12 Mac 2015

Permintaan Terhadap Perabot Taman


Antara model wakaf kayu yang dihasilkan syarikat D’Reebu.

Alias DESA mula membangunkan syarikatnya, D’Reebu Sdn. Bhd. (D’Reebu) dalam industri perabot taman berasaskan kayu pada tahun 2002.

Walaupun ketika itu ramai bumiputera tidak nampak potensi sebenar industri tersebut, Alias tekad untuk menceburi bidang berkenaan.

Bermula di Ipoh, Perak, D’Reebu yang merupakan syarikat bumiputera terawal dalam industri perkayuan semakin berkembang tahun demi tahun.


Selepas lapan tahun, syarikat tersebut berpindah ke Sungai Buloh, Selangor kerana rata-rata pelanggannya berada di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Pada Januari 2015 lalu, Alias menghembuskan nafas terakhir. Sungguhpun begitu, legasi syarikat tersebut diteruskan balunya, Jamaliah Malek, 57.

“Perabot kayu sebenarnya mendapat permintaan yang tinggi termasuk dari luar negara seperti Jepun,” ujar Jamaliah yang kini menguruskan syarikat bekas suaminya bersama anak-anak.

D’Reebu mendapat permintaan tinggi dalam perabot taman seperti pondok gazebo, calet, wakaf dan pergola.

Menurut Jamaliah, perabot-perabot taman mempunyai harga yang berbeza-beza mengikut jenis kayu, spesifikasi, warna dan citarasa pelanggan. Kayu-kayu yang digunakan juga merupakan kayu tempatan.

“Harga perabot adalah berbeza-beza dan kesemuanya tidak termasuk kos penghantaran,” katanya sambil memaklumkan bahawa pondok gazebo kecil mampu mencecah lebih RM1,000 dan kos penghantaran di sekitar Kuala Lumpur ialah RM250 sehingga RM300.

Dalam sehari, syarikat tersebut mampu menghasilkan sebanyak 12 unit gazebo kecil atau pergola. Calet atau produk perabot taman yang besar mengambil masa lebih sebulan untuk disiapkan mengikut keperluan pelanggan.


Perabot taman mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara seperti Jepun.

Teknik ukiran

“Kami menawarkan teknik ukiran motif berasaskan alam dan teknik pasak serta tanggam tetapi ia hanya dilakukan jika terdapat permintaan daripada pelanggan. Ukiran motif dan teknik pasak serta tanggam memerlukan masa dan kos lebih tinggi,” ujarnya.

Perabot taman atau perabot luaran mendapat permintaan tinggi kerana ia diperbuat daripada kayu seperti rumah-rumah tradisional, calet, pergola dan pondok gazebo. Ia bukan sekadar perhiasan taman semata-mata.

Hal ini adalah kerana perabot-perabot tersebut mempunyai sifat estetika dan keistimewaannya yang tersendiri seperti daya ketahanan tinggi terhadap sinaran matahari, air, anai-anai dan jangka hayat melebihi 15 tahun.

Tambahan pula, kayu terbahagi kepada dua kategori iaitu kayu keras dan kayu lembut. Kayu keras pula terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kayu keras berat, kayu keras sederhana dan kayu keras ringan.

Kayu keras berat mempunyai ketumpatan melebihi 880 kilogram per meter kubik, kandungan lembapan sekitar 15 peratus dan daya ketahanan semula jadi.

Pokok balau sebagai contoh dikategorikan sebagai kayu keras berat yang sesuai dijadikan perabot taman.

Ketahanan

Ketahanan kayu tersebut disebabkan kehadiran bahan toksik dalam tisu kayu yang menjadi penghalang kepada agen perosak kayu.

Sehubungan itu, perabot-perabot taman menggunakan kayu tempatan seperti cengal, balau, belian, bitis, resak dan merbau kerana ia tergolong dalam kategori kayu keras berat.

Hal ini menyebabkan perosak kayu seperti anai-anai tidak menyukai kayu keras berat kerana serangga tersebut lebih menggemari kayu yang lembut, lembap dan terlindung.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pada tahun lalu, kayu-kayu tempatan mendapat sambutan yang menggalakkan dari segi eksport.

Jumlah eksport yang tertinggi ialah produksi perabot-perabot kayu iaitu sebanyak RM5 bilion. Produksi papan lapis pula mencatatkan eksport kedua tertinggi iaitu bernilai RM4 bilion.

Negara-negara yang mengimport kayu-kayu tempatan terdiri daripada Jepun, Amerika Syarikat, India, Taiwan, Singapura, Korea, Australia, China dan United Kingdom.

Amerika Syarikat merupakan pengimport tertinggi dalam produksi perabot kayu iaitu sebanyak 31 peratus dan Jepun pula merupakan negara pengimport tertinggi dalam produksi papan lapis iaitu sebanyak 52 peratus.

Dalam talian

Sementara itu, berbeza pula dengan sebuah syarikat perabot taman, Nekad Teraju Jaya Sdn. Bhd. yang beroperasi di Gombak, Selangor.

Pemiliknya, Muszaidi Mustafa, 40, memberitahu, syarikatnya lebih memfokuskan perniagaan dalam talian kerana ia lebih kondusif.

"Kini, kebanyakan perniagaan beroperasi secara dalam talian dan kami ingin meluaskan lagi empayar perniagaan ini," ujarny.

Muszaidi berkata, syarikatnya tidak mempunyai bilik pameran kerana membuat kerja-kerja pemasangan di rumah pelanggan.

"Kami tidak menghantar produk siap tersebut terus ke rumah pelanggan seperti syarikat-syarikat lain," katanya.

Tambahan pula, menerusi pembelian dalam talian, harga yang ditawarkan lebih berpatutan. Misalnya, gazebo kecil yang diperbuat daripada kayu mahal seperti cengal boleh didapati dengan harga lebih kurang RM3,000.

Muszaidi yang ingin meluaskan industri perabot taman di luar negara, berkata, ia secara tidak langsung dapat menarik minat pembeli tempatan di samping membuka peluang perniagaan kepada golongan muda.

Sementara itu, seorang pelanggan, Zazaluma Harun, 47, yang merupakan Pengetua Sekolah Rendah Seri Pristana, Sungai Buloh berkata, perabot taman bukan sahaja diminati oleh golongan dewasa bahkan juga kanak-kanak.

“Murid-murid sekolah sebenarnya suka ‘melepak’ di pondok-pondok gazebo pada waktu rehat atau ketika menunggu kedatangan ibu bapa

“Murid-murid dan guru-guru juga gemar membaca buku dan berehat di pondok tersebut,” ujarnya.

Oleh NABIHA MOHD. YUSOF
Sumber: Kosmo

0 comments: