11 Mac 2015
Seni Topiari Serlah Keunikan Taman
POKOK berdaun kecil dapat mempamerkan bentuk topiari yang berstruktur halus dan bernilai tinggi.
TOPIARI adalah seni mengandam tanaman hiasan dalam taman atau landskap yang bernilai tinggi seperti pokok bonsai. Ia merupakan salah satu cabang seni taman yang telah lama wujud iaitu sejak zaman Roman dan kini kembali popular di negara kita.
Seni topiari merupakan satu teknik mereka bentuk tanaman hiasan melalui teknik memotong atau memangkas batang, ranting dan daun pokok bagi membentuk objek tertentu. Disebabkan itu, ia memerlukan kepakaran, ketelitian dan kesabaran para penggubahnya.
Pada asalnya, ia digunakan untuk membentuk objek formal seperti bentuk geometri seperti bulat, kon, silinder selain bentuk binatang. Bentuk-bentuk ini biasanya diandam untuk taman formal seperti di istana raja dan golong aristokrat atau bangsawan di negara-negara Barat seperti Perancis dan England.
Begitupun, pada hari ini, pokok digubah untuk membentuk objek yang tidak formal tetapi lebih kreatif dan ringkas, namun ia tetap cantik dan menarik. Pada hari ini, bentuk-bentuk tersebut dapat dilihat menghiasi taman kediaman, taman awam, hotel dan premis perniagaan lain.
Idea untuk menggubah topiari ini tiada batasannya, asalkan gunakan sedikit bakat dan idea kreativiti untuk menciptanya sendiri di kediaman masing-masing.
Topiari dalam pasu antik menyerlahkan kecantikan hiasan dalman sesebuah premis.
Ciri-ciri pokok yang sesuai untuk digubah menjadi pokok topiari adalah seperti berikut:
1) Daunnya hendaklah kecil supaya dapat mempamerkan bentuk topiari yang bertekstur halus, lebih cantik dan bernilai tinggi.
2) Daun dan rantingnya perlulah cepat tumbuh semula selepas dipangkas, sekali gus ia dapat menghasilkan rupa bentuk yang dikehendaki.
3) Pokok yang dipilih perlulah daripada jenis beranting dan mempunyai banyak daun atau bunga yang cantik.
Jenis pokok yang sesuai adalah seperti pokok kesinai atau sinai (Streblus asper), duranta, pokok ara (Ficus), kelat paya, pain seperti Podocarpus dan pokok bunga kertas (Bougainvillea).
Seni topiari boleh digunakan untuk menggubah pokok dan mempamerkannya dalam pelbagai cara:
1) Reka bentuk yang unik seperti binatang dan bunga. Untuk membentuknya dengan mudah dawai mata punai atau ‘chicken net’ perlu digunakan. Ranting dan daun pokok hanya perlu digunting atau dicantas di sekeliling atau mengikut reka bentuk dawai yang menyalutinya. Apabila daun pokok telah memenuhi keseluruhan ruang dalam reka bentuk tersebut maka terbentuklah objek yang ingin dibentuk.
2) Mempamerkan bunga dalam pelbagai warna. Contohnya, pokok bunga kertas yang telah dikahwinkan dengan beberapa ranting bunga kertas yang berlainan warna bunganya. Setiap ranting pokok baharu perlu digunting daun dan rantingnya untuk membentuk rumpun masing-masing.
Apabila berbunga setiap rumpun akan mempamerkan bunga yang berlainan warna tampak unik dan cantik. Pokok bunga melati pula boleh digubah menjadi pokok topiari yang mengeluarkan bunga yang berbau harum.
3) Mempamerkan pelbagai warna daunnya yang menarik. Terdapat pula pokok yang apabila dipotong daunnya ia akan mengeluarkan daun baharu yang berubah warna mengikut umur daun pokok berkenaan.
Pokok kelat paya misalnya dapat mempamerkan daun seperti dimaksudkan di atas iaitu pucuk muda yang baru tumbuh akan berwarna ungu kemerahan kemudian bertukar menjadi merah tua dan seterusnya berwarna hijau muda dan hijau tua apabila matang. Pokok ini banyak ditanam dan digubah cantik untuk menghiasi pembahagi jalan dan sebagainya.
4) Pokok dalam pasu juga boleh digubah menjadi pokok topiari. Ia sangat sesuai menghiasi kediaman dan premis perniagaan seperti hotel. Pokok berpasu senang dipindahkan untuk disesuaikan dengan pokok hiasan lain, sekali gus dapat mempelbagaikan gubahan setiap masa.
Seni topiari ini memerlukan pokok dipangkas atau diandam sekerap mungkin. Disebabkan itu, ia memerlukan peruntukan dari segi tenaga jika ingin melakukannya sendiri atau wang ringgit untuk penyelenggaraannya. Peruntukan atau bajet untuknya perlu diambil kira ketika merancang untuk mengadakannya. Jangan nanti ianya dibiarkan semak, kurang kemas dan tidak terurus.
Di kediaman sendiri, ia memerlukan seseorang itu mempunyai minat yang mendalam, rajin, sabar dan kreatif bagi menghasilkan satu gubahan topiari yang benar benar cantik dan menarik. Selamat mencuba.
Sumber: Kosmo
Labels:
Kesenian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan