04 Februari 2015
Mandikan Bayi Dengan Rasa Kasih Sayang
Suhu air penting ketika memandikan bayi. Sentuhan tangan ibu ketika memandikan bayi pula penting bagi bayi mendapatkan rasa tenang dan disayangi.
Memandikan bayi yang baharu lahir atau pada usia enam bulan ke bawah tidaklah mudah kerana jika cara yang dipraktikkan tidak betul boleh mengundang bahaya kepada bayi berkenaan.
Beberapa kejadian melibatkan kecederaan bayi turut dilaporkan sebelum ini apabila kulit bayi dilaporkan melecur ketika dimandikan di hospital, malah ada juga kejadian di mana bayi lemas ketika dimandikan ekoran penjaga terleka seketika.
Seharusnya ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu tersebut kerana memandikan bayi bukan setakat membersihkan tubuh si kecil, tetapi apa yang penting ialah ibu bapa dapat meluangkan masa berkualiti bersama dengan bayi.
Walaupun bayi masih kecil, bahasa tubuh dan sentuhan yang diberikan ketika membersihkan bayi memberikan isyarat kasih sayang kerana sentuhan yang diberikan memberikan rangsangan berkesan bagi meningkatkan sistem daya tahan dan memberikan suntikan keyakinan diri kepada bayi.
Menurut Doktor Kanan, Kumpulan Perubatan Penawar Sdn. Bhd., Dr. Zubaidi Ahmad, ketika memandikan bayi, ibu bapa tidak boleh melakukannya secara tergesa-gesa kerana proses itu perlu disertakan dengan dakapan kulit ke kulit, iaitu sentuhan kulit bayi dengan kulit ibu tanpa dihalang oleh pakaian.
Tambah beliau, sentuhan yang merangsang pengeluaran hormon Oxytocin dalam tubuh amat penting bagi bayi untuk mendapatkan rasa tenang dan disayangi oleh ibu bapa mereka. Justeru, ibu bapa muda yang pertama kali memandikan bayi harus membuang rasa takut dan tidak yakin.
Kebimbangan mencederakan bayi ketika proses memandikan dapat diatasi jika ibu bapa baharu ini diberikan penerangan dan latihan oleh jururawat atau bidan terlatih sebelum kelahiran bayi mereka.
Bahkan, dunia tanpa sempadan, membolehkan ibu bapa mempelajari teknik memandikan bayi yang diajarkan oleh bidan terlatih melalui laman media YouTube.
“Bayi yang berusia satu bulan ke bawah mempunyai kulit yang masih kurang matang. Kulit mereka sangat sensitif pada kualiti air dan sabun yang digunakan. Oleh itu, ibu bapa harus menggunakan mandian yang dinasihatkan doktor bagi mengelakkan kulit bayi tercela,” katanya.
Elak Bayi Terkena Hipotermia
Selain faktor ilmu, keadaan suhu air merupakan faktor yang penting ketika proses memandikan bayi terutama ketika bayi berusia enam bulan ke bawah kerana kesan suhu air boleh menyebabkan kemudaratan sehingga membawa kepada kematian pada bayi.
Kesan paling mudah ialah, bayi mengalami hipotermia iaitu keadaan suhu tubuh yang menurun secara mengejut kerana lapisan kulit bayi yang masih terlampau tipis jika ibu bapa memandikan bayi menggunakan air sejuk.
Jelas Dr. Zubaidi, apabila bayi terkena hipotermia menyebabkan mereka lupa cara bernafas dan perkara itu sangat berbahaya kepada bayi.
“Bayi akan mengalami kebiru-biruan pada mulut yang menandakan bayi tidak menarik nafas secukupnya. Oleh itu, sebelum meletakkan bayi ke dalam bekas mandian, pastikan air yang digunakan adalah air suam dan bukannya air yang panas. Letakkan air sejuk dahulu kemudian tambahkan air panas.
“Kacau air untuk memastikan tidak ada mana-mana kawasan dalam bekas mandian itu yang masih panas. Ini akan mengurangkan risiko bayi yang dimandikan mengalami lecuran.
“Kita juga boleh membeli termometer di kedai ubat atau farmasi untuk memeriksa suhu air mandi dengan lebih mudah,” jelasnya.
Sebaiknya bayi di bawah usia enam bulan ke bawah dimandikan dengan air bersuhu sekurang-kurangnya antara 30 darjah celsius,
Paras suhu tersebut dianggap cukup hangat dan selesa bagi kulit serta paru-paru bayi, manakala bayi yang melebihi enam bulan, suhu yang ideal ialah sekitar 37 sehingga darjah celsius, iaitu suhu badan.
Waktu memandikan bayi pula tidak memberikan kesan secara terus kepada bayi malah boleh memandikan bayi waktu malam, asalkan menggunakan air yang suam.
Bagaimanapun, Dr. Zubaidi mengingatkan agar tidak memandikan bayi pada waktu sepatutnya bayi itu tidur.
Selain itu, beberapa perkara lagi perlu diberi perhatian, seperti menyediakan semua peralatan mandian yang diperlukan untuk memandikan bayi sebelum bermula dan letak di tempat yang senang untuk dicapai untuk memudahkan proses itu berlangsung.
“Ibu bapa juga tidak boleh sama sekali meninggalkan bayi mereka bersendirian untuk menjawab panggilan telefon, menutup api di dapur atau membuka pintu jika ada yang mengetuk kerana amat membahayakan bayi.
“Jika merasakan perlu berbuat demikian, angkat bayi dari bekas mandian, balut bayi dengan tuala dan bawa bayi bersama,” ujarnya.
OLEH SITI AIRUNNISA ALAUI
Sumber: Utusan
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan