08 Mac 2015
Alam Fantasi Muzium 3D Langkawi
Mahathir ‘bersalaman’ dengan lukisan 3D dirinya.
ANDA pasti terpukau dengan lebih 200 lukisan pelbagai saiz sebaik melangkah masuk ke muzium tiga dimensi (3D) terbesar negara dan kedua terbesar di dunia iaitu Muzium 3D Art of Paradise Langkawi.
Bertempat di Oriental Village, Jalan Pantai Kok, Langkawi, Kedah, muzium tiga tingkat dengan keluasan 1,950 meter persegi itu pasti memberi pengalaman menarik buat anda.
Kreativiti lukisan 3D teknik bebas di muzium tersebut merupakan hasil tangan 28 pelukis profesional dari Korea Selatan dengan kerjasama pelukis tempatan.
Muzium 3D yang dibina dengan kos RM17 juta diiktiraf sebagai muzium 3D yang terbesar di negara ini oleh Malaysia Book of Records.
Ia juga merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas muzium 3D di Pattaya, Thailand. Muzium 3D tersebut dibahagikan kepada sembilan zon yang mengandungi lukisan 3D yang pasti membuatkan pengunjung teruja dan berasa seperti berada di dunia asing.
Sembilan zon
Sembilan zon itu ialah Ilusi Optik, Akuarium, Safari, Interaktif 1 dan 2, Fantasi, Klasik, Mesir, Istana Lama, Pemandangan dan Malaysia.
Lukisan 3D yang dipamerkan itu amat luar biasa kerana pengunjung akan merasai seperti berada dalam keadaan sebenar.
Pengunjung berpeluang merasai dan merakamkan gambar seperti berada di dasar laut, hutan dan meniti jambatan gantung dengan jurang yang dalam.
“Muzium ini menjadi tarikan terbaharu di Langkawi dan bakal menjadi antara destinasi pelancongan popular di pulau peranginan ini,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas merasmikan muzium tersebut baru-baru ini.
Ridzuan dan Azlina merakamkan gambar kenangan.
Pengunjung Jerman, Nadine Mandrella, 27, dan rakannya Carina Hahn, 26, turut terpukau dengan hasil karya lukisan 3D itu.
“Sebaik masuk, kami terpesona dan kagum melihat lukisan 3D seperti benar-benar wujud. Kami paling teruja menyaksikan lukisan 3D ketika menjelajah zon Fantasi.
“Kami mengambil banyak gambar dan sudah pasti pengalaman menarik ini dikongsi bersama keluarga dan rakan-rakan apabila pulang nanti,” katanya.
Ujar Nadine, pameran lukisan yang menghiasi hampir seluruh dinding dan lantai kelihatan hidup di dalam gambar yang diambil.
“Begitu juga dengan imej burung helang yang kelihatan benar-benar hidup. Terdapat juga lukisan 3D ini yang mampu mewujudkan rasa gayat seperti saya sedang berdiri di atas bukit curam,” ujarnya.
Bagi pasangan dari Perlis, Ridzuan Rafii, 28, dan Azlina Ahmad, 27, Langkawi merupakan salah satu lokasi berbulan madu yang terbaik.
“Cadangan isteri untuk ke Langkawi ternyata berbaloi. Selain mempunyai banyak tarikan pelancongan, kewujudan muzium 3D ini menjadikan percutian lebih bermakna,” katanya.
“Lukisan 3D yang dibuat amat menarik dan saya puas hati kerana menjadi antara pengunjung terawal dapat menyaksikan keistimewaan lukisan tersebut,” katanya.
Oleh NORASHIKIN IDROS
Sumber: Kosmo
Labels:
Kesenian,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan