09 Mac 2015

Kekal Hidrasi Pada Musim Panas



Gelombang panas yang mula menerjah pada akhir bulan Februari 2015 lalu dikatakan akan berterusan sehingga bulan hadapan berikutan fenomena ekuinoks yang menyebabkan matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa.

Berdasarkan rekod ramalan oleh portal cuaca, AccuWeather, catatan suhu di beberapa bandar utama di Malaysia termasuk Kuala Lumpur mencecah sehingga 36 darjah Celcius mulai 25 Februari 2015 lalu.

Jelas portal itu lagi, suhu akan menjadi lebih tinggi dan kering pada Mac serta September sehingga boleh mencecah kepada 38 darjah Celcius di negeri-negeri tertentu. Suhu tersebut bersamaan dengan catatan purata pada awal musim di Mekah, Arab Saudi.


Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah isu dehidrasi yang mungkin membelenggu masyarakat di negara ini. Situasi itu didakwa boleh menyebabkan korban jiwa jika cuaca terlalu ekstrem.

Presiden Imam Dr. Azlan Helmy Abd. Samat berkata, dehidrasi berisiko tinggi berlaku pada golongan warga emas dan kanak-kanak disebabkan sistem imunisasi lemah.

“Kesan paling kronik apabila cuaca panas ini adalah strok haba (heat stroke). Faktor utamanya adalah apabila tubuh hilang banyak air dan seseorang itu tidak mengambilnya dalam kuantiti yang mencukupi.

“Kadang-kadang individu itu tidak merasa haus tetapi tanpa disedari tubuh sudah kekurangan air. Ia turut memberi kesan pada mental seseorang akibat sistem saraf otak terganggu,” ujarnya yang memberitahu, kerosakan otak berlaku apabila kandungan air dalam badan tidak mencukupi.

Ujar Azlan, walaupun setakat ini kes seperti itu jarang berlaku di Malaysia, risiko masih tetap ada. Ini kerana, kehilangan air dalam badan akan mula mengganggu sistem tubuh berikutan kehilangan garam galian seperti sodium, nutrium dan potasium sehingga menyebabkan badan tidak stabil.


Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berada dalam keadaan lembap bagi mengelakkan berlaku dehidrasi.

Penyebab kematian

Simptom dehidrasi dapat dikesan apabila individu itu cepat berasa dahaga dan mulut kering akibat kehilangan air yang banyak selain mudah letih.

Jelasnya, paling membimbangkan, gelombang panas yang teruk dikenal pasti sebagai penyebab kematian akibat hipertemia iaitu suhu badan meningkat menjadi sangat panas.

Ia turut menyumbang kepada kegagalan buah pinggang akut (acute kidney injury) apabila dehidrasi terutama golongan berusia.

“Jika cuaca seperti ini, individu seharusnya menambah jumlah pengambilan air lebih daripada hari-hari biasa. Minum sekurang-kurangnya tiga hingga empat liter air bagi menggantikan jumlah yang hilang selain memastikan diri sentiasa dalam keadaan lembap.

“Makan lebih banyak buah-buahan yang mempunyai kadar komposisi air tinggi termasuk tembikai dan betik. Individu tidak dihalang untuk melakukan aktiviti senaman, sebaliknya anjakan masa aktiviti itu pada waktu-waktu sesuai seperti pada belah pagi dan petang,” katanya yang memberitahu elakkan terdedah pada matahari terik.

Amalan seorang bintang sukan

Sementara itu, bintang hoki yang namanya kian melonjak naik, Shahril Saabah berkata, dia tidak menghadapi sebarang kesukaran walaupun terpaksa menghadiri latihan dalam cuaca panas terik setiap hari.

Ini kerana, persediaan mental dan fizikal harus diutamakan bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah tidak lama lagi. Oleh demikian, jadual latihan yang telah ditetapkan selama empat jam sehari harus dipenuhi.

“Saya tetap bersemangat untuk memenuhi jadual latihan seperti biasa, Namun, saya perlu menambah pengambilan air lebih daripada kelaziman iaitu sebanyak empat liter sehari.

“Ini bagi memastikan saya kekal hidrasi dan cergas menjalani latihan,” ujar yang memberitahu ia sebagai pengganti air yang hilang dalam badan ketika bersukan.

Shahril memberitahu, dia turut mengamalkan pengambilan yogurt sebagai makanan kesihatan harian selain kerap mandi untuk memastikan badan sentiasa kekal lembap.

Oleh HAIKAL RAMAN
Sumber: Kosmo

0 comments: