07 Mac 2015

Kucing Dominasi Pulau Aoshima Jepun


SEBAHAGIAN kucing yang memenuhi sekitar pelabuhan Pulau Aoshima di wilayah Ehime, Jepun.

Pulau Aoshima yang dikenali sebagai Pulau Kucing kini menjadi tumpuan para pelancong rata-ratanya terdiri daripada kalangan peminat haiwan berkenaan.

Tiada restoran, perkhidmatan kereta sewa mahupun kiosk menjual makanan ringan, namun Pulau Aoshima di Jepun ini tetap menjadi pilihan pelancong terutamanya bagi peminat kucing.

Pulau ini mempunyai tarikan yang tersendiri apabila didiami oleh hampir 120 ekor kucing malah populasi kucing yang terdapat di pulau ini melebihi bilangan penduduk tempatan.


Pulau Aoshima yang dikenali sebagai Pulau Kucing dikalangan para pelancong terletak 30 minit perjalanan dari Wilayah Ehime.

Tanpa sebarang ancaman pemangsa, kucing-kucing bebas berkeliaran dan menikmati makanan daripada pelancong yang hadir.

Pulau berkenaan yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri mempunyai penduduk sekitar 900 orang pada tahun 1945 tetapi kini sekitar 20 orang sahaja akibat penghijrahan. Kebanyakan penduduk tempatan terdiri dari pesara yang menghabiskan usia tua mereka di pulau tersebut.

Pulau di Jepun jadi tumpuan kerana kucing
Kucing melebihi bilangan penduduk di Pulau Aoshima.

Pada mulanya, kucing-kucing tersebut dibela untuk menangkap tikus yang mengganggu bot nelayan, namun bilangannya semakin bertambah berkali ganda sejak 50 tahun lalu.

Salah seorang pelancong, Makiko Yamasaki, 27, menyifatkan keakraban antara kucing-kucing dan penduduk tempatan di situ sesuatu yang amat mengasyikkan.

“Saya seronok melihat masyarakat di sini memberi makanan kepada sekumpulan besar kucing. Sudah pasti, saya akan datang melawat pulau ini lagi,” katanya.

Menurut Makiko Yamasaki, satu-satunya aktiviti yang ada di sini adalah memberi kucing makan dan ia adalah perkara yang sangat menyeronokkan.

Walau bagaimanapun, tidak semua penduduk pulau tersebut menyukai kucing-kucing berkenaan. Ini terbukti apabila ada antara mereka menghalau kucing-kucing menggunakan kayu.

Penduduk tempatan juga cuba untuk menjaga populasi kucing dan sekurang-kurangnya 10 kucing telah dimandulkan.

Hidenori Kamimoto, 65, berkata dia tidak kisah dengan kehadiran pelancong ke pulau ini namun berharap ia tidak akan menjadi beban kepada penduduk yang tinggal di sini," katanya.

Sumber: KosmoSinar Harian

0 comments: