mencacatkan sifat dan darjat kemanusiaan yang mulia, menunjukkan akhlak yang rendah dan merosakkan masyarakat. Wanita yang sengaja mendedahkan aurat adalah golongan yang dianggap tidak amanah terhadap diri sendiri yang diperintah ALLAH agar menutupnya dengan rapi dan sempurna.

Malu itu perhiasan wanita

Nabi Muhammad SAW menyifatkan malu adalah sebahagian daripada iman. Menutup aurat dengan berpakaian yang sempurna dan timbulnya rasa malu dalam diri adalah suatu fitrah naluri keinsafan yang hanya terbit daripada jiwa manusia yang beriman.

"Antara tanda pergi dan hilangnya iman ialah hilangnya perasaan malu. Nabi SAW bersabda: "Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang".

Nabi SAW bersabda lagi di dalam hadis yang lain, Baginda SAW melihat kebanyakan penduduk syurga adalah orang-orang fakir, manakala penduduk neraka adalah wanita.

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan hadis ini katanya: "Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka. Kecenderungan mereka kepada kesenangan dunia, dan berpaling daripada akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka tertipu dengan kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal.

"Wanita dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan dengan maksiat dan larangan ALLAH. Hilangnya perasaan malu inilah yang menjerumus wanita ke kancah kehinaan," tegas Mohd Afandi.

Abu Hatim menyatakan: "Apabila manusia terbiasa dengan sifat malu, maka pada dirinya terdapat faktor-faktor yang mendorong kepada kebaikan. Sebaliknya orang yang tidak tahu malu, maka dirinya tidak ada faktor yang mendorong kepada kebaikan.

Jaminan menutup aurat

ALLAH tidak membebankan kaum wanita dengan perkara yang berat, cukup hanya dengan menunaikan rukun Islam, menjaga aurat dan mentaati suami, maka tertutup segala pintu neraka dan terbuka semua pintu syurga. Wanita boleh memasuki daripada mana-mana pintu yang dia suka.

ALLAH tidak mewajibkan wanita berjihad, mencari nafkah dan lain-lain.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda: "Akan datang suatu zaman kepada umatku, segolongan wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang tanpa pakaian. Sanggul mereka ditinggikan bagai bonggol unta. Kutuklah mereka.

Sesungguhnya mereka itu terkutuk oleh ALLAH. Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak dapat mencium sedikit pun bau syurga.

Agama Islam memberi jaminan terhadap umatnya yang mengambil berat tentang aurat, mereka dikelaskan sebagai umat yang terbaik yang mendapat keredaan ALLAH sebagaimana firman-Nya: "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) ALLAH (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah Al-A'raf: Ayat 26)

Kajian dijalankan oleh Prof Dr Harlina Halizah Siraj dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan, peratusan remaja yang hamil dan dikategorikan sebagai remaja luar kawalan ibu bapa dan penjaga adalah 45 peratus, dibandingkan dengan mereka yang terlanjur (biasanya antara pasangan yang sudah bertunang), iaitu 13 peratus dan yang diperkosa hanya tiga peratus.

Kajian ini  menjelaskan, peranan ibu bapa amat penting terutama dalam mencorak pemakaian dan aurat anak-anak, terutama anak-anak perempuan. Sifat kepedulian ibu bapa penting agar anak-anak sentiasa terdidik dengan akhlak berpakaian Islam yang menjadi pendinding kepada berlakunya masalah sosial pada hari ini.

Pemakaian seseorang adalah mencerminkan interpretasi imannya. ALLAH memuliakan wanita dengan menamakan surah al-Quran secara khusus iaitu "al-Nisa" yang membincangkan perihal kaum wanita. Sewajarnya wanita sekalian peliharalah keperibadianmu dengan menutup aurat yang tinggi dan mulia di sisi ALLAH dan Rasul-Nya.

Oleh: SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Sumber: Sinar Harian

0 comments: