28 Mac 2015

Dron Mampu Gugat Keselamatan Negara


Dron mampu bergerak sejauh satu kilometer dan terbang setinggi bangunan 20 tingkat.

SEJAK kebelakangan ini, golongan belia di Malaysia menjadikan alat permainan pesawat tanpa juruterbang (UAV) atau lebih dikenali dron sebagai hobi baharu mereka.

Kemampuan dron terbang di udara dan dikawal dari jarak jauh serta dilengkapi kamera yang boleh mengambil gambar dan video menjadikan alat permainan itu sesuatu yang menyeronokkan.

Namun, ia menjadi viral di laman sosial baru-baru ini apabila terdapat individu yang menerbangkan dron tersebut berhampiran lapangan terbang bagi mengambil gambar pendaratan pesawat.


Perbuatan tersebut turut mendapat perhatian daripada beberapa pihak kerana dikhuatiri boleh membahayakan operasi penerbangan, sekali gus meningkatkan keresahan terhadap tahap keselamatan di lapangan terbang utara Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman memberitahu, tindakan menerbangkan dron boleh mengancam keselamatan awam, membahayakan operasi penerbangan dan keselamatan negara selain melanggar privasi orang ramai.

“Kita khuatir dron ini boleh membawa kamera atau barang yang tidak diingini dan terbang di tempat larangan, tempat sensitif seperti kawasan rumah pemimpin negara, penjara atau di sekitar kawasan fasiliti kerajaan yang akhirnya boleh menggugat keselamatan orang awam,” ujarnya.

Azharuddin menambah, pihaknya sedang mengkaji semula pembaharuan terhadap Pekeliling Maklumat Aeronautika (AIC) 4/2008 yang akan ditambah dengan peraturan baharu berkaitan penggunaan dron itu.

Kawasan larangan

“Kami juga akan mengadakan satu taklimat khas dalam masa terdekat yang memperincikan peraturan dan larangan terhadap penggunaan serta operasi penerbangan dron dan UAV.

“Sesi khas oleh DCA tentang penggunaan dron juga diadakan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2015 (LIMA ‘15) pada 17 hingga 21 Mac 2015 lalu” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Mekanikal, Institut Teknologi Penerbangan (UniKL MIAT), Rashidi Rahim, berkata menerbangkan dron di kawasan yang dilarang seperti lapangan terbang adalah menjadi satu kesalahan.

“Menerbangkan dron di kawasan seperti lapangan terbang amat berbahaya kerana boleh menyebabkan sesuatu perkara yang tidak diingini.

“Kemungkinan dron yang diterbangkan tinggi di udara itu boleh tersedut masuk ke dalam enjin dan kemudiannya merosakkan enjin, sekali gus boleh menyebabkan pesawat terhempas,” ujarnya.

Menurutnya, dron ini juga boleh mengancam keselamatan awam jika ia disalahgunakan.

“Dron ini boleh menjadi satu alat untuk membuat intipan kerana turut dilengkapi dengan kamera.

“Apa yang membimbangkan jika ada orang yang menyalahgunakan dron ini untuk mengancam keselamatan orang lain kerana ia juga berkemampuan untuk membawa alat letupan seperti bom,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa tempat di Kuala Lumpur dengan mudah boleh mendapati UAV malah ianya dijual kepada orang ramai secara terbuka.

Bagi individu yang berminat dengan permainan UAV itu, mereka hanya perlu mengeluarkan modal serendah RM75 untuk memiliki seunit dron bersaiz mini tanpa dilengkapi kamera.

Bagaimanapun, dron yang dilengkapi kamera berkualiti tinggi dijual pada harga RM2,300 seunit. Ia mampu bergerak sejauh 1 kilometer dan terbang setinggi bangunan 20 tingkat.

Seorang penjual yang hanya mahu dikenali sebagai Mike berkata, setiap dron yang dijual mempunyai harga yang berbeza mengikut saiz serta spesifikasinya.

Menurutnya, dron yang dilengkapi kamera merupakan produk yang sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan yang membeli dron terdiri daripada golongan belia yang mahu menjadikan alat permainan tersebut sebagai hobi baharu mereka,” ujarnya.

Tiada lesen

Dalam pada itu, seorang jurujual yang hanya mahu dikenali sebagai Adam berkata, setakat ini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa kerana tiada lesen yang diperlukan untuk seseorang memiliki pesawat UAV itu.

“Kami memperoleh bekalan dron ini daripada pemborong barangan permainan di Chow Kit dan mereka mendapat stok yang diimport dari China,” ujarnya.

Dalam pada itu, beberapa buah negara seperti Singapura dan Thailand telah mengharamkan penggunaan dron di negara mereka atas alasan berlakunya pencerobohan yang tidak sepatutnya.

Thailand mengharamkan penerbangan dron di ruang udaranya kerana ia dianggap sebagai memberi satu ancaman kepada keselamatan negara.

Dron membawa kamera hanya dibenarkan untuk digunakan oleh pihak pembikin filem. Pihak yang ingin menerbangkan dron di Thailand perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan negara tersebut.

Oleh FARID AHMAD TARMIJI
Sumber: Kosmo

1 comments:

Unknown berkata...

mmm ada kbenarannya juga, tp apa bende pun kalau dsalah guna mmg bahaya