28 Februari 2015
Ketagihan Melayar Dunia Maya
Penggunaan telefon pintar membuatkan masyarakat semakin leka dengan teknologi. – Gambar hiasan
GAYA hidup manusia sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran masa. Setiap masa akan berlakunya sesuatu yang baharu seperti teknologi dan fesyen. Kini, kita sedang mengalami satu fenomena baharu yang berlaku dalam masyarakat dunia dan berkait rapat dengan penggunaan teknologi.
Ketika berada di kedai-kedai makan, didapati setiap orang akan memerhati paparan skrin telefon pintar masing-masing sambil menunggu makanan yang dipesan. Di rumah pula, ahli-ahli keluarga lebih kerap bermain dengan telefon mereka daripada beramah mesra.
Apatah lagi apabila menghadiri sesuatu mesyuarat, kelihatan ahli-ahlinya lebih tertumpu kepada telefon yang berada di atas meja dan ada juga yang sempat menonton video di bawah meja secara senyap.
Fenomena luar biasa ini kelihatan seperti wabak baharu yang telah menjangkiti semua lapisan masyarakat di seluruh dunia. Wabak tersebut tidak mengenal usia, jantina, bangsa mahupun pangkat. Dianggarkan sebanyak 40 peratus masyarakat dunia menggunakan aplikasi atas talian.
Ketagihan
Berkemungkinan besar kebanyakan masyarakat tidak bersetuju jika mereka dikatakan sedang menghidap satu penyakit baharu iaitu ketagihan kepada teknologi.
Ketagihan teknologi tidak sama seperti ketagihan dadah atau rokok yang memerlukan individu bergantung kepada bahan-bahan tersebut.
Ketagihan berlaku apabila seseorang individu tidak mampu mengawal perasaannya untuk mengaktifkan gajet seperti melayari internet atau aplikasi-aplikasi di telefon.
Dalam kata lain, ketagihan itu tidak memerlukan sebarang bahan kimia, malah berkemungkinan ada orang akan mengutamakan telefon pintarnya berbanding perihal lain.
Pakar-pakar psikologi berpandangan bahawa terdapat beberapa simptom untuk menilai sama ada seseorang itu sedang menghidap penyakit baharu ini.
Antaranya, pengguna berasa cemas apabila tidak menggunakannya ataupun semakin kerap menggunakannya tanpa disedari.
Ramai yang tidak menyedari bahawa ketagihan tersebut membawa implikasi negatif dalam kehidupan seharian mereka.
Contohnya, pengguna akan mengabaikan keluarga dan perkara-perkara penting. Sedikit demi sedikit, banyak perkara terlepas daripada pandangan.
Setakat ini, penyelidikan psikologi beranggapan bahawa ketagihan tersebut mengakibatkan dua implikasi utama iaitu mengganggu fungsi kognitif dan tingkah laku.
Gangguan kognitif berlaku apabila seseorang kerap memikirkan penggunaan teknologi meskipun mereka tidak menggunakannya. Gangguan tingkah laku pula berlaku apabila individu berusaha mencuri peluang yang ada untuk menggunakan telefon pintarnya.
Perkara tersebut kerap terjadi di mana-mana. Kita sering melihat ada pengguna yang sedang melintas jalan tetapi matanya tertumpu rapat kepada telefon pintarnya tanpa menghiraukan kenderaan lalu-lalang.
Ada juga pengguna jalan raya yang sedang memandu tetapi terus menatap telefon di tangannya walaupun kenderaan yang dipandu berhenti akibat kesesakan trafik. Kesemua perkara tersebut bakal mengundang malapetaka jika terus dibiarkan.
Sahabat sejati
Memang benar bahawa kecanggihan teknologi banyak membantu masyarakat dalam mengenali lebih ramai kenalan serata dunia. Ia juga mampu menemukan semula dengan teman-teman lama yang berpisah sejak zaman persekolahan.
Sungguhpun begitu, teman-teman tersebut hanyalah di alam maya. Realitinya, kita mungkin mempunyai ramai teman tetapi bukan yang boleh dipanggil sahabat sejati.
Sehinggakan ada orang tidak perlu lagi melawat rakannya yang sakit di hospital tetapi sekadar mengirimkan ucapan takziah melalui Facebook atau Telegram sahaja.
Sayangnya, ia menjadikan hubungan secara realiti tidak diperlukan lagi. Misalnya, ketika kita berbual dengan seseorang secara berdepan, pada masa yang sama kita juga berbual dengan ‘orang lain’ yang wujud di dalam aplikasi telefon.
Jika dibiarkan, perkara tersebut bakal mengubah landskap kehidupan kita. Bayangkan di dalam satu rumah, semua orang sibuk dengan ‘kehidupan teknologi’ masing-masing. Jadi, adakah itu yang dimaksudkan dengan indahnya kehidupan berkeluarga?
Dengan siapakah sebenarnya kita berkomunikasi tatkala si ibu tersenyum seorang diri ketika menatap telefon, si bapa sibuk membaca berita atas talian dan si kecil gigih bermain permainan video.
Mungkin ia kelihatan normal tetapi hakikatnya, ia merupakan satu fenomena yang teruk dan perlu dihadkan penggunaan teknologi.
Sekiranya anda berasa sukar untuk berenggang dengan peralatan teknologi, paksa diri anda untuk menggunakannya pada waktu tertentu sahaja.
Matikan semua aplikasi yang menghubungkan anda dengan orang lain di atas talian. Muhasabah diri mengenai apa yang lebih penting dalam hidup seperti keluarga dan pekerjaan.
Jangan bimbang, sekiranya ada sesuatu hal mustahak, mereka akan menelefon anda. Teknologi sebenarnya hanya sekadar keindahan yang melekakan. Jangan biarkan ia merosakkan keindahan hidup yang dimiliki.
Sumber: Kosmo
Labels:
Teknologi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan