05 Februari 2015
Khilaf Cerita 1001 Malam
Wajah Abu Nawas yang digambarkan oleh Khalil Ghibran.
CERITA Abu Nawas dan Khaifah Harun Al-Rashid bukan asing bagi masyarakat Malaysia, bahkan di Nusantara. Semasa di bangku sekolah kami dihiburkan dengan pelbagai kisah bagaimana orang yang bernama Abu Nawas itu menipu raja dan macam-macam cerita menarik.
Hari ini pelbagai cerita yang dipetik daripada Kisah 1001 Malam, digarap melalui filem, drama, novel, komik dalam pelbagai bahasa dan pendekatan.
Konon pada zaman Khalifah Harun Al Rasyid (pemimpin Dawlah Bani Abbasiyyah), hiduplah seorang pujangga atau sasterawan yang bernama Abu Nuwas (Abu Nawas).
Khalifah mempunyai hubungan rapat dengan Abu Nawas ini, sedangkan dia adalah seorang pemabuk, suka menghabiskan masa dengan wanita, mendengarkan muzik, menari serta perbuatan lain sehingga khalifah turut terjebak melakukan perkara yang sama kerana bersahabat dengan Abu Nawas.
Kisah ini sangat masyhur di Nusantara dan mungkin juga di negara lain. Sehingga kalau disebut dalam kalangan orang banyak tentang Harun Al Rasyid, maka yang terbayang dalam fikiran mereka, seorang pemimpin tidak berwibawa suka kepada muzik, wanita, minum khamr (arak). Jarang di antara kaum muslimin mengetahui siapa sebenarnya Khalifah Harun Al Rasyid?
Asal-usul cerita ini bersumber daripada sebuah buku dongeng – Alfu Lailatin wa Lailah (Cerita 1001 Malam). Daripada lembar pertama sampai terakhir hanya berisi dongeng, sekali gus bererti ia sebuah cerita khayalan yang tidak berpegang kepada asal-usul sanad yang dipercayai, antaranya Ali Baba dengan 40 penyamun, Aladdin dengan lampu ajaib termasuk kisah Abu Nawas dengan Harun Al Rasyid.
Buku ini dikatakan berasal dari India dan Parsi. Lalu dialihbahasakan ke dalam bahasa Arab pada sekitar abad ketiga hijrah. Kemudian ada pihak menambah beberapa cerita lain sehingga zaman Dawlah Mamalik. Ia sama sekali bukan buku sejarah dan tidak boleh menjadi landasan untuk mengetahui keadaan umat tertentu pada masa itu.
Justeru, ada ulama sepakat melarang umat Islam membaca dan menjadikannya sebagai buku sejarah. Antaranya; Al-Ustadz Anwar Al Jundi yang berkata, buku Alfu Lailatin wa Lailah adalah karya yang bercampur-baur tanpa penulis. Buku ini disusun dalam perjalanan waktu yang pelbagai. Kebanyakan isinya menggambarkan keadaan sosial masyarakat sebelum kedatangan Islam di Parsi, India dan pelbagai negeri paganis lainnya.
Ibnu Nadim dalam Al-Fahrasat pula berkata, itu adalah buku yang penuh dengan kedunguan dan kejelekan. Manakala banyak lagi ulama berpendapat sedemikian – Sila lihat karya Syaikh Masyhur Hasan Salman dalam Kutubun Hadzara minha Ulama (2:57).
Seorang tokoh hadis, Syaikh Shalih Al Fauzan pernah ditanya, sebahagian buku sejarah terutama buku Alfu Lailatin wa Lailah menyebut Harun Al Rasyid adalah seorang yang dikenali sebagai pemimpin suka berfoya-foya, minum arak dan mencintai wanita. Apakah ini benar?”
Beliau menjawab, “Ini adalah satu pendustaan dan tuduhan yang dihembuskan ke dalam sejarah Islam. Buku Alfu Lailatin wa Lailah adalah sebuah buku yang tidak boleh dijadikan sandaran.
Tidak selayaknya seorang Muslim menghabiskan waktu untuk menelaah buku tersebut. Khalifah Harun Al Rasyid, dikenali seorang yang soleh dan istiqamah dalam agamanya, bersungguh-sungguh dan bagus dalam mengatur masyarakatnya.
Tidak layak seorang Muslim terutama penuntut ilmu menghabiskan waktu dengan membaca buku seperti itu.” (Nur Ala Darb, Fatawa Syaikh Shalih Fauzan Hal. 29)
Daripada keterangan di atas, tiada lagi keraguan bahawa kisah tentang Khalifah Harun Al Rasyid seperti yang digambarkan tadi adalah sebuah pendustaan. Banyak ulama menyatakan bahawa itu adalah satu pembohongan.
Di antara mereka ialah – Syaikh Shalih Fauzan, (sebagaimana nukilan daripada beliau di atas), Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al-Jibrin, (Fatawa Islamiyyah, 4:187), Syaikah Salim bin Id Al-Hilali (Al-Jama’at Islamiyyah, Hal. 430). Atas dasar ini, maka alangkah baiknya kalau kita sedikit mengetahui perjalanan hidup kedua orang ini, agar kita dapat mengetahui siapa sebenarnya Abu Nawas dan benarkah tuduhan terhadap Khalifah Harun Al Rasyid.
Susunan IBRAHIM MUHAMAD
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan