22 Mac 2015
Peti Surat Altitud Tinggi di Gunung Kinabalu
RAMAI pendaki merakamkan momen indah melalui poskad ketika memanjat gunung.
MENDAKI Gunung Kinabalu yang terletak pada ketinggian 4,905 meter (m) dari aras laut bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang maksimum, selain sikap tidak mudah mengaku kalah.
Bagi sesetengah pendaki, laluan pendakian ke puncak Kinabalu dianggap cukup unik sementelah mereka perlu mengharungi trek perjalanan mendaki, menegak dan landai di atas batu.
Ini ditambah pula faktor cuaca luar biasa, di samping kedinginan malam yang membuatkan setiap kudrat dikerah demi satu kepuasan.
Untuk sampai ke Laban Rata yang menjadi titik persinggahan sebelum tiba di puncak, para pendaki perlu mengambil masa empat hingga enam jam perjalanan dari Timpohon Gate ataupun Mesilau Gate.
Bagaimanapun, situasi berbeza dilakukan Podyfred Kaingan apabila pemuda berusia 35 tahun ini hanya mengambil masa satu jam untuk sampai ke lokasi yang berketinggian 3,289m dari aras laut itu.
“Umpama peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa. Trek Gunung Kinabalu ini umpama padang permainan bagi diri saya,” seloroh Podyfred.
Mana tidaknya, lelaki yang berasal dari Ranau, Sabah itu berpengalaman mendaki Gunung Kinabalu sejak usianya baru mencecah sembilan tahun.
“Ketika itu, saya menjadi porter atau pengangkat barang di sini. Daripada sekecil-kecil barang sehingga yang seberat 30 kilogram, saya tidak pernah jemu melakukan tugas tersebut,” ujarnya tersenyum.
Pungut poskad
Perjalanan Podyfred ke Laban Rata pada setiap hari bukanlah untuk menawan puncak Kinabalu, sebaliknya ia dilakukan atas dasar tanggungjawabnya sebagai posmen di lokasi berkenaan.
Lelaki itu akan menjalankan tugasannya bagi memastikan setiap surat atau poskad yang diletakkan di peti pos Pendant Hut yang terletak pada ketinggian 3,289m dapat dipungut pada pukul 12 tengah hari setiap hari.
PETI surat altitud tinggi ini telah beroperasi sejak 8 Februari 2015 lalu.
Menurut anak ke-12 daripada 13 beradik itu, kesemua surat dan poskad berkenaan akan dikumpul dan diserahkan kepada posmen yang menunggu di Timpohon Gate pada pukul 10 pagi keesokan harinya.
“Untuk hari pertama pada 8 Februari 2015 lalu, saya membawa lebih 100 poskad. Ia tidak seberat mana kerana berat bebanan paling banyak pernah saya bawa ialah 30 kilogram iaitu kelengkapan barangan kantin.
“Apa yang penting bagi saya adalah setiap surat atau poskad yang dipungut itu dapat diserahkan kepada rakan posmen di bawah. Itu amanah diberikan kepada saya,” katanya yang turut bertugas sebagai Pengurus Operasi Pendant Hut yang bernaung di bawah Mountain Torq Sdn. Bhd. (Mountain Torq).
Podyfred memberitahu, Mountain Torq adalah sebuah ejen berlesen Pos Malaysia yang telah dipertanggungjawabkan dalam melicinkan operasi penghantaran surat dari Gunung Kinabalu.
Katanya, terdapat 18 lagi staf akan bertugas dan bersilih-ganti di bawah Mountain Torq yang bertugas sepertinya.
“Saya bersyukur sebab daripada mula membuat pemasangan peti surat, ada kerjasama antara pekerja Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan Pos Malaysia serta pasukan kami di Pendant Hut.
“Sudah tentu, saya berbangga kerana dapat memberikan sumbangan begini kepada setiap pendaki kerana secara peribadi pekerjaan posmen ini adalah satu tugas mulia,” terangnya.
Pendakian bersejarah
Inisiatif untuk meletakkan peti surat di altitud tinggi dilihat sangat unik khususnya dalam mengembangkan industri pelancongan negara.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata, antara tujuan utamanya adalah memberikan pengalaman unik kepada pendaki dan pelancong di Gunung Kinabalu untuk merasai sendiri menghantar poskad dan surat pada ketinggian tersebut.
SETIAP surat yang diposkan oleh pendaki akan diserahkan oleh Podyfred kepada kakitangan Pos Malaysia yang menanti di Timpohon Gate.
Katanya, ia juga secara langsung menggalak dan meningkatkan populariti Gunung Kinabalu di mata dunia.
“Berdasarkan rekod, terdapat seramai lebih 55,000 individu mendaki Gunung Kinabalu setiap tahun. Itu satu jumlah yang besar.
“Peti surat ini pasti menjadi tarikan baharu untuk para pelancong dan mereka boleh memperingati pendakian bersejarah tersendiri,” katanya.
Bagi pihak pengurusan Taman-Taman Sabah, perkhidmatan terbaharu ini disambut dengan tangan terbuka dalam usaha menjalin kerjasama berbentuk serampang dua mata iaitu peningkatan kualiti sektor perkhidmatan Pos Malaysia serta melonjakkan sektor pelancongan negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmood berkata, Sabah khususnya mempunyai pelbagai lokasi pelancongan setanding di luar negara.
Ini termasuklah flora dan fauna di Lembah Danum, Pulau Sipadan dengan keseronokan berenang bersama hidupan laut serta aktiviti sukan water rafting di Sungai Padas.
“Sudah tentunya, saya berasa terharu dengan pelaksanaan projek ini yang bakal memberikan impak maksimum terhadap sektor pelancongan di Gunung Kinabalu.
“Ini adalah pakej yang tidak harus dilepaskan oleh orang ramai terutamanya peminat sukan mendaki,” katanya.
Rekod Malaysia
Sesuatu yang menarik mengenai peti surat Pendant Hut adalah ia telah mendapat penghormatan tersendiri apabila diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai peti surat yang berada di altitud tertinggi di negara ini.
Majlis penyampaian sijil MBOR telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari kepada Azlan pada majlis pelancaran peti pos berkenaan di Kundasang baru-baru ini.
Pengiktirafan itu secara langsung membuktikan Pos Malaysia merupakan sebuah organisasi yang bersama-sama menyahut cabaran Malaysia Boleh.
Bagi Jailaini, usaha itu sangat signifikan dan membanggakan yang boleh dikongsi bersama 18,000 warga kerja Pos Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mahu Pos Malaysia terus menerokai lokasi-lokasi baharu seperti tanah penghujung benua Asia di Tanjung Piai, Johor atau penghujung Borneo di Simpang Mengayau, Kudat serta di bawah laut di pulau-pulau ternama sekitar Semporna.
“Usaha begini adalah berbentuk serampang dua mata iaitu peningkatan kualiti sektor perkhidmatan Pos Malaysia bagi melonjakkan sektor pelancongan negara,” katanya.
Sejajar dalam usaha peningkatan kualiti berkenaan, Jailani menerangkan bahawa terdapat perubahan besar dalam sistem penyampaian pos setelah empat tahun program pembangunan pos luar bandar dilaksanakan.
Ini dapat dibuktikan melalui pelantikan 500 orang posmen komuniti terdiri daripada golongan belia dalam meningkatkan mutu serahan mel luar bandar.
“Kita mempunyai masing-masing 250 posmen komuniti di Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, untuk Sabah sendiri terdapat lapan unit Pejabat Pos Bergerak untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih 50 kawasan luar bandar,” ujarnya.
Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan