17 Mac 2015

Dengar Dan Fahami Masalah Anak-Anak


“emak atau ayah sayang kamu, anakku” - Gambar Hiasan

Sebagi seorang ibu yang sanggup bertarung nyawa untuk melahirkan anak, jangan pula sesekali tidak memaafkan anak, jika mereka melakukan kesilapan. Jadikan amalan memaafkan anak ini sebagai tabiat (habit), dan sentiasa meredai dan mendoakan anak.

Kepada semua ibu, setiap kali kita hendak memarahi anak, kusut fikiran dengan perangai negatif anak, atau kecewa dengan sikap anak, cuba bayangkan pasangan suami isteri lain yang ditakdirkan tidak memiliki anak.

Betapa mereka mengharapkan seorang anak sebagai penyeri hidup, sedangkan kita yang telah ditakdirkan Allah memiliki anak, berasa terbeban pula dengan kehadiran anak.


Kepada semua ayah, setiap kali hendak marah anak, ingat 20 tahun akan datang apa yang anak akan buat kepada kita, kalau kita melayani anak dengan kasar tanpa kasih sayang? Siapakah yang mencorak anak kita jadi tidak elok?

Apakah perkara yang anak itu lihat, dengar dan alami sehingga dia menjadi tidak elok? Cuba ambil tanggungjawab atas akhlak anak kita yang tidak elok, dengan melihat di manakah kesilapan diri sendiri, sebagai ibu atau bapa?

Selalunya anak yang bermasalah lahir daripada keluarga yang bermasalah. Oleh itu ayah dan ibu perlu perbetulkan diri sendiri sebelum memperbetulkan anak. Minta ampun kepada Allah kalau tanggungjawab kita dengan Allah kita tidak buat, degil dan melanggar suruhan-Nya.

Adakah kita mengharapkan anak kita tidak degil dengan kita, jika kita juga degil serta ingkar kepada Allah?

Maka ubah cara pemikiran kita (‘reset minda’), maafkan segala dosa anak kita. Dosa anak kita tidak banyak jika dibandingkan dengan dosa kita sebagai ibu bapa, kerana kita lebih lama hidup daripada anak. Jika kita tidak mahu mendoakannya apa akan jadi kepadanya dan juga kepada kita, apabila kita telah kembali menghadap Ilahi?

Orang yang bijak dia tidak menyelesaikan masalah, tapi dia mencegah masalah. Berkasar dengan anak bukanlah jalan penyelesaian untuk mendidik anak menjadi baik. Konsep merotan adalah satu kaedah mendidik, bahkan dalam Islam merotan itu adalah satu kaedah didikan untuk anak bersolat tetapi ada caranya; merotan hanya untuk mencegah anak daripada ingkar perintah Allah bukan mendera anak.

Lumrahnya tidak ada bayi yang tidak disayangi dan semua perilakunya dilihat comel dan membahagiakan. Sebagai ibu dan bapa kita tahu, ketika kecil perangai anak semua sama; baik, sebab pada waktu itu syaitan belum mengganggu.

Akal anak akan berfungsi ketika anak berumur tujuh tahun dan sudah mula boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi selalunya anak-anak akan tewas dengan godaan syaitan. Sebab itu kita kena beri didikan iman yang mantap kepada anak-anak sejak kecil lagi, supaya mereka membesar dengan iman.

Sebelum tidur berdoalah untuk anak dan bisikkan kepada anak, “emak atau ayah sayang kamu, anakku” (melalui minda bawah sedar/minda segar, roh kita bercakap dengan roh anak). Pada masa itu sampaikan mesej yang baik terutama masa anak betul-betul sudah hendak tidur. Sebut perkataan yang baik-baik, apa yang kita cakap akan menjadi benih baik yang masuk dalam minda bawah sedar/minda segar anak.

Lakukan solat berjemaah bersama-sama anak. Selesai solat, usap rambut anak, cakap yang baik-baik dan harapan kita kepada anak.

Ibu bapa mesti cakap kepada anak kita bangga dengan pencapaian anak kita, dan bersyukur dikurniakan Allah anak yang baik tingkah lakunya. Bangga dan sayangilah anak kita supaya dia tidak mengharapkan kasih sayang, perhatian dan penghargaan dengan orang luar.

Sumber: Utusan

0 comments: