29 Mac 2015

Tingkatkan Kesedaran Kesihatan Mulut


Hanya 32.7 peratus rakyat Malaysia 
amal rutin penjagaan mulut menyeluruh - Gambar Hiasan

Senyuman dan mulut yang tidak berbau membawa imej diri saat kita bertemu dengan orang sama ada di pejabat, rumah, kelas atau sewaktu bersukan.

Sememangnya menjadi keutamaan kepada setiap orang untuk memberi perhatian kepada kesihatan mulut supaya bukan sahaja mempunyai gigi yang sihat dan nafas tidak berbau, malah tampil lebih yakin di depan orang ramai.

Namun, kebersihan secara fizikal tidak memadai dengan hanya menggosok gigi sahaja. Persepsi ini perlu diperbetulkan dalam kalangan masyarakat kerana kesihatan mulut turut berkait dengan pelbagai jenis penyakit kronik jika diabaikan.


Menurut kajian yang dijalankan bersempena dengan Hari Kesihatan Mulut Sedunia baru-baru ini, hanya 31 peratus responden yang terdiri daripada rakyat Malaysia pelbagai latar belakang mengetahui penyakit diabetes mempunyai kaitan dengan kesihatan mulut.

Selain itu, 34.6 peratus pula mengetahui gusi yang tidak dirawat boleh memberi kesan kepada wanita hamil dan bayi di dalam kandungan.

Lebih daripada 60 peratus daripada jumlah responden langsung tidak mengetahui tentang kaitan pelbagai penyakit kronik dengan kesihatan mulut, menyebabkan pentingnya kesedaran menyeluruh terhadap kesihatan mulut dan penjagaan mulut serta gigi yang betul.

Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia, Dr. Teh Tat Beng berkata, penjagaan mulut yang baik bukan sekadar memberikan senyuman yang manis dan bernafas segar, sebaliknya mempunyai kaitan yang penting antara kesihatan mulut dan kesihatan badan secara keseluruhan.

“Kesihatan mulut boleh memberi kesan kepada pelbagai penyakit kronik dan berjangkit yang menunjukkan simptom di dalam mulut dan pada masa yang sama boleh menyebabkan jangkitan, keradangan dan kesan-kesan serius yang lain terhadap kesihatan diri keseluruhannya.

“Tidak dapat dinafikan kesedaran tentang isu ini amat rendah dalam kalangan rakyat Malaysia. Hanya 32.7 peratus sahaja daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang mengamalkan rutin penjagaan mulut menyeluruh.

“Oleh itu, pendidikan berterusan adalah penting untuk memastikan lebih ramai orang menjaga mulut mereka untuk menghindari pelbagai masalah kesihatan yang lain,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2015 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Dr. Tat Beng lagi, kesihatan mulut yang tidak dijaga boleh memburukkan lagi penyakit kencing manis dan menyebabkan luka yang dialami lambat sembuh, selain memburukkan lagi penyakit gusi.

Bukan itu sahaja, wanita yang mempunyai penyakit gusi berisiko untuk melahirkan bayi pra-matang.
Ujarnya, memberus gigi hanya membersih 25 peratus daripada mulut dan sebenarnya tidak mencukupi bagi memastikan mulut bersih secara keseluruhan.

“Mengabaikan rutin penjagaan mulut yang lengkap akan menjejaskan kesihatan, perhubungan peribadi, pekerjaan dan penampilan kita di hadapan orang ramai.

“Di Malaysia, peratusan kanak-kanak yang mengalami pereputan gigi sangat tinggi, iaitu kira-kira 70 peratus,” katanya.

Hari Kesihatan Mulut Sedunia merupakan saluran penting untuk pendidikan awam supaya masyarakat sentiasa mempunyai kesedaran tentang kesihatan mulut, bagaimana cara penjagaan yang betul dan bagaimana untuk mencegah pelbagai penyakit yang berkaitan dengan mulut.

Dianjurkan oleh peneraju rumusan cecair kumur mulut, Listerine dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia, kempen tersebut menyaksikan penganjuran pemeriksaan gigi secara percuma, inisiatif pendidikan dan ceramah oleh doktor gigi untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang kebersihan gigi.

Bertemakan Smile for Life, Listerine mendapat kepercayaan doktor pergigian di seluruh dunia kerana keupayaannya membunuh kuman berbahaya termasuk kuman yang menyebabkan nafas berbau serta plak dan gingivitis.

Manfaat baharu rumusan itu terbukti berkesan membantu meningkatkan kesihatan mulut berjuta pengguna di seluruh dunia.

Sumber: Utusan

0 comments: