06 Mac 2015

Tuntutan Menamakan Anak Dengan Nama Yang Baik



Setiap anak yang lahir adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memelihara, mendidik dan membimbing mereka menjadi individu soleh, bermanfaat untuk agama, bangsa serta negara.

Disebabkan itu, Islam telah menetapkan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Antara perkara yang sunat dilakukan ketika bayi baru lahir ialah melaungkan azan di telinga anak, suapan pertama dengan buah kurma, akikah, memberikan nama yang baik dan berkhatan.


Abu Musa al-Asya’ari dalam sebuah riwayat menyatakan:
“Isteriku melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudian disuapnya dengan buah kurma (yang sudah dilumatkan). Setelah itu, Baginda mendoakan keberkatan bagi bayi itu sebelum diserahkan kembali kepadaku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ia jelas menunjukkan bahawa memberikan anak nama yang baik itu satu perkara dituntut dalam Islam.

Malah, ibu bapa digalakkan memberikan nama kepada anak pada hari ketujuh kelahiran, iaitu ketika akikah dilakukan. Ini kerana ibu bapa mempunyai masa untuk memikirkan nama yang baik seperti disarankan oleh Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama kamu.” (Sunan Abu Daud).

Secara psikologinya, nama mempunyai pertalian rapat dengan jasad dan jiwa individu. Nama yang mempunyai maksud baik sudah tentu memberikan keyakinan kepada anak-anak kita. Sekiranya anak-anak mempunyai nama yang pelik, sudah tentu mengganggu psikologi mereka.

Lebih-lebih lagi, nama tersebut membawa maksud buruk seperti peminum arak, penzina, nama paderi atau ketua mana-mana agama dan nama binatang yang tidak sesuai dengan manusia, maka hukumnya adalah haram.

Rasulullah telah menyarankan umatnya memberikan anak nama yang baik seperti sabdanya yang bermaksud: “Sebaik-baik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman.

Selain itu, nama yang baik termasuk nama nabi-nabi dan nama yang membawa maksud baik. Setiap hari, ibu bapa memanggil nama yang baik seolah-olah menjadi satu doa kepada anak tersebut agar menjadi orang baik seperti maksud namanya.

Mendidik anak zaman sekarang tidak mudah. Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud: “Dan ketahuilah harta benda dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian.”

Disebabkan itu, marilah kita sama-sama berfikir sebelum memilih nama anak dan bukan hanya memikirkan mengenai menarik untuk disebut dan dipanggil.

Walaupun benar tidak semua orang mempunyai nama baik itu berakhlak baik kerana akhlak dan sifat seseorang juga dibentuk oleh faktor lain seperti persekitaran dan pendidikan.

Bagaimanapun, sebagai ibu bapa, kita sekurang-kurangnya berusaha mengikut tuntutan Islam dengan memberikan anak nama yang baik dan ia menjadi doa ibu bapa.

Tanggungjawab ibu bapa juga termasuk membentuk akhlak anak-anak bermula dengan memberi nama yang baik.

Firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.”

Bersama PROFESOR MADYA DR. FARIZA MD. SHAM
Sumber: Kosmo

Catatan:

Saya sertakan di sini satu laman web yang boleh dimanfaatkan untuk mencari nama-nama indah untuk anak-anak islam.

Sila Klik: http://www.namanamaislam.net/

0 comments: